Jumaat, 18 Disember 2009

2 pemimpin AMK ditahan edar risalah kes liwat





PETALING JAYA, Dis 18 — Dua pemimpin kanan Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis selepas sembahyang Jumaat hari ini kerana mengedarkan risalah meminta Mahkamah Syariah mempercepatkan kes liwat yang didakwa oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin berkenaan, Ketua AMK Selangor Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Timbalan AMK Kelana Jaya, Azizi Ahamat ditahan di kawasan Majlis Negeri Shah Alam.

Menurut Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, kedua-dua mereka ditahan kira-kira 2.30 petang tadi kerana didakwa mengedarkan risalah tanpa permit.

Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 30 orang yang mengedarkan risalah di pekarangan Masjid Negeri Shah Alam.

“Mereka didakwa mengedarkan risalah yang mendesak Mahkamah Syariah supaya menyegerakan proses mendengar kes liwat membabitkan Saiful. Risalah ini mendakwa wujud campur tangan pihak atasan agar kes ini dilewatkan daripada didengar,” kata Shamsul Iskandar ketika dihubungi.

Setakat 4 petang tadi kedua-dua mereka masih ditahan di Balai Polis Seksyen 11 Shah Alam.

“Saya difahamkan siasatan masih dijalankan, kemungkinan dikenakan tuduhan mengedarkan risalah tanpa permit dan mungkin juga didakwa di bawah Akta Hasutan... belum pasti lagi,” kata beliau yang juga seorang peguam.

Anwar, 62, yang juga penasihat PKR membuat laporan di bawah kesalahan qazaf terhadap Saiful, 23, yang mendakwa bekas majikan itu telah meliwatnya Jun 2008.

Beliau dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Kesnya kini didengar di mahkamah sivil.

AMK kini sedang mengadakan siri ceramah 40 hari di seluruh negara berhubung isu semasa termasuk kes liwat Anwar.

Ia mendesak kerajaan pusat membenarkan Mahkamah Syariah turut mendengar kes liwat terhadap Anwar, serentak dengan kes di mahkamah sivil.

Dalam pada itu, polis Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata Khairul Anwar dan Azizi ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Kami merasa kesal kerana mereka ini tidak menghormati institusi masjid dengan melakukan perkara itu di kawasan yang merupakan tempat untuk beribadah selain mencemar sambutan Maal Hijrah,” kata beliau dipetik Bernama.

Menurutnya jika siasatan terhadap kedua-dua mereka tidak selesai hari ini, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman di mahkamah esok bagi membolehkan mereka terus ditahan bagi membantu siasatan.TMI

Update Video:Usrah Mingguan Pas Beris Pak Abu 17/12/2009




Tahlil semasa Usrah Mingguan Pas Beris Pak Abu bertempat di rumah Bendahari Cawangan Hj Abd Ghaffar Latif(Pok Do)





Sesi Pembacaan semasa Usrah Mingguan Pas Beris Pak Abu bertempat di rumah Bendahari Cawangan Hj Abd Ghaffar Latif.

SALAM DARI AMBO TINTA HIJAU DARI KAKI BUKIT

Usrah Mingguan Pas Beris Pak Abu(17/12/2009)







Salam,Usrah Mingguan minggu ini di teruskan seperti biasa.Kali ini Usrah di adakan di rumah Bendahari Cawangan Hj Abd Ghaffar Latif.Usrah di mulakan dengan tahlil ringkas.Selepas itu sedikit tazkirah oleh Naqib,Ust Abd Aziz dan di teruskan dengan sesi pembacaan dari buku kami Sirah Rasullah.Kali ini menceritakan tentang kisah dakwah Nabi SAW ke Taif.Biasanya kami bergilir gilir membaca dalam sesi ini.Selepas perbincangan hasil pembacaan,Usrah di teruskan dengan Isu Semasa.Isu semasa membincangkan beberapa perkara antaranya pakaian rasmi Unit Usrah kami.Perkara ini sudah di bincangkan lama dahulu tapi perjalanannya terbantut.Untuk merealisasikan hasrat ini kami bersetuju sekali lagi mengadakan tabung.Tabung lagi!!! takpelah asalkan ianya berjaya.Tabung ini menghendaki setiap ahli menyimpan RM 2 seminggu.Apabila duitnya cukup kelak barulah di tempah pakaian yang sebagaimana kami inginkan.Turut di sentuh penyertaan Tabung Ibadat Korban.Setakat ini sudah ada 33 penyertaan,hampir 5 ekor lembu.Nampaknya Aidiladha tahun depan kami terpaksa bekerja keras he..he..Kami juga bersetuju untuk mengadakan perancangan perjalanan aktiviti kami pada tahun hadapan pada minggu pertama Jan nanti di Madrasah Hj Husin bersempena Majlis Jamuan Bulanan Pas Beris Pak Abu.Turut di sentuh Kewangan Pasti Abbasiyah Bukit Puteri. Satu Majlis Minum Teh sambil menderma akan di adakan bagi mengisi Tabung Kewangan Pasti.

SALAM DARI AMBO TINTA HIJAU DARI KAKI BUKIT

Analisa:Najib, UMNO dan Felda

Untuk setengah abad yang lalu, FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) memainkan peranan yang penting di tanahair Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu, termasuklah bidang ekonomi, sosial, dan yang paling penting, politik.

Malah, tsunami politik 8 Mac 2008 mungkin telah mengaramkan UMNO-BN seandainya FELDA tidak wujud. Menurut perhitungan ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, FELDA memainkan peranan yang penting di kira-kira 50 kawasan parlimen.

Pengaruh FELDA terserlah, dan dilihat sebagai kubu politik UMNO. Pengasasnya Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Abdul Razak bin Hussein yang dikenang kerana jasanya membangunkan tanah kawasan luar bandar, yang pada ketika itu didiami orang Melayu kebanyakannya.

53 tahun sudah berlalu. FELDA kini diwarisi oleh anak Bapa Pembangunan. "UMNO perlu berubah", demikianlah slogan yang dilaungkan sebelum menemui hasil sebenar. Kesudahannya belum pasti. Yang pastinya, FELDA telah berubah sebaik sahaja PM keenam, Najib Razak menerajui tampuk pimpinan kerajaan.

Felda sebagai kubu UMNO

Penguasaan terhadap FELDA memberi makna penting dalam politik Melayu. UMNO memenangi 74 kerusi parlimen daripada 117 yang ditanding dalam PRU ke-12. Senario ini jauh berbeza daripada kemenangannya dalam PRU ke-11 pada tahun 2004, menyapu 109 kerusi parlimen, iaitu setengah daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat ketika itu.

Pada hakikatnya, UMNO perlu menguasai FELDA untuk menguasai kawasan luar bandar. Dengan kata lain, UMNO perlu menguasai FELDA untuk mengekalkan kuasa. Menurut seorang pegawai atasan dalam Felda Holdings Berhad, interaksi antara Najib dengan FELDA bertambah kerap setelah beliau menyandang jawatan PM. Malah, pertemuan dengan peneroka diaturkan hampir setiap dua minggu, selagi Najib dapat meluangkan masanya.

Menurut sumber maklumat ini, selain peruntukan tanah, masyarakat peneroka juga diberi subsidi baja, bahkan menerima dividen dari masa ke masa. Malah, sesetengah peneroka menjual baja yang diperolehi secara percuma itu sebagai "skim cepat kaya". Jelas, Najib sedar bahawa kepentingan UMNO hanya terlindung apabila kepentingan peneroka FELDA dijaga.

FELDA sebagai kuasa ekonomi

Walau bagaimanapun, FELDA bukan sekadar berperanan untuk mengagih sumber sambil menerima undi sebagai pulangannya. Menurut maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sayap komersial FELDA, iaitu Felda Holdings Berhad mencatat pendapatan sejumlah RM15.3 bilion, dan keuntungan bersih sejumlah RM635.7 juta pada tahun kewangan 2008.

Pada masa yang sama, syarikat tersebut memiliki wang simpanan tetap sejumlah RM 1.4 bilion, dan wang tunai serta simpanan bank sejumlah RM 222.7 juta pada akhir tahun 2008.

Selain itu, menurut laporan media, FELDA memiliki 850,000 hektar tanah tanaman, 38 buah anak syarikat, 75 buah kilang minyak kelapa sawit, dan 7 buah kilang pengekstrak minyak kelapa sawit -- penanam dan pengurus tanaman yang terbesar di dunia. Malah, FELDA menakluki 20% pasaran kelapa sawit di dunia. Secara puratanya, pendapatan FELDA mencecah RM15 bilion setahun, dan memperolehi keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.3 bilion pada tahun 2008.

FELDA menerokai dunia global

Demikianlah hasilnya setelah setengah abad penerokaan dan pembangunan tanah di Malaysia. Kini, FELDA merancang untuk mengembangkan sayapnya ke peringkat global mengikut jejak Petronas.

Menurut laporan media pada 2 Julai 2009, Felda Global Venture Holdings telah ditubuhkan untuk mengambil alih dan membangunkan perusahaan pelaburan komersial di bawah FELDA. Malah, Felda Global telah mengumumkan kesediaannya untuk melabur lebih daripada RM 6 bilion untuk memperluaskan perusahaannya dalam masa lima tahun yang akan datang.

Persoalannya, apakah latar belakang Felda Global? Syarikat ini telah ditubuhkan pada Disember 2007, namun hanya diumumkan struktur organisasinya pada Julai 2009. Sebelum ini, Felda Global berada dalam keadaan separuh-lelap, dan hanya bangkit apabila Najib menjadi PM secara rasmi pada April 2009.

Felda Global telah memulakan pelaburannya di luar negeri, walaupun apa yang diumumkan kepada khalayak adalah terhad. Selain penerokaannya di peringkat global, Felda Global memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi Malaysia. Baru-baru ini, Felda Global telah membeli Malayan Sugar Manufacturing Company Bhd daripada Raja Gula, Robert Kuok dengan RM1.22 bilion.

Najib, dan konco-konconya

Cuma, siapa pula di sebalik Felda Global? Jawapannya, Mohd Bakke Salleh (gambar kiri), orang rapat Najib yang dikhabarkan bakal mengambil alih jawatan Hassan Marican pada Februari 2010 sebagai CEO Petronas. Bagaimanapun, pegawai khas Najib ketika beliau menjadi TPM, Omar Mustapha Ong akhirnya yang dilantik memasuki Lembaga Pengarah Petronas untuk menutup spekulasi yang tersebar.

Bakke Salleh, menguasai Felda Holdings Berhad sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global. Jelas, perlantikannya diiringi dengan misi daripada Najib untuk membangunkan Felda Global seiring dengan Petronas. Bakke Salleh pernah menganggotai Lembaga Pengarah Danaharta dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji pada tahun 2001, untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi oleh Lembaga Tabung Haji.

FELDA terpesong dari matlamat asal

Misi penerokaan ke dunia global yang diamanahkan kepada Felda Global sememangnya memperlihatkan agenda politik dan kepentingan golongan tertentu di sebaliknya. Namun, seandainya diimbas kembali matlamat asal penubuhan FELDA, kita terpaksa mengakui bahawa sudah tiba masanya untuk merombak agensi ini.

FELDA ditubuhkan pada tahun 1956 untuk membantu orang Melayu di luar bandar dengan rancangan penerokaan dan pembangunan tanah. Pertanian diusahakan sebagai salah satu langkah untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu.

Tetapi, FELDA semakin terpesong dari matlamat asalnya, apabila peneroka mula mencari rezeki di luar kawasan FELDA, dan menjadikan aktiviti pertanian sebagai kerja sampingan. Keadaan ini berlaku terutamanya setelah Malaysia melalui tahun 1980-an, apabila peneroka mula pindah ke bandar untuk bekerja di kilang industri, yang pendapatannya lebih stabil berbanding dengan aktiviti pertanian. Malah, pekerja asing diupah untuk mengusahakan tanah pertanian yang asal.

Lebih-lebih lagi, generasi kedua dan ketiga masyarakat peneroka memilih untuk mencari rezeki di bandar, apabila arus perindustrian kian menderas. Tanah ditinggalkan kepada peneroka yang sudah lanjut usianya, malah tidak larat lagi untuk membanting tulang di kebun.

Keadaan bertambah dahsyat apabila nilai tanah melonjak berikutan proses urbanisasi. Kawasan bandar diperluaskan. Tanah diterokai untuk membina bangunan komersial dan perumahan. Maka, sesetengah peneroka bandar memilih untuk menjual tanahnya dengan kebenaran kerajaan, lantas menjadi jutawan dalam sekelip mata.

Realitinya, perkembangan terkini memperlihatkan bagaimana FELDA semakin hari semakin kehilangan tanah tanamannya. Secara makronya, masyarakat Melayu mungkin mewarisi kekayaan daripada rancangan FELDA, yang sudah terpesong daripada matlamat asalnya. Secara mikronya, Najib mungkin mewarisi legasi ayahandanya, tetapi bukan jiwanya.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Parti akan selesaikan isu Nik Amalina: Idris

SHAH ALAM - Semua pihak diminta tidak memberi kenyataan berhubung tindakan Nik Amalina, anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyentuh dasar parti dan pentadbiran negeri dalam blognya.

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, isu tersebut mampu diselesaikan secara dalaman dan tidak perlu diperbesarkan kepada media.

“Masalah ini tidak perlu campur tangan banyak pihak. Ia mampu diselesaikan melalui kebijaksanaan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Amalina dalam blognya mengulas pergolakan politik dalaman negeri itu ada kaitan dengan suaminya, Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).SH

Dikaitkan Dengan Bung Moktar,Zizie Kini Sangat Tertekan


KUALA LUMPUR, Dis 18 — Pelakon Zizie Izette yang dikatakan sudah berkahwin dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin bukan saja enggan mengulas berita pernikahannya, bahkan sangat tertekan dengan apa yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Menurut pelakon berkulit gebu itu, dia membuat keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan lagi kerana bimbang penjelasannya disalah erti.

"Saya dah tak nak ulas apa-apa lagi pasal tarikh nikah atau apa saja. Cukuplah dengan apa yang saya berikan kepada Utusan Malaysia tempoh hari," katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Aktres berusia 31 tahun itu mengulas dakwaan kononnya dia menyembunyikan berita pernikahannya dengan Bung Moktar.

Bung Moktar yang dihubungi semalam meminta agar tidak buat spekulasi lag.

Pun begitu, Timbalan Pengerusi Kelab Ahli Parlimen BN itu “disahkan” sudah berkahwin dengan pelakon Zizie Izette.

Rakan Bung Moktar, Datuk Mohamed Aziz berkata, "terjawablah sudah teka-teki."

"Saya telah menghubungi kawan saya Bung Moktar, senang cakap mereka sudah selamat.

"Saya mendoakan agar beliau bahagia, kebahagian kawan adalah kebahagian kita," kata Mohamed yang juga Ahli Parlimen Sri Gading ketika ditemui di bangunan Parlimen semalam.

Mengulas lanjut, Zizie memohon pertimbangan daripada semua pihak agar memberikan ruang buatnya untuk memberi fokus pada kerjaya lakonannya.

"Saya merasa amat tertekan ketika ini. Sudahlah tak ada masa untuk diri sendiri kerana sibuk dengan lakonan terpaksa pula menjawab soalan orang ramai.

"Jadi, lebih baik saya tidak memberikan apa-apa lagi kenyataan kerana bimbang apa yang diperkatakan akan disalah erti serta menyebabkan orang lain terluka.

"Saya tidak berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak," kata Zizie lagi.

Pelakon filem Kekasih Awal dan Akhir itu juga enggan berjanji dengan mana-mana pihak sama ada satu hari nanti dia akan mengumumkan hal yang melibatkan pernikahannya.

Zizie berkata, buat masa sekarang, dia tidak mahu langsung memikirkan isu pernikahannya kerana terlalu sibuk dengan komitmen lakonan.

"Biarlah masa yang menentukan segala-galanya. Daripada pihak saya buat masa sekarang tiada apa yang ingin dikongsi dengan anda semua.

"Saya sudah penat untuk menjawab soalan sama yang ditanya kepada saya sejak kebelakangan ini," tegas Zizie lagi.

Sejak beberapa hari lalu heboh diperkatakan Zizie dan Bung Moktar sudah bernikah dan mengadakan majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Selain Bung Moktar, ibu kepada aktres berkenaan, Khaty Fauziah juga menegaskan, anaknya belum bernikah dan sebagai ibu dia merestui jodoh anaknya dengan mana-mana saja lelaki pilihan Zizie.TMI

Boleh tak Umno jangan lagi heret istana dalam politik?



Di E-Mel Eksklusif untuk Malaysiaberih

oleh: Anuwa Jamalullail

Para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang masih belum betul-betul kebah daripada penangan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu nampaknya semakin tidak berdaya menangkis asakan pembangkang. Kekalahan memalukan di beberapa negeri lagi selain Kelantan beserta kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Negri Sembilan membuatkan BN bertambah nanar dan tidak keruan.

Keadaan BN boleh diibaratkan seperti seorang kepala gedebe (samseng, penyangak, kaki buli dan yang setaraf dengannya) yang seluruh anggota badannya tercedera. Kakinya bengkak, dadanya luka, tangannya bernanah dan otaknya juga makin biul dan meracau.

Dia sudah hilang kekuatan fizikalnya. Malangnya dia belum insaf juga. Sebaliknya kejahatan dan ke-gedebe-annya sebelum ini terus menghantuinya. Rasukan itu sentiasa menguasai dirinya untuk terus mengekalkan statusnya sebagai kepala gedebe.

Bagi menjaga pangkat dan egonya, dia perlu banyak bergantung kepada saki-baki pengaruhnya di kalangan penjuak dan pencacainya. Di ketika tertentu, dia sudah tidak segan silu mengguna nama seseorang yang lebih dihormati masyarakat untuk menyelamatkan ego dirinya.

Begitulah lebih kurang hakikat dihadapi BN, khususnya Umno, dalam mendepani sepak terajang politik masa kini. Ia tidak ada kekuatan sendiri. Sebab itu saban kali pilihan raya, sama ada umum mahu pun kecil, rakyat dapat saksikan bagaimana BN dan Umno tanpa segan silu memanipulasi jentera kerajaan yang masih dikuasainya. Tenaganya tenaga pegawai dan kakitangan kerajaan yang dikerah membantu kempen BN. Wang ringgitnya juga menerusi peruntukan kerajaan.

Mutakhir ini (atau secara lebih tepatnya, selepas kekalahan memalukan dalam PRU-12), BN seakan makin berselera memanfaatkan satu lagi institusi masyarakat demi kepentingan politiknya. Dalam beberapa kes yang agak menonjol kebelakangan ini, BN tampil mengaitkan sesuatu tindakan yang dilakukan pihak lain dengan istana. BN nampaknya semakin gemar lantas segera menuduh dan melabel sesuatu yang dinilainya menguntungkan Pakatan Rakyat (PR) dan merugikan BN sebagai mengingkari keputusan istana.

Ingat lagi cerita kegawatan politik Perak sejak Februari lalu? Tindakan para pemimpin PR membantah pembentukan kerajaan ‘katak’ oleh BN, pemboikotan sidang Dun, penganjuran sidang Dun di bawah pokok dan di hotel, kempen pemakaian serba hitam menuntut pembubaran Dun Perak dan berbagai lagi, semuanya dilabelkan BN sebagai tindakan menghina Sultan Perak.

Hujah mereka, kerajaan BN adalah kerajaan yang sah dan diperkenan Sultan, menteri besarnya (apa nama dia yang suka mempersenda orang dan bercakap lepas tu?) dilantik berwatikah daripada Sultan, para anggota Exconya juga diperkenan istana. Maka kesimpulan mudah, menentang kerajaan ‘katak’ BN itu sama seperti mengingkari perkenan istana.

Tuihh!! Inikah yang dikatakan orang, bercakap tak pakai otak? Apakah kerajaan PR yang dijatuhkan BN secara tidak bermaruah itu tidak mendapat perkenan istana? Apakah Mohamad Nizar Jamaluddin yang mendapat anugerah ‘Datuk Seri’ itu menjadi Menteri Besar Perak tanpa sembah perkenan Sultan? Jika ya, apakah tindakan BN menidakkan kuasanya yang diperkenan itu juga membelakangkan perkenan istana?

Itulah gambaran pemikiran senget sebelah di kalangan para pemimpin dan pendokong BN. Nilaian sebelah pihak itu juga terserlah beberapa kali dalam hal membabitkan kritikan pelbagai pihak terhadapa Sahibus Samahah Tan Sri Mufti Perak. Agamawan yang sepatutnya menjelaskan perkara sebenar berhubung agama itu kerapkali bercakap dan mengulas isu politik secara melulu dan menjurus kepada mempertahankan tindakan Umno/BN.

Apabila hujah beliau yang sering tidak berpihak di bumi nyata dan tidak bersandarkan realiti isu terbabit disanggah pelbagai pihak, Umno dan penjuaknya segera pula melabelkan pihak yang menyanggah itu sebagai menghina Sultan Perak. Hujahnya sama, oleh kerana mufti itu terlantik dengan perkenan istana, maka apa-apa pertikaian terhadap mufti adalah boleh dikaitkan sebagai menghina perkenan itu.

Hujah sedemikian turut kita dengar dalam isu pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). Ura-ura pelantikan Pesuruhjaya PAS yang memenangi Dun Permatang Pasir, Ustaz Mohd Salleh Man sebagai YDP MAIPP menggantikan Adun BN, Mohd Shabudin Yahya yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember nanti juga dikaitkan sebagai mengingkari istana.

Jahatnya BN, dalam keadaan ia sudah tidak memerintah kerajaan negeri dan sudah maklum tentang pelantikan YDP MAIPP baru, ia masih merasakan layak menentukan sesuatu yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Mereka telah lebih awal mencadangkan nama seorang akademik menggantikan Shabudin dan mendakwa nama tersebut telah mendapat perkenan Yang Dipertua Agung selaku Pengerusi MAIPP.

Maka apabila kerajaan negeri tampil dengan nama pilihannya untuk jawatan tersebut, Umno memanipulasi keputusan itu sebagai menolak keputusan yang telah dibuat pihak istana. Memang jahat lah Umno ini, bukan? Agaknya kalau tak jahat, memang tak layak duduk dalam Umno, ya?

Isu pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid di Perak sepertimana disiarkan Berita Harian, Khamis (17 Disember) pula boleh dijadikan contoh terkini. Laporan itu, yang memetik tulisan Adun BN-Slim River, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, dalam laman blognya mendakwa Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Sheikh Mohamad Nor Mansur Al-Hafiz cuba bermain politik dalam pelantikan pengerusi dan AJK masjid kariah.

Sheikh Mohamad Nor didakwa membelakangkan senarai yang telah diperkenan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP). Kononnya beliau mengarahkan Pegawai Tadbir Agama memotong nama yang diperkenan dan menggantikannya dengan nama pemimpin PAS.

Sejauh manakah dakwaan itu berasas tidak dapat dipastikan. Pihak-pihak yang terbabit dalam perkara itu dilaporkan enggan membuat sebarang ulasan, selain menganggap sesuatu yang membabitkan pihak istana adalah isu sensitif.

“Saya tidak boleh komen sehingga ada bukti,” akhbar itu memetik ulasan ringkas Sheikh Mohamad Nor.

Memang Sheikh Mohamad Nor dikenali sebagai pendokong PAS. Beliau pernah bertanding sebagai calon PAS, malah dilantik ke jawatan Pengarah JAIP juga di zaman pemerintahan PR pimpinan PAS tahun lalu.

Namun perlu diingat beliau adalah seorang yang mempunyai pengalaman luas sebagai penjawat awam. Beliau telah menjadi Imam Besar Negeri Perak lama sebelum ini. Beliau malah diperkenan istana untuk dilantik semula walau pun selepas melepaskan jawatan untuk menjadi calon PAS. Tahap profesionalismenya dalam menyempurnakan tugas pentadbiran tidak sepatutnya sebegitu mudah diperkelehkan semata-mata kerana pendirian politik peribadinya.

Pemimpin Umno perlu rasional dalam hal ini. Otak mereka perlu lebih terbuka dan menerima perbezaan pendirian dan aliran pemikiran. Bukankah kita sekarang di tengah alunan irama 1Malaysia? Masakan masih ada seorang bertahap wakil rakyat berfikir macam katak bawah tempurung, sehingga melihat semua jawatan kerajaan mesti diisi hanya oleh mereka yang sealiran pemikiran dengan Umno/BN sahaja? 1Malaysia kan untuk semua, bukan untuk satu parti saja!

Lagi pun pelantikan Sheikh Mohamad Nor ke jawatan Pengarah JAIP juga membabitkan perkenan istana. Selaku Pengarah JAIP beliau juga menyertai Raja Dr Nazrin dalam MAIAMP selaku Setiausaha.

Ertinya bidang tugas dan tanggungjawab beliau saling berkait dengan pihak istana. Maka apabila Umno mempertikaikan apa-apa keputusan dan arahan pentadbiran dibuatnya, apakah itu juga tidak boleh dikaitkan sebagai menghina pihak istana yang telah memperkenankan pelantikan beliau?

Kalau dalam kes pelantikan Menteri Besar Perak (apa nama dia tu?) dan kes mufti Perak tadi, Umno mendakwa mempertikaikan mereka sama ibarat mempertikai istana yang memperkenan pelantikan mereka. Apakah Umno tidak berpegang kepada hukum sama dalam kes Pengarah JAIP ini?

Paling penting sekali, sepatutnya dalam apa juga pertarungan politik, Umno/BN perlu gentlemen. Hadapilah parti lawan secara anak jantan dan bermaruah. Berhentilah daripada tabiat buruk yang ‘sikit-sikit heret istana’ dalam isu politik. Soalnya, apakah BN/Umno masih ada maruah untuk akui keadaannya yang nazak dan amat terdesak mengharapkan bantuan pihak lain?

Video:Gol Emas Kemenangan Malaysia Juara Bola Sepak Sukan SEA XXV Laos 2009 menewaskan Vietnam 1-0







Gol Kemenangan MALAYSIA mengakhiri penantian 20 tahun pingat emas bola sepak Sukan Sea apabila menewaskan Vietnam 1-0 di Laos, sebentar tadi.

Gol kemenangan hasil jaringan sendiri pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-84.