Khamis, 15 Julai 2010

Agen asing: Anwar bakal hadapi cabaran dahsyat

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Populariti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bakal memaksa beliau menghadapi pelbagai cabaran yang lebih dahsyat, termasuk ancaman bunuh.
Bagi Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pemimpin tertentu Umno sanggup berbuat demikian memandangkan mereka sejak 12 tahun yang lalu beberapa kali sanggup memfitnah Anwar sebagai agen asing.
"Saya tidak fikir Umno akan berhenti selepas 12 tahun menyerang Anwar, saya yakin pelbagai serangan yang lebih dasyat lagi mungkin akan menjerut leher Anwar.
"Ada satu perkara hujung pada itu yang Umno masih tidak buat, dia belum tamatkan riwayat Anwar saja," ujar beliau petang tadi pada satu wawancara di lobi Parlimen.
Sebelum pada itu, beliau berkata, Anwar pernah difitnah sebagai agen Libya sewaktu menjadi pemimpin mahasiswa kerana usahanya meniupkan ledakan kesedaran Islam mendapat perhatian dunia, termasuk Libya.
Katanya lagi, Anwar sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah difitnah sebagai pengkhianat serta mengamalkan homoseksual dengan beberapa individu.
Bertitik tolak pada sangkaan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Anwar akhirnya terpenjara enam tahun.
Selepas dibebaskan, beliau berkata, Anwar difitnah lagi sebagai ejen Yahudi pula kerana beberapa peribadi tertentu yang berbangsa Yahudi berminat dengan usaha Anwar menentang rasuah dan meniupkan reformasi dalam negara.

Khairy Mungkin Lepaskan Jawatan Ketua Pemuda Umno


KUALA LUMPUR 15 Julai — Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengesahkan yang beliau sedang mempertimbangkan dengan serius untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti dijangka diadakan tahun depan.
Ketua Pemuda penggal pertama ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.“Betullah apa yang ditulis dalam Agendadaily itu,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia.
Menurut laporan Agendadaily semalam, Khairy sedang menimbangkan secara serius untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti nanti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, keputusannya untuk melepaskan jawatan itu semata-mata kerana mahu memberi laluan kepada bakat baru.
“Ya, memang saya ada berkata begitu. Walaupun belum muktamad lagi tetapi saya memang menimbangkan secara serius untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda,” katanya.
Khairy berkata demikian apabila ditanya sama ada benar atau tidak beliau ada membuat kenyataan mengenai hal itu ketika merasmikan satu mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian di Pahang baru-baru ini.
Awal tahun ini, wujud desakan supaya Khairy berundur untuk menyelamatkan pergerakan itu.

PAS & UMNO yang saling sesat – menyesat : apa beza?

Oleh - Nik Abduh
UMNO kata PAS sesat dan PAS kata UMNO sesat. Kerana saling sesat – menyesatkan maka mereka saling bercakaran walaupun sebab utama percakaran bukanlah kerana tindakan saling lempar – melempar itu, tetapi kerana dasar perjuangan mereka yang berbeza. Maksudnya, jika tak saling menuduh, tak sesat – menyesatkan pun mereka akan tetap bercakaran juga kerana percanggahan ideologi itu.
Dari dulu lagi PAS kata UMNO sesat dan dari dulu yang sama tempohnya juga UMNO kata PAS sesat. Tak tahulah bila nak berhenti. Memang bila dah sesat, memang susah nak sampai ke penghujung, apatah bila dah saling sesat – menyesatkan, lagi – lagilah susah nak ketemu hujung habisnya. Hari ini saya tak kisah pun jika mendengar orang PAS kata UMNO sesat dan begitulah jika saya dengar UMNO kata PAS sesat juga. Sebabnya, dah kalih, dah lama sangat dengar cerita saling sesat – menyesatkan ini.
Sesat maknanya salah, menyeleweng dan tak betulnya dasar atau matlamat atau cara atau tindakan seseorang itu. Maka orang yang menyesatkan itu mestilah menerangkan maksudnya itu agar difahami. Tak masuk Islam adalah sesat, tak solat pun sesat dan solat tak ikut tertib rukun pun sesat, tetapi ia adalah sesat yang berbeza. Yang pertama sesat kufur, yang kedua sesat jenis fasiq dan yang ketiga pula sesat kerana tak ikut cara nabi, maka tak sah solatnya. Solatnya jadi sesat juga. Maksudnya, sipenuduh sesat itu kenalah menerangkan maksudnya itu agar difahami dan tak jadi sesat pula orang kerana tersalah faham maksudnya itu.
Maksudnya, si penyesat atau si penuduh itu perlulah bertanggung jawab. Mesti, kerana jika tidak, sesatnya itu akan kembali pula kepadanya kerana dia telah menyebabkan orang jadi sesat kerana tersalah faham maksudnya itu, selain kemungkinan dia sesat kerana tuduhan menyesatkan yang sememangnya tidak betul.
Macam fatwa Wilayah Persekutuan yang menyesatkan ESQ. Jika betul, bagus sangatlah fatwa itu. Selamatlah ramai orang daripada jerat ESQ yang tersohor sangat namanya itu saat ini sehingga telah ada kumpulan alumni dan generasi ESQ pula katanya. Tetapi, jika fatwa itu menambahkan kekeliruan dan kekeliruan itu gagal dijelaskan sebaik – baiknya oleh pihak berkenaan yang mahu mengekalkan fatwanya itu, maka fatwa itu pula jadi sesat. Menyesatkan yang tak sesat adalah sesat.