Khamis, 5 Ogos 2010

BN hutang RM390,000 saman ekor kereta Exco

ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah kesal kerana terpaksa menjelaskan tunggakan saman ekor RM390,000 yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, selagi tunggakan itu tidak dijelaskan, Kerajaan Negeri tidak boleh mendaftarkan lima kereta rasmi kerajaan yang baru.

"Kita terpaksa gantikan kereta Proton Perdana V6 yang selama ini digunakan Exco Kerajaan Negeri kerana sering rosak. Kita beli lima kereta Toyota Camry tetapi kereta yang baru dibeli ini tidak boleh didaftarkan kerana ada masalah tunggakan saman ekor RM390,000 oleh kerajaan yang terdahulu. Ini satu pembaziran yang nyata," katanya.Azizan berkata, lima kereta Toyota Camry itu dibeli untuk kegunaan Exco atas keperluan pentadbiran.

"Ini tidak membazirkan wang rakyat. Kereta Perdana V6 yang kita ambil alih daripada kerajaan terdahulu kini tidak lagi begitu elok, selalu rosak. Kos baiki akibat kerosakan yang kerap boleh jadi banyak kerana kereta semakin lama semakin teruk dan kosnya akan meningkat, manakala nilainya juga akan semakin jatuh."Kerana itu kita perlu tukar dan kereta ini sudah dibeli bulan lepas," katanya.

Azizan berkata, penggantian kereta rasmi ini akan dilakukan secara berperingkat, dan akan diserahkan kepada Exco berkenaan mengikut keutamaan keperluan.

“Saya bersyukur kerana setelah Pegawai Kewangan Negeri berunding dengan pihak berkenaan, segalanya dapat diselesaikan segera. Kereta - kereta itu kini dalam proses untuk didaftarkan dan kemungkinan dapat digunakan dalam bulan ini juga,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri agak terkilan kerana wang yang diperuntukkan mencecah ratusan ribu ringgit, walhal peruntukan itu dapat disalurkan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri, bagaimana pun pihaknya terpaksa akur dengan situasi kerana tidak mahu menanggung beban hutang. -SH

Presiden Iran nyaris maut


GAMBAR menunjukkan kepulan asap akibat letupan bom (kiri) dekat sebuah kenderaan yang dinaiki Mahmoud (dalam bulatan) di bandar Hamadan semalam.

TEHERAN – Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad terselamat dalam satu serangan bom dekat konvoi kenderaannya semasa beliau melawat bandar Hamadan semalam.

Sumber-sumber menyatakan konvoi tersebut menjadi sasaran kerana terdapat kenderaan yang membawa Mahmoud dari sebuah lapangan menuju ke sebuah kompleks sukan untuk menyampaikan ucapan.Beberapa orang cedera dan seorang suspek telah ditahan.

“Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui siapakah yang menjadi dalang,” kata satu sumber.

Mahmoud kemudiannya tampil di siaran langsung televisyen Iran dalam keadaan sihat dan tidak bercakap mengenai serangan tersebut.

Selaku pemimpin popular dan tegas, Mahmoud didakwa mempunyai musuh di kalangan puak konservatif dan reformis di Iran selain dari luar negara.

Stesen televisyen Al-Arabiya melaporkan, seorang penyerang telah melontar sebiji bom ke arah konvoi sebelum dia ditahan.

Bom berkenaan dikatakan mengenai sebuah kereta yang membawa wartawan dan kakitangan Presiden. Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Pada Isnin lalu, semasa memberi ucapan pada satu seminar ekspatriat Iran di Teheran, Mahmoud menyatakan bahawa beliau yakin akan menjadi sasaran pembunuhan yang dirancang oleh Israel.

Kabinet pimpinan Mahmoud kini berdepan keperitan ekonomi ekoran sekatan baru antarabangsa yang dikenakan kerana keengganan Iran menghentikan program kuasa nuklearnya. – Reuters

Ke Mana Perdana Menteri Kita?

Oleh Mohd Sayuti Omar
KENAPA tidak ada dengar berita ke mana Perdana Menteri yang kita sayangi Mohd Najib Razak bercuti? Sepi dunia Malaysia dua tiga hari ini bila Najib bercuti. Kerana ketiadaanya dia juga menyebabkan ada orang yang berani mempertikaikan slogan keramatnya 1 Malaysia. Ada yang kata orang tidak faham slogan berkenaan.

Ada pula yang kata masa diperlukan untuk menjelaskan slogan berkenaan. Kononnya slogan itu baik kerana ia digagas bersemangatkan perlembagaan negara, tetapi sayang ia tidak difahami dan dimengertikan. Semacam puji tetapi benci Najib saja kata-kata itu.
Najib diberikan bercuti ke luar negara 10 hari. Menjelang 1 Ramadhan Rabu depan beliau akan kembali. Ikut bersama tentulah isterinya, Rosmah Mansor. Rosmah selamanya tidak akan membenarkan Najib ke luar negara bersendirian. Malahan Najib menghadap Raja Abdullah Abdullah pun Rosmah kena hadir sama. Belum pernah dibuat orang - bertemu dengan Raja Arab isteri (perempuan) ikut bersama.

Tetapi itu berlaku kepada isteri Najib. Betapa sayangnya Najib tidak macam Abdullah Badawi atau pembesar lain, meninggalkan Jeanne Abdullah di luar sementara bekas PM itu jumpa Abdullah. Bertuahlah si Rosmah Mansor.

Ke mana Najib bercuti? Katanya ke Perancis? Untuk apa ke Perancis. Seorang teman saya memberi tahu Najib di panggil oleh pihak berkuasa Perancis untuk menjawab beberapa soalan berhubung dengan rasuah dalam pembelian kapal selam. Saya cepat-cepat menafikannya.

"Masakan Perancis memanggil perdana menteri kita?" kata saya menolak dakwaan itu. Saya kira kata-kata kawan itu adalah teridea dari pembangkang.

Dia berkeras menjelaskan apa yang beliau tahu. Tetapi saya berkeras menafikannya. Tidak logik. Jangan cuba burukkan Najib dengan rasuah itu. Ia tidak ada kena mengena. Kononnya pihak berkuasa Perancis sudah mula menyoal pihak-pihak tertentu. Skandal itu katanya memalukan Perancis.