Isnin, 14 Disember 2009

Utusan pula jadi sasaran aduan polis DAP





Akhbar berpengaruh Utusan Malaysia dipertikaikan lagi hari ini berhubung artikelnya yang membayangkan wujudnya usaha "sistematik menuju ke arah negara republik dengan sasaran utama untuk menulis semula perlembagaan."

Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran membuat aduan polis terhadap pengarang pojok tersebut, yang dikenali Awang Selamat, berhubung artikel 'Malaysia menuju republik?' dalam edisi mingguannya semalam.

"Apakah para pemimpin DAP yang memperjuangkan gagasan Malaysian Malaysia kini menolak kedudukan Raja-raja dan mahu menjadikan Malaysia negara republik?

"Awang percaya (niat) itu yang tersirat. Tetapi disebabkan rasa terdesak DAP kerana perkembangan politik tidak memihak kepada pembangkang, banyak perkara tersirat sudah menjadi tersurat.

"Semakin banyak petunjuk memperlihatkan persiapan DAP begitu sistematik menuju ke arah negara republik dengan sasaran utama untuk menulis semula perlembagaan.

"Tindakan seorang lagi pemimpin DAP, Nga Kor Ming mempersoalkan peruntukan pembinaan banyak masjid berbanding rumah ibadat lain, adalah satu lagi cubaan untuk menafikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

"(Ia sebenarnya selari dengan pendirian para pemimpin parti berkenaan yang menolak Malaysia sebagai negara Islam)," artikel tersebut dipetik.

Dalam aduan tersebut, Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat menyifatkan artikel tersebut palsu dan berbau hasutan, dan sekali gus menafikan kenyataannya di Parlimen baru-baru ini mempertikaikan hak istimewa Melayu seperti peruntukan Perkara 153.
Beliau, bersama seorang lagi pemimpin DAP dan ahli parlimen Taiping Nga Kor Ming, menjadi sasaran akhbar tersebut dengan dakwaan mempertikaikan hak Melayu dan umat Islam.

Nga dituduh sedemikian selepas mempersoalkan peruntukan besar untuk masjid tetapi jumlah kecil sahaja untuk rumah ibadat bukan Islam di Parlimen minggu lalu.

Khamis lalu, Pemuda MIC menyeret seorang pengarang kanan Utusan Malaysia yang melabelkan India sebagai kaum yang suka buat kecoh dalam satu artikelnya kepada polis.

Aduan polis ketua biro integrasi kaum pergerakan itu MT Padmanathant dibuat terhadap Zaini Hassan itu berhubung artikelnya 'Alkisah India di India dan India di Malaysia'.

Selain dua pemimpin DAP tersebut, Awang juga mendakwa kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh juga sebahagian strategi sama apabila mencadangkan bahasa Inggeris diterima sebagai bahasa kedua di negara ini.

"Ia mempunyai muslihat untuk melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang kedudukannya begitu eksklusif dalam perlembagaan," artikel pojok itu dipetik.

Awang berpendapat isu-isu yang dibangkitkan itu bertujuan menenggelamkan kes liwat yang dihadapi oleh penasihat PKR, dan juga ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun depan.

Dalam aduannya di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, Kulasegaran berkata penulis Mingguan Malaysia itu percaya beliau dan Nga sudah bersalah apabila mendesak mereka ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau diseret ke mahkamah.

"Tindakan tersebut dan perkata-perkataan lain dalam artikel tersebut jelas menunjukkan Utusan Malaysia dan penulis berkenaan mencetuskan kebencian kaum yang boleh menjurus kepada ketegangan awam di negara ini," laporan polis itu dipetik. Malaysiakini

Kayveas Buat Laporan Polis Terhadap Murugiah





PUTRAJAYA, 13 Dis -- Pertelagahan antara Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas dan bekas anggota majlis tertinggi parti itu, Senator Datuk T Murugiah terus berpanjangan apabila Kayveas membuat empat laporan polis terhadap Murugiah dan empat yang lain hari Ahad.

Ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini, Kayveas berkata kesemua laporan itu dibuat berikutan tindakan Murugiah dan empat bekas anggota majlis tertinggi PPP, Dr N. A. Shanmuganathan, M. Jeyaratnam, S. G. Jothi dan R. Rajendran yang didakwanya memfailkan laporan palsu terhadap beliau.

Beliau berkata tindakan sedemikian perlu diambil bagi membersihkan namanya dari terus dicemari oleh kesemua individu berkenaan.

"Saya tidak akan berdiam diri lagi dan akan mengambil tindakan ke atas mereka mengikut lunas undang-undang," katanya.

Beliau berkata kesemua empat laporan itu dibuat atas kapasiti beliau sebagai pegawai awam PPP, Presiden PPP, rakan kongsi firma guaman Tetuan Blanche & Kayveas dan orang perseorangan.

"Saya juga turut membuat laporan polis bagi pihak isteri saya, Datin Blanche Olbery sebagai rakan kongsi Tetuan Blanche dan Kayveas kerana beliau kini bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Papua New Guinea," katanya.

Pada 23 Jun lepas, Shanmuganathan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh Kayveas berhubung laporan kewangan PPP.

Menurut Shanmuganathan laporan itu yang dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan pada Mei tahun ini mengandungi beberapa fakta yang tidak benar dan mengelirukan.

Beliau turut mendakwa Kayveas telah mengambil wang parti untuk kegunaan firma guamannya.

Ketika mengulas perkara itu Kayveas berkata SPRM pada 25 Nov lepas telah memaklumkan kepada beliau menerusi surat bahawa aduan itu didapati tidak benar, sekaligus menutup kes itu.

"Ini adalah bukti bahawa laporan itu adalah palsu dan bertujuan untuk menjatuhkan nama baik saya semata-mata.

"Murugiah sepatutnya tidak mempunyai apa-apa jawatan lagi dalam Kabinet kerana dia telah disingkir dari parti. Bagaimana seseorang yang berada dalam kerajaan, membuat onar dalam parti politik kerajaan?" katanya.

-- BERNAMA

Vokalis Mellisa dan gitaris Samudera bersatu untuk Islam








Mohd Rodzi kini berubah wajah















Syed Anwar di malam kesenian Islam

PERMATANG PAUH, 14 Dis: Keaktifan dua bekas anggota kumpulan rock tanahair penghujung 90 an Melissa dan Samudera menyampaikan dakwah menerusi lagu bertemakan Islam wajar dihargai kerana cara tersebut boleh membantu meningkatkan kefahaman Islam di kalangan golongan muda.

Bagi Vokalis Melissa yang terkenal dengan lagu 'Cinta Untuk Nabila', Mohd Rodzi Abdul Hamid dan bekas gitaris kumpulan Samudera, Syed Anuar Syed Yusof yang top dengan lagu 'Salam Sejahtera' kini boleh terus berbangga.

Ini kerana, kalau dulunya mereka menjadi idola remaja yang tergilakan muzik slow rock, kini bertekad akan membawa lagu-lagu berunsur nasihat pula semata-mata ingin melihat perubahan pada masyarakat.

Ini kerana diri mereka pernah disanjung setinggi langit dan tahu betapa agungnya di saat itu namun kini semuanya telah berubah kerana ingin mencari kelainan setelah menyedari kekosongan pada diri sendiri.

Kegelisahan jiwa terutamanya, menjadi kusut walaupun di saat-saat kegemilangan dan hanya dapat menemui titik ketenangan bila berhasrat meninggalkan terus lapangan yang diminati sejak kecil.

Maklumlah kata mereka, zaman itu pergilah ke mana sahaja samada pesta, karnival, konsert dan sebagainya pasti mendapat pujian, tambahan lagi di kelilingi peminat wanita.

"Dulu saya pernah di atas mendapat sanjungan ramai tapi kini saya terus berbangga walaupun tidak lagi sehebat dulu. Sekarang ini terdapat ketenangan yang tidak ada pada zaman muda," ujarnya sebelum mendendangkan lagi top Melissa 'Cinta Untuk Nabila'.

"Saya pula walaupun tidak menjadi penyanyi utama Samudera dan hanya pemain gitar utama turut terasa bahang kemasyhuran apabila gambar sering terpampang di dada akhbar. Namun itu hanya sementara dan sekarang jiwa saya benar-benar tenang, " jelasnya yang kini berhasrat mahu muncul dengan Samudera semula tetapi berlainan imej dan penyampaian jika usahanya perbincangan dengan syarikat rakaman membuahkan hasil.

Penonton walaupun tidak seramai malam konsert rock tetapi kehadiran mereka benar-benar membuktikan kesungguhan untuk memberi semangat baru kepada dua bekas anggota rock berkenaan setelah kembali dengan imej baru di mana Radzi nampak macam ala kumpulan Al-Arqam manakala Syed Anuar macam ala Jemaah Tabligh.

Semalam mereka mengadakan persembahan sempena Malam Kesenian dan Kebudayaan Islam di Dataran Pusat Bimbingan Islam Darul Huda, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Selain menjemput artis yang terkenal dengan irama rock, kumpulan Nasyid sebaris dengan Raihan, Hijjaz dan Rabbani iaitu Kumpulan Rusdan turut mengadakan persembahan pertama setelah tidak bersama 11 tahun lalu.

Turut disajikan dalam program tersebut ialah bacaan sajak, bercerita dalam Bahasa Mandarin dan pantomen bertajuk 'Tidak hargai jasa bapa'.Hrkh

VIDEO WACANA PERDANA: Respon Dr Asri Dan Nakhaie Dalam Isu Royalti Minyak Kelantan







Reaksi Dr Asri dan Nakhaie berhubung Isu Tuntutan Royalti Minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada Wacana Perdana "Islam Di Malaysia: Realiti & Harapan" bertempat di Dewan Kelantan Trade Center pada 12 Disember 2009.
http://mediakini.com

Dasar Pakatan: JAWATANKUASA PAS PUSAT beri lampu hijau

Gambar Hiasan


PETALING JAYA, Dis 14 — PAS yang mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat semalam telah memberikan lampu hijau kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang akan dibentangkan pada konvensyen pertamanya Sabtu ini.

Langkah itu dilihat sebagai pencapaian penting dalam usaha PR untuk mengharungi liku-liku politik ikatan PAS-DAP-PKR itu.

"Ya, kami bersetuju untuk menerima. Ia pencapaian yang signifikan, kami tidak menerima bulat-bulat tetapi kepimpinan PAS telah meneliti dengan mendalam kandungan dasar bersama ini sebelum ia diluluskan," kata salah seorang ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Dzulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Jawatankuasa teknikal PR dijangka melengkapkan kandungan dasar itu hari ini sebelum diterima oleh Majlis Presiden ikatan itu yang dijadual bermesyuarat esok.

Tanpa menghuraikan lanjut, Dzulkefly yang juga salah seorang ahli jawatankuasa teknikal itu menambah, beberapa perkara yang menarik boleh diharapkan daripada dasar bersama itu hujung minggu ini.

"Ini akan menjadi paksi permuafakatan bagi Pakatan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Dasar ini menyentuh keluhuran Perlembagaan, kedaulatan Perlembagaan, demokrasi, ekonomi dan sebagainya... yang mencerminkan pendirian kami selepas 20 bulan melalui situasi jatuh bangun, yang menarik dan yang tidak menarik.

"Kini sudah sampai masa bagi kami memperlihatkan kesungguhan, lebih muafakat, wibawa untuk menghadapi masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, konvensyen akan bermula dengan pembentangan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

"Ia akan disusuli dengan ucapan dasar ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat dan sesi perbahasan sebelum menerima deklarasi di akhir konvensyen," katanya.

Konvensyen Pakatan Rakyat juga akan mengeluarkan deklarasi 10 perkara, kata beliau ketika ditemui.

"Dasar Pakatan Rakyat akan berteraskan pada soal persoalan demokrasi, negara hukum dan institusi negara, ekonomi, bahasa dan agama... kami mengambil pendekatan yang mudah dalam merangka dasar ini, yang menyentuh kepentingan rakyat," kata Saifuddin yang merupakan penyelaras konvensyen pertama ini.

Menurut beliau setiap anggota komponen PR akan menghantar 500 perwakilan menjadikan kira-kira 1,500 wakil akan mengambil bahagian dalam pertemuan ini.

Kata beliau usaha untuk mengadakan konvensyen ini telah dimulakan sejak dua bulan lalu selepas ia diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 21 Oktober lalu.

Konvensyen pertama ini akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam. Ia akan membincangkan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Konvensyen ini dijangka merumuskan beberapa perkara penting, antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menyebut konvensyen ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa.TMI

Kenapa Umno takut dengan senjata orang mukmin?-Tok Guru Nik Aziz


Pemimpin Umno begitu takut da resah dengan Doa yang dibaca Tok Guru ini


SETELAH menerima memo bantahan bertulis yang disampaikan oleh setiausaha saya , maka sahlah yang di luar pintu sana ada sekumpulan orang yang sedang berbuat bising.Saya tidak pasti sama ada mereka mendapat permit, katanya dari sasaran yang dihajatkan 2,000 orang peserta, tetapi rupanya yang tiba hanya sekadar 200 orang sahaja

Hairannya orang Umno Pasir Mas yang mengetuai penghantaran memo bantahan tersebut dan bukan Umno negeri. Kenapa boleh jadi begitu?

Mereka menggunakan topeng Jemaah Rakyat Perihatin Kelantan di kepala suratnya. Ini lagi pelik. Sudah malukah menggunakan nama Umno sehingga berselindung di sebalik JRPK? Jika tidak salah saya, ada satu lagi topeng yang selalu di gunaka oleh Ahli Parlimen Pasir Mas yang disebut Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Sudahlah begitu, senaskah CD yang ada disebut kononnya disertakan bersama memo ITU untuk dijadikan bahan bukti khutbah Hari Raya saya, tidak pula disertakan.

Belumpun saya meneliti butir kandungan bantahan itupun saya sudah dapat menyukat betapa tidak terutusnya sebuah rancangan yang kononnya mahu menggugat sebuah kerajaan yang kukuh lagi sah. Apa tidaknya, masaalah menantu saya di PMBK sudah beres, malah tajaan haji saya juga sudah selesai.

Setelah membelek memo dua muka surat yang ditandatangani oleh empat orang, manakala 18 lagi tidak bernama dan tidak bertandatangan, maka hati saya sudah tawar untuk membaca kandungannya.

Apapun, setelah membacanya sepintas lalu, terdapat dua tuntutan yang dibawa oleh mereka, iaitu; Pertama, meminta saya menarik balik dan memohon maaf di atas ‘doa kemusnahan ke atas pemimpin Umno’ yang tidak memberi royalti kepada rakyat Kelantan.

Kedua, mendesak saya supaya meletak jawatan Menteri Besar.

Menyentuh tuntutan pertama, mengapa harus saya hiraukan suara budak-budak Umno yang tak sampai 200 orang itu supaya saya meminta maaf sedangkan Presiden Umno selaku orang nombor satupun tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik.

Dalam hal ini, jika mahu menganalisa dan mengulas doa saya, maka ia hendaklah mengambil doa itu keseluruhan. Kenapa tak sebut doa saya meminta dan memohon kepada Allah SWT diperbetulkan jalan berfikir Perdana Menteri supaya menerima Islam yang syamil.

Dari segi Islam, doa adalah satu permohonan. Jika kita rajin membuka sejarah doa-doa yang diambil oleh para Nabi, kita tentu boleh berjumpa dengan kandungan doa Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad saw sendiri yang pernah mendoakan bala kepada musuh Islam.

Jika kita membuka himpunan hadith dalam Ridhatus Solihin, kita akan berjumpa dengan maksud doa yang berbunyi begini: "Wahai Tuhan, tolong balas bela, ke atas mereka yang zalim."

Maksud doa yang hampir sama ini juga turut terkandung dalam Qunut Nazilah berbunyi: "Wahai Tuhan, musnahkan golongan kafir dan munafiq".

Kita kena faham bahawa selain daripada orang-orang kafir yang melawan Nabi saw, orang munafik juga ramai. Mari kita bersama-sama menyemak dua ayat ini:

1. "Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga memasuki perbicaraan yang lain kerana sesungguhnya (kalu kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam. - (Surah An Nisa’: Ayat 140)

2. "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekalian sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka'. - (Surah An Nisa': Ayat 145)

Dengan ini tidak hairanlah di dalam permulaan surah Al-Baqarah hanya terdapat dua ayat iaitu ayat enam dan tujuh yang merujuk kepada orang kafir.

Yang selebihnya, yakni 13 ayat, iaitu ayat lapan hingga 20, Allah SWT merujuk terus kepada fiil perangai puak-puak munafik.

Jika diteliti sirah junjungan kita Nabi Muhammad SAW, kita akan berjumpa dengan kisah bagaimana Bani Ri’lin dan Bani Zakuan yang membunuh pendakwah.

Sebagai reaksi balas di atas perbuatan terkutu ini, Nabi saw meminta supaya Allah SWT menurunkan kutukan ke atas kedua-dua ini melalui tujuh tahun kemarau yang panjang sebagaimana yang pernah Allah turunkan di zaman Nabi Allah Yusoff di Mesir.

Menyentuh tentang tuntutan kedua, musthail saya perlu akur dan meletakkan jawatan semata-mata kerana digesa oleh 200 orang budah-budak nakal, bawah pohon jati di pintu masuk SUK.

Jika saya perlu meletakkan jawatan atas sebab desakan Umno, maka sudah tentu saya berbuat begitu semasa Tan Sri Annuar Musa menjadi Ketua Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sekaligus menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan tiga empat tahun yang lalu.

Akan tetapi, alhamdulillah, saya tetap masih duduk di kerusi ini sampai ke hari ini. Sebaliknya, pemimpin Umno itu pula yag ‘ghaib’ dari arena politik tanah air.

Saya kadang-kadang menjadi hairan memikirkan telatah orang Umno ini. Dalam Dun Kota Seputih misalnya, mereka cukup beria-ia untuk mempertahankan diri dengan menggunakan instrument mahkamah untuk mengelak dari memasuki pilihan raya.

Itu bagi kerusi dia yang selamat; itupun masih berdalih untuk diuji melalui pilihanraya. Sebaliknya mereka cukup ghairah untuk mendesak saya mengosongkan kerusi Menteri Besar sedangkan tiada apa-apa keadaan sedikitpun yang memaksa suasana atau menyalahi undang-undang yang membolehkan saya membuat pengosongan.

Kepada ramai pemimpin PR kita sudah lama dapat membaca bahawa telah menjadi ‘grand design’ mereka untuk mencipta suasana yang tidak tenteram di semua negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kita tahu itu. Bukan kita tidak tahu.

Secara logiknya, semua orang kena faham bahawa saya bekerja dengan Parti Islam SeMalaysia. Jika Umno yang mendesak saya, maka saya sewajarnya boleh bersyukur; bahkan berbangga kerana saya sudah dikira berjaya mengkucar kacirkan Umno. Mereka sudah keluh kesah.

Jik (katakanlah) saya terus dilarang juga untuk memohon kemusanahan Umno secara terbuka, maka saya masih lagi boleh mengangkat doa secara bersedirian.

Saya masih boleh meminta supaya umat Islam terus berdoa secara senyap-senyap agar Allah SWT menurunkan kemusnahan kepada mana-mana pihak, termasuklah pemimpin Umno yang menyekat Islam dan menyekat pemberian wang royalti itu dari melalui tangan Kerajaan Negeri Kelantan.

Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Mursyidul Am PAS

Siaran Langsung Separuh Akhir Bolasepak Sukan Sea Di RTM 2 Malam Ini


Aksi Malaysia Ketika Menewaskan Thailand 2-1


VIENTIANE - Pemain-pemain Malaysia diingatkan jangan berpuas hati dengan kejayaan menumpaskan juara bertahan sebanyak lapan edisi Sukan Sea, Thailand, tetapi menumpukan perhatian ketika menentang tuan rumah, Laos pada perlawanan separuh akhir hari ini.

Ketua jurulatih kebangsaan K Rajagobal berkata, antara cabaran yang perlu diberi perhatian hari ini ialah menumpukan seluruh perhatian kepada permainan ketika Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, dijangka dipenuhi 20,000 penyokong tuan rumah.

“Jangan hiraukan penonton dan ingat, pasukan yang mara ke separuh akhir mempunyai kekuatannya tersendiri dan jangan terbawa-bawa dengan kejayaan menundukkan juara bertahan sebanyak lapan edisi temasya ini, Thailand,” katanya.

Malaysia yang sebelum ini tidak diberikan harapan untuk mara ke separuh akhir terutama apabila bertemu Thailand yang telah 36 tahun tidak pernah terlepas menjadi semifinalis acara bola sepak dalam sejarah temasya ini, akhirnya menumpaskan pasukan itu 2-1 pada perlawanan Jumaat lalu.

Perlawanan menentang pasukan Gajah Putih itu yang akan berlangsung hari ini pada jam 7 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) dijangka disiar secara langsung menerusi TV2, RTM hasil kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Kementerian Belia dan Sukan.

Rajagobal berkata, beliau kini kehilangan tiga pemainnya, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Amirulhadi Zainal yang digantung satu perlawanan selepas masing-masing mendapat kad kuning kedua pada perlawanan menentang Thailand.

Selain itu, katanya penyerang Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak yang kini boleh bermain selepas tamat penggantungan dua perlawanan, masih mengalami sakit mata.

Difahamkan penyerang yang mendapat kad merah pada perlawanan menentang Vietnam itu, kini berada di Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan lanjut.

“Saya sentiasa berhubung dengannya dan menurut Mohamad Zaquan Adha, beliau kini semakin pulih selepas pemeriksaan lanjut pagi semalam,” katanya.

Ditanya mengenai usaha untuk membawa pemain itu kembali ke sini, Rajagobal berkata, segalanya bergantung kepada kesihatan dan jadual penerbangan ke bandar ini.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Vietnam akan bertemu Singapura pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Chou Anouvong, dekat sini pada waktu yang sama dengan perlawanan Malaysia menentang Laos. - Bernama

Ada Calon PKR Yang Menang Punyai Trek Rekod Yang Tak Memuaskan-Anwar

KUCHING: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat pertama kalinya secara terbuka mengakui sesetengah calon parti itu yang menang dalam pilihan raya umum tahun lalu ternyata mempunyai trek rekod yang tidak memuaskan.

’’Kita berhadapan dengan masalah kerana beberapa calon yang kita letakkan bertanding mempunyai trek rekod yang lemah.Malah pada sesetengah kawasan, kita tidak jangka pun yang mereka akan menang tetapi mereka menang," katanya.

Anwar berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Konvensyen PKR Negeri Sarawak yang pertama di Crown Square.

Anwar, berkata, dua daripada calon mereka yang menang tetapi 'bermasalah' di Perak telah pun mengisytiharkan keluar parti itu dan menyertai Umno (sebenarnya Bebas).

Malah beliau memberi amaran mana-mana wakil rakyat PKR yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat akan digugurkan daripada senarai calon menjelangnya pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun beliau menyatakan rasa puashatinya dengan ahli-ahli parlimen PKR yang beliau sifatkan sebagai 'cemerlang' tetapi mereka masih perlu terus mempertingkatkan kecekapan kerana harapan yang diletakkan oleh rakyat adalah tinggi.

Ditanya mengenai keputusan Adun Ngemah, Gabriel Adit yang mengisytihar keluar PKR dan menyertai Parti Cinta Malaysia, Anwar berkata, itu adalah hak beliau untuk menyertai mana-mana parti pilihannya kerana dia telah lama meninggalkan PKR.

Dalam nada yang sinis, Anwar berkata, PKR tidak mempunyai tempat untuk seseorang pemimpin yang menyertainya dengan harapan mereka akan menyelesaikan hutang pribadi atau hutang cukai pendapatan.

Mengenai Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Anwar sambil tersenyum berkata; "Saya telah mendengar pelbagai khabar angin tetapi hakikatnya ialah beliau ada bersama saya hari ini (duduk di sebelah Anwar pada sidang akhbar itu).Mstar

Karpal Desak Nazri Minta Maaf Kepada Pemandu Teksi




Ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh menyelar tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang disifatkannya sebagai kurang ajar.

Karpal berkata, Nazri perlu meminta maaf secara terbuka kepada pemandu-pemandu teksi secara keseluruhannya kerana kata-kata beliau terlalu biadap dan seolah-olah menindas rakyat yang terdiri daripada kelas bawahan.

Malah ujarnya, sebagai seorang menteri, Nazri haruslah bertindak bijak dan lebih spesifik terhadap siapakah pemandu teksi yang dimaksudkan gagal memberikan perkhidmatan dengan baik.

"Antara perkataan seperti dalam bahasa Inggeris seperti yang dilaporkan dalam Star, their do the bad drive texi drivers was worse then toilet. Perkataan-perkataan seperti itu, menunjukkan Nazri Aziz kujang ajar.Adalah satu keperluan untuk Nazri Aziz minta maaf kepada semua pemandu teksi kerana tidak menentukan siapa yang melakukan, iaitu over charging dan pelbagai eligasi dibuat oleh dia".

"Dia seorang menteri, dia boleh mendapat laporan menunjukkan siapa pemandu-pemandu teksi yang melakukan perkara ini. Dia tidak ada hak untuk membuat lebih dari satu pertuduhan eligasi kepada pemandu-pemandu teksi" ujar Karpal.

Nazri dalam laporan akhbar berbahasa Inggeris, The Star Jumaat lalu dilaporkan berkata perkhidmatan teksi lebih teruk dari tandas.

Dalam laporan bertarikh 9 Disember lalu, Nazri dikatakan telah mendakwa kajian ke atas pelancong yang datang ke negara ini mendapati perkara pertama yang tidak mereka sukai ialah perkidmatan teksi dan yang kedua adalah keadaan tandas di negara ini.

Namun Nazri berpendirian perkhidmatan teksi adalah lebih teruk berbanding tandas.

Sebelum ini Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (Pupteksm) mendesak Nazri melepaskan portfolio Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ekoran kenyataan beliau yang didakwa mencemarkan imej pemandu teksi. -TVS