Selasa, 17 Ogos 2010

Peniaga Cedera Ketika Demo Bersih Saman Polis RM 2 Juta



Seorang peniaga hari ini menfailkan saman RM2 juta terhadap tiga ketua polis dan kerajaan Malaysia kerana didakwa bertindak kasar sehingga menyebabkan kecederaan terhadapnya semasa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di Jalan Tun Perak, tiga tahun lepas.
Saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Daim & Gamany di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Alyesak Hamid @Hassan, 34, menamakan Ketua Polis Kuala Lumpur sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi sebagai defendan kedua, Ketua Polis Negara sebagai defendan ketiga manakala Kerajaan Malaysia selaku defendan keempat.

Dalam penyataan tuntutan itu, bapa kepada tiga anak itu menuntut gantirugi am sebanyak RM1 juta, gantirugi teruk dan gantirugi teladan sebanyak RM1 juta, ganti rugi khas, faedah atas jumlah ganti rugi yang dituntut sebanyak lapan peratus dari tarikh writ saman difailkan hingga penghakiman.

Selain itu, beliau yang diwakili peguam Fadiah Nadwa Fikri, turut menuntut faedah lapan peratus setahun atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian, kos dan relif selanjutnya dan yang lain sebagaimana difikirkan wajar oleh mahkamah.

Krisis Dalaman BN,Soi Lek Kecewa Amaran Muhyiddin


KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kecewa dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menggunakan insiden 13 Mei 1969 untuk memberi amaran kepada MCA agar tidak memperlekehkan semangat Barisan Nasional (BN) jika mahu memperjuangkan kepentingan komuniti Cina.
Kata Dr Chua, pemimpin-pemimpin BN tidak perlu memukul “gendang perkauman” kerana rakyat Malaysia kini lebih matang dalam memahami perkembangan semasa.
Selain itu kata beliau, apa yang diminta oleh MCA bukan dengan mengetepikan kepentingan atau hak mana-mana kaum lain.
Bekas Menteri Kesihatan itu menekankan rakyat Malaysia kini lebih matang berbanding persekitaran 1969 dan boleh terlibat dalam perbincangan-perbincangan waras.
“Keadaan sosioekonomi di Malaysia sekarang jauh berbeza berbanding tahun 1969 memandangkan rakyat Malaysia berupaya untuk mengadakan perbincangan rasional tanpa memukul gendang perang perkauman,” katanya.
“Apa yang kami minta cuma bahagian yang adil. Dijamin, MCA tiada rancangan atau minat untuk menafikan hak-hak kaum lain yang mereka berhak,” kata beliau dalam kenyataan akhbar dikeluarkan di sini.
Timbalan Perdana Menteri semalam mengingatkan Dr Chua agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan dan prasangka terhadap kaum lain.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Dr Chua seharusnya bersikap lebih terbuka dan peka terhadap sensitiviti serta keperluan bangsa lain di negara ini.
“Apa pun yang hendak diperjuangkan, kepimpinan sesuatu kaum itu adalah hak mereka tetapi jangan dilihat menjejaskan kepentingan kaum yang lain.
“Umno, parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu tetapi mengambil kira nasib kaum yang lain.
“Oleh itu, jangan menimbulkan keresahan dan kemarahan hanya kerana hendak mempertahankan resolusi dan sensitiviti dan hak kaum lain,” katanya.

Pemuda PAS cabar Ridhuan Tee sertai Umno

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Pemuda PAS mencadangkan agar Dr Ridhuan Tee menyertai Umno dan mengishtiharkannya secara terbuka ekoran tuduhan penulis itu terhadap PAS.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi Abd Rani dalam satu kenyataannya sangat kesal dengan tulis Ridhuan yang mendakwa "PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir".

Sehubungan itu, Azman berkata, "inilah akibat apabila belajar Islam dengan Umno yang memisahkan politik dengan agama yang mengakibatkan ramai yang kabur dengan Islam sebenar termasuk Dr. Ridhuan Tee sendiri."

Ridhuan Tee adalah pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional. Semasa menjadi pelajar di UKM, beliau adalah pemimpin pelajar di sana. Selepas belajar, beliau pernah bertugas di Harakah sebagai pegawai kawalan kredit akhbar PAS itu.

Kata Azman, kenyataan Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dalam tulisannya dalam akhbar Umno, Utusan Malaysia, tidak mencerminkan tahap pencapaian pendidikan yang beliau perolehi.

Beliau yang merupakan seorang yang berkelulusan BA(Hons)Political Science (UKM), MA Strategic Studies (UKM), PhD Politics and Government (UPM), Dip. Islamic Studies (UIA) sepatutnya agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan, katanya.

Beliau merujuk kepada artikel yang ditulis oleh beliau yang bertajuk ‘Jangan terlalu berani mencabar’ yang dikeluarkan dalam Mingguan Malaysia yang bertarikh 15 Ogos 2010.

Antara isi kandungannya berbunyi ‘Walaupun PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam’.

"Ini merupakan satu pertuduhan yang serius yang boleh mencemarkan nama baik PAS sebagai parti yang berjuang menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Atas dasar apa kenyataan ini dikeluarkan?" katanya.

PAS satu parti yang sejak dari dulu berjuang bukan sahaja atas nama Islam malah setiap tindak tanduk dan keputusan mestilah berlandaskan al quran, hadis, qias dan ijma’ ulama, katanya.

Dalam kuliah-kuliah agama dan ceramah-ceramah, katanya, PAS hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur sebagai panduan kepada umat Islam agar tidak tergelincir daripada hukum syarak walaupun dalam berpolitik kerana Islam itu syumul dan tidak boleh dipisahkan dari kehidupan dunia.

"DPPP mencabar agar dibuktikan individu mana yang pernah PAS kafirkan?
Beliau seharusnya mempelajari Islam dengan lebih mendalam sebelum menuduh PAS atas tuduhan yang sebegitu rupa," katanya.Hrkh

Amaran Hishamuddin Pada Pemimpin Umno Terengganu


Pengerusi Umno Terengganu yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan 'fatwa' semalam, mereka yang dianggap 'pengacau dalam UMNO' mungkin tidak dicalonkan pada pilihanraya umum akan datang, walaupun mereka adalah penyandang kerusi tersebut.

Hisham berkata pemimpin UMNO sedang mengamati perilaku para wakil rakyat terpilih untuk memastikan mereka mengikuti garis pandu yang ditentukan.

"Saya ingin membunyikan loceng di sini kepada semua yang berhasrat menjadi wakil rakyat yang terpilih, sekiranya menimbulkan sebarang masalah termasuk membuat kenyataan 'rasis', peluang untuk mejadi calon pada pilihanraya akan datang akan hilang,"kata Hisham selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan Umno Terengganu disini semalam

Kenyataan Hisham yang dianggap 'fatwa' kononnya Umno mementingkan kesucian diri itu akan melebar perpecahan hingga ke akar umbi, kerana parti 'usang' itu dilihat sebagai 'tiada lagi orang yang sesuci itu' didalamnya buat masakini.

Seorang ahli bawahan parti itu, yang berasal dari DUN Alor Limbat berkata, Hishamuddin bukanlah seorang yang suci, yang berhak mengeluarkan 'fatwa' sedemikian.

"Sehingga kini, para pengundi masih takut dengan gelagat Hisham, bukan sahaja membuat kenyataan 'rasis' malah tindakannya 'menghunus keris' dianggap sebagai ancaman kepada orang Cina dan orang India,"ujar ahli biasa Umno yang mahu dikenali sebagai Ramli.

Bahkan beliau berkata, sekiranya penilaian dibuat ke atas calon-calon berdasarkan rekod mereka, samada mereka seorang wakil rakyat yang sedang berkhidmat atau pemimpin Umno peringkat Bahagian yang mahu menawarkan diri untuk menjadi calon, semuanya 'terpalit' dengan 'kesan hitam'.

Sebagai contoh, katanya, hampir keseluruhan pemimpin peringkat Bahagian menawarkan 'rasuah wang' dalam pemilihan Bahagian.

Oleh itu benarlah rumusan yang dinyatakan oleh Hisham; "Yang penting adalah bahawa ahli UMNO diharapkan akan setia kepada parti dan menahan diri dari yang menyebabkan kesulitan dalam UMNO itu sendiri," dan bukan soal kesucian peribadi dan ketinggian akhlak seseorang pemimpin itu diutamakan.

Ditambah lagi dengan pengampunan Hisham keatas empat pemimpin bermasalah di Setiu yang jelas menunjukkan protes mereka dan tidak menghormati kehadiran Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mampukah Pakatan Rakyat buat kejutan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak?


Oleh Wan Nik Wan Yussof
Premis asal dan agak matang dalam menilai politik Sarawak sekarang ialah “Sarawak tetap kubu kuat Barisan Nasional (BN).” Maka tugas menumbangkan BN dalam pilihan raya negeri ke-10 nanti dijangka berdepan laluan sukar dan mencabar.
Sesungguhnya, tugas menumbang BN itu terletak di tangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan dua pertiga daripadanya berada di luar bandar. Mana-mana parti atau pakatan politik menguasai majoriti DUN atau setidak-tidaknya 36 kerusi selayaknya parti itu membentuk kerajaan negeri.
hasil pilihan raya negeri 2006, didapati BN memenangi 62 kerusi DUN dan parti-parti pembangkang hanya sembilan DUN. Semua kerusi dimenangi pembangkang adalah berada di sekitar bandar. Ia bermakna pengaruh BN amat tegar di kalangan 50 peratus daripada 2.5 juta penduduk yang tinggal di luar bandar.

Demografi politik perkauman

Demografi politik Sarawak adalah terdiri daripada 28 suku kaum; Iban 33 peratus, Cina 26 peratus, Melayu 21 peratus, Melanau tujuh peratus, Orang Ulu lapan peratus, dan Bidayuh lima peratus. Pengundi luar bandar adalah terdiri daripada suku Bumiputera (Iban, Melayu, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh).

Sementara pengundi bandar merupakan campuran, dengan majoritinya orang Cina. Ia bermakna, pengundi Cina lebih berpihak kepada pembangkang, khsusnya DAP. Disebabkan demikian, BN agak kuat di kawasan bandar yang majoriti pengundi Melayu.

Justeru landskap politik Sarawak kini masih dibayangi dengan gambaran penaungan dan keutuhan perkauman yang kuat. Jika landskap ini belum berubah untuk tempoh pilihan raya akan datang, maka BN kekal selamat untuk terus memerintah Sarawak.

Namun, landskap politik pasca pilihan raya kecil Sibu ada petunjuk khusus untuk membuat bacaan politik di bumi yang kuat asas perkauman ini. Tatkala keputusan di Sibu pada 16 Mei lalu telah membuktikan DAP mendapat sokongan baru 2,942 undi. Jika asas ini dianalisis seacara mudah, maka kesemua DUN yang BN menangi dengan majoriti kurang 2,500 undi adalah tidak selamat. Apa pun itu bergantung kepada kestabilan mood pengundi Cina dan faktor-faktor politik semasa.

Penunjuk perasaan Indonesia rosakkan Kedutaan Malaysia

Malaysia menghantar nota bantahan kepada Kementerian Luar Negeri dan Polis Indonesia berikutan kerosakan yang dilakukan oleh penunjuk perasaan terhadap harta benda Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan, Isnin.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afzaruddin Syed Hassan berkata beliau dukacita dengan kejadian itu terutamanya pihak polis Indonesia yang gagal melindungi harta benda kedutaan itu daripada dirosakkan oleh penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan itu hari ini.

“Jika mereka ingin mengadakan demonstrasi di luar kedutaan itu, silakanlah kerana mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian, namun mereka tidak harus merosakkan harta benda kedutaan.

“Pihak polis Indonesia didapati tidak mengambil tindakan menghalang penunjuk perasaan daripada melakukan kerosakan-kerosakan itu,” katanya di sini petang ini.

Syed Munshe Afzaruddin berkata dalam kes hari ini, polis Indonesia didapati gagal melindungi harta benda pejabat perwakilan asing sebagaimana yang diperuntukkan oleh Konvensyen Vienna.

Duta Besar Malaysia itu turut menyampaikan rasa kecewa beliau secara lisan kepada seorang wakil polis Indonesia, yang masih berada di luar Kedutaan Besar Malaysia selepas para penunjuk perasaan itu bersurai.

Para penunjuk perasaan juga enggan menanggalkan bendera kumpulan itu serta bendera merah putih, yang dipasang di atas pintu pagar kedutaan besar itu.