Rabu, 9 Disember 2009

Selepas Selangor & P. Pinang, Kelantan Pula Tolak BTN



KOTA BAHARU: Selepas Selangor dan Pulau Pinang, kini Kerajaan Kelantan pula menolak pegawai dan kakitangannya daripada menyertai program Biro Tata Negara (BTN).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak bersetuju menghantar pegawai dan kakitanganya menyertai program yang dianjurkan BTN selagi modul dan kurikulumnya tidak diubah mengikut acuan Islam.

Malah, beliau mahu kurikulumnya dirombak dan menonjolkan ke arah Islam. Menurutnya, beliau bersama dua negeri di bawah Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak menghantar pegawainya mengikuti kursus BTN itu.

"Kalau dalam keadaan (kurikulum sekarang) saya setuju tak kirim. Kalau Selangor tolak, Pulau Pinang tolak, tak ada sebab saya nak kirim. Kirim wat gapo (buat apa)?," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk 'mengharamkan' pegawainya menyertainya kerana haram itu perkataan Islam, cuma tidak bersetuju dan tidak menggalakkan menghantar pegawai menyertai program anjuran BTN.

Kerajaan Pulau Pinang 2 Disember lepas melarang semua kakitangannya daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa sertamerta.

Timbalan Ketua Menterinya, Mansor Othman berkata, tindakan itu dibuat kerana mendapati kursus BTN memberikan kesan negatif dan menjadi medan menyebarkan propaganda Barisan Nasional (BN).

Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuat kuasa serta-merta.

Nik Abdul Aziz berkata, sudah lama beliau memerhatikan bahawa kurikulumnya tidak diajar mengikut Islam dan bercanggah dengan dasar agama.

"Kalau boleh BTN ini mengadakan forum dengan pakar ekonomi ke atau ahli dalam bidang tertentu ke arah Islam merombakkan semula BTN mengikut acuan Islam," katanya. BERNAMA

Nazri Aziz: Dia (Mahathir) ini nak jadi Perdana Menterikah


“Mahathir Bapa Segala Racist”



Perdebatan kontroversi berhubung modul Biro Tata Negara menyaksikan Datuk Seri Nazri Aziz dan Tun Dr. Mahathir saling bertikam lidah.

Nazri menuduh Mahathir sebagai rasis Melayu kerana tidak menyokong cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merombak modul BTN agar selari dengan konsep 1Malaysia.

Sebagai maklum balas, Mahathir pula meminta Nazri meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana didakwa tidak petriotik Melayu.

Nazri pagi tadi menyifatkan kritikan Mahathir belakangan ini seolah-olah mahu menjadi Perdana Menteri semula, menggantikan Najib.

"Waktu Tun Abdullah (Ahmad Badawi) jadi Perdana Menteri dulu, semuanya (polisi kerajaan) tak betul. Seolah-olah dia (Mahathir) saja yang betul. Dia (Mahathir) ini nak jadi Perdana Menterikah," soalnya.

Beliau turut mengkritik tindakan Mahathir mempertikai kepemimpinan Perdana Menteri sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Dulu masa kita (Umno) kata jangan berhenti (dari jadi Perdana Menteri), dia juga yang nak berhenti. Bila dia (Mahathir) dah berhenti, dia mula suruh orang lain (Abdullah) pula berhenti."

Beliau juga menasihatkan Mahathir supaya menyokong kepemimpinan Najib.

"Dulu, masa orang sokong kita (Mahathir), sekarang masa kita (Mahathir) sokong orang (Najib) pula," soalnya.

Beliau juga menganggap kritikan Mahathir belakangan ini banyak menguntung pembangkang.

"Bila dia (Mahathir) dah berhenti, dia serang kita (Umno) pula, lebih teruk daripada pembangkang," sindirnya lagi.

"Hari ini, pembangkang tidak perlu buat kerja, cukup dengan Dr. Mahathir saja, semuanya (polisi kerajaan) tidak betul."

Pun begitu, Nazri mengakui sumbangan Mahathir dalam Umno dan kerajaan sebelum ini.

Terdahulu, Mahathir menyifatkan kepemimpinan Umno sekarang seperti usus yang sudah busuk.

Kenyataan Mahathir itu dipercayai umum ditujukan kepada Najib.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin dilihat lebih menyokong Mahathir berbanding berbanding Najib-Nazri.

Pertikaman lidah antara dalam kalangan beberapa pemimpin terbabit tersebut sekaligus menyaksikan bahawa Umno sedang mengalami dilema sama ada untuk kekal memperjuangkan rasis-Melayu atau mengubah ideologinya pada pluralisasi kaum melalui konsep 1Malaysia. Hrkh

Pas Bertemu Umno Dalam Wacana Perdana Di Kelantan


KOTA BARU, Dis 9 — Di sebalik siri isu melibatkan Kelantan yang kedengaran sejak kebelakangan ini, negeri itu juga akan sibuk dengan beberapa forum yang bakal menyentuh perkembangan politik dan Islam sepanjang beberapa minggu akan datang.

Senario itu terbukti apabila selepas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin, kini Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Malaysia, Afandi Yusof pula bakal tampil sebagai panelis satu forum dijangka bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pada 20 Disember 2008 Khairy bertemu dengan anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menerusi wacana perdana transformasi politik Malaysia yang diadakan di Dewan Besar Balai Islam Lundang bersama pensyarah fakulti undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Forum kali ini juga dikenali sebagai wacana perdana dan dijadual akan diadakan di Dewan Persidangan Pusat Dagangan Kelantan (KTC) pada 12 Disember ini, dipengerusikan oleh pensyarah Pusat pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Muhammad Agus Yusuf.

Ia dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Perbadanaan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Baru–Bandaraya Islam.

Difahamkan selain Mohd Amar dan Afandi, turut terlibat ialah dua tokoh agama iaitu bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Datuk Nakhaei Ahmad.

Panelis terbabit akan mengupas satu topik yang bertajuk “Islam di Malaysia — Antara Realiti dan Harapan”.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Ahmad Baihaqi Atiqullah, yang juga selaku pengarah program berkata, program berkenaan adalah bagi membincangkan kedaulatan Islam yang semakin ditekan pihak tertentu di negara ini sehingga ia seperti diperkotakkatikkan.

Sehubungan itu tidak kurang 100 jemputan rasmi kepada wakil Umno Kelantan telah dibuat untuk hadir pada program berkenaan.

“Bagaimanapun kita mengalu-alukan kehadiran mereka dengan lebih ramai lagia,” katanya semasa dihubungi.

Menurutnya kesemua ahli panel terlibat telah menyatakan persetujuan mereka untuk hadir.

Sementara itu, turut dimaklumkan Baihaki adalah satu forum ataupun wacana berkaitan royalti minyak akan diadakan kemudian.

“Datuk Husam sudah menyatakan persetujuannya. Tinggal lagi jawapan daripada wakil kerajaan pusat atau pun Petronas," katanya.

Di samping itu ceramah penerangan mengenai isu berkenaan melibatkan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah akan diadakan di Kelantan dan Terengganu tidak lama lagi.TMI

Kritik Mahathir:Muhyiddin Tegur Nazri

TOKYO - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah agak terlampau untuk melabelkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rasis.

Beliau berkata, Dr Mahathir sudah banyak berjasa kepada negara dan masih mampu menyumbangkan idea.

“Jadi hendak menyebut beliau sebagai rasis itu agak terlampau. Dia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) kawan saya juga tetapi tidak tahu kenapa perkara itu terkeluar. Dalam situasi politik negara hari ini macam-macam pihak boleh menyalah tafsir,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Muhyiddin yang dalam misi perdagangan dan pelaburan khas ke Jepun mengulas kenyataan Mohamed Nazri semalam yang melabelkan Dr Mahathir sebagai rasis kerana mempertahankan modul kurikulum Biro Tata Negara (BTN).

Dr Mahathir sebelum itu berpendapat kerajaan tidak perlu terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga perlu merombak modul kurikulum yang diguna pakai oleh BTN dan telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di Malaysia.

Muhyiddin berkata, semua pihak terutamanya pemimpin seharusnya tidak terperangkap dengan strategi pembangkang sehingga berdebat sesama sendiri.

Beliau berkata, adalah lebih berfaedah sekiranya semua pihak mengambil pendekatan kurang bercakap.

“Jadi sebaik mungkin, supaya kita tidak dilihat berdebat secara terbuka, saya rasa tidak perlulah berdebat atau berpolemik mengenai agensi-agensi kerajaan seperti BTN,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak berkuasa di beberapa buah negeri, pembangkang mempunyai strategi untuk ‘memperlekehkan’ semua institusi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi diraja mahupun BTN supaya semua rakyat akan buruk sangka terhadap kerajaan dan pemimpin.

“Ini strategi mereka. Selama ini kita tidak berdebat soal-soal begitu. BTN adalah untuk kepentingan negara dan bukan bertujuan membawa kesan buruk kepada negara.

“Jadi kalau kita terperangkap dengan agenda pembangkang, saya rasa ia mungkin membawa kesan yang tidak baik seperti kes ini di mana pemimpin terpaksa berlaga sesama sendiri dan mereka tersenyum sahaja apabila agenda mereka berhasil,” katanya.

Muhyiddin berkata, lebih ditakuti ialah jika ada gerakan tertentu yang dibuat secara halus oleh pembangkang untuk melaga-lagakan pemimpin dan memperlekehkan institusi dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, rakyat sudah bosan dengan politiking yang terlalu banyak dan pemimpin sepatutnya menghentikan debat politik dan menumpukan soal-soal yang lebih penting seperti pembangunan.

“Tapi kita kadang-kadang terperangkap dan bergaduh sesama sendiri yang bagi saya ia tidak berfaedah,” katanya. SH

Umno Parti ‘Racist’; Ustaz-Ustaz Dalam Umno Wajib Keluar Parti!


KUALA NERUS – Pemimpin Umno yang ‘racist’ telah bertelagah sesama sendiri, dengan masing-masing ‘pakat’ menggelar diri mereka dengan panggilan ‘racist’.

Semalam, 7 Disember, Ahli Majlis Tertinggi Umno Dato’ Seri Mohamad Nazri Aziz yang mengakui beliau tidak boleh lari dari menjadi seorang ‘racist’, telah menggelar bekas Presiden Umno Tun Mahathir Mohamad sebagai ‘bloody racist’.
Nazri berkata demikian apabila Mahathir membalas kenyataannya, yang mahu merombak kurikulum Biro Tata Negara (BTN) kerana BTN telah melatih rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu menjadi ‘racist’.

Pada 6 Disember, Mahathir berkata kerajaan tidak perlu merombak Biro Tata Negara (BTN) sebagai membalas kenyataan Nazri yang mengumumkan kabinet akan merombak kurikulum ‘racist’ BTN.

Hari ini, 8 Disember, Mahathir dan Nazri, kedua-duanya pemimpin parti Umno yang ‘racist’ berbalas-balas kenyataan tentang siapa yang lebih ‘racist’.

Mahathir telah mencabar Nazri keluar dari parti Umno yang ‘racist’, kerana kata Mahathir, Umno memang parti ‘racist’.

Namun begitu, kira-kira dua bulan lalu, pada pembukaan Perhimpunan Agung Umno 15 Oktober lalu, Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak memberi amaran kepada parti-parti politik lain khususnya Pakatan Rakyat, jangan menuduh Umno sebagai parti yang bersifat perkauman (racist).

Pada masa yang sama beliau menafikan Umno adalahsebuah parti politik yang ‘racist’

Hari ini, jelas cakap Najib adalah tidak benar, apabila bekas Presiden parti ‘racist’ Umno mengesahkan, memang Umno parti ‘racist’ dan Nazri turut mengakui, memang Umno adalah ‘racist’

Sehubungan itu, Ketua Urusan Ulamak PAS Kuala Nerus, Ustaz Ismail Dagang, menasihatkan supaya semua ustaz-ustaz yang masih menjadi ahli Umno, keluar dari parti Umno yang ‘racist’.

Menurutnya, Islam melarang orang-orang Islam yang beriman, berjuang atas dasar ‘perkauman yang sempit atau dalam bahasa sekarang dipanggil ‘racist’

”Orang-orang Islam yang beriman wajib berjuang menegakkan Islam, dan meperjuangkan Islam sahaja,

”perjuangan menegakkan ‘bangsa’ tidak ada dalam Islam, apatah lagi ‘menegakkan perkauman yang sempit,”katanya kepada Buletinonline semalam.

Secara khusus katanya, beliau mengajak dua orang ustaz dalam Umno Terengganu, supaya kembali memperjuangkan Islam bersama Parti Islam dan meninggalkan Umno.

”Semalam telah jelas, bekas Presiden Umno dan Ahli Majlis Tertinggi Umno mengesahkan Umno adalah parti ‘racist’, parti yang bersifat perkauman,

”Oleh itu saya mengajak kedua-dua pemimpin Umno, YB Tepoh dan YB Batu Rakit supaya meninggalkan Umno, wajib bagi mereka keluar dari Umno,”jelasnya.BO

Khairy Jamaluddin dilantik timbalan menteri?


PETALING JAYA, Dis 9 — Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang “kehilangan peluang” untuk menyertai jemaah menteri April lalu disebut-sebut berkemungkinan akan dilantik timbalan menteri dalam perubahan kecil yang bakal dilakukan.

Utusan Malaysia yang memetik portal Malaysia-instinct.com berkata pelantikan itu kemungkinan menjadi kenyataan jika peletakan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib diterima Perdana Menteri.

Laporan itu menyebut Khairy (gambar) dijangka diberikan jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bukannya di Kementerian Pelancongan.

"Dan, tidak semestinya mengisi vakum di Kementerian Pelancongan jika Sulaiman Abdul Rahman berundur," laporan Utusan Malaysia hari ini.

April lalu Khairy tidak diberikan sebarang jawatan dalam Kabinet sebagai memberikan ruang untuk beliau menumpukan perhatian menarik kembali sokongan golongan muda kepada Umno.

Beliau dikatakan sudah mula mencatat kejayaan dalam usaha itu.

Khairy kembali ke tanah air hujung minggu lalu selepas menunaikan haji.

Buat masa sekarang timbalan Khairy di Pemuda Umno merupakan antara timbalan menteri dalam Kabinet diumumkan April lalu.

Datuk Mukhriz Mahathir yang menentang Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda juga dilantik sebagai timbalan menteri.

Awal minggu ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu bahawa tiada rombakan Kabinet akan dilakukan dalam jangka masa terdekat melainkan beberapa perubahan melibatkan timbalan menteri.TMI

Jangan pertaruhkan masa depan Kerajaan PAS Kelantan


Oleh Mohd Rashidi Hassan

Seluruh ahli, pemimpin dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat sama ada yang di dalam atau di luar negeri mempunyai kebimbangan yang sama, iaitu bimbang Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dijatuhkan.



Sehingga ada cakap-cakap di kalangan penganalisis politik yang mengatakan, jika waktu ini, dengan kemelut yang ada, jika Tok Guru tidak lagi memimpin kerajaan, jika diadakan pilihan raya, Kelantan akan tumbang di tangan Umno-Barisan Nasional.

Sudah tentu cakap-cakap ini menakutkan. Tetapi dalam politik kita mesti realistik. Ada masa kita menerajui, ada masanya kita diterajui. Ada masa kita memerintah, ada masanya kita diperintah.

Malah Umno-BN juga merasakan sebegitu. Mereka fikir mereka lebih berpeluang untuk merampas Kelantan daripada PAS, jika Tok Guru tidak lagi memimpin.

Tok Guru adalah ikon terunggul dalam PAS. Juga ikon bagi rakyat Kelantan. Tok Guru juga merupakan idola yang disayangi, oleh ramai kalangan masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Maka Umno-BN tiada jalan lain, selain membunuh karektor dan peribadi Tok Guru, anak-beranak. Dengan bantuan media massa dan pihak-pihak tertentu, Umno-BN sedang menjalankan strategi 'character assassination' terhadap Mursyidul Am PAS.

Maka sejak akhir-akhir ini mereka menghalatujukan serangan bertalu-talu ke atas Tok Guru. Dengan harapan Tok Guru akan tertekan dan menjadi lemah. Mereka amat berharap Tok Guru meletakkan jawatan agar mudah mereka 'kilas' PAS di Kelantan.

Cabaran buat PAS di Kelantan


Justeru, cabaran yang paling besar buat PAS di Kelantan, malah di seluruh negara ialah bagaimana kita harus memastikan PAS terus menerajui Kelantan, walaupun ditakdirkan suatu hari nanti Tok Guru tidak lagi memimpin.

Kita harus sedar, kita tidak seharusnya mempunyai perasaan atau sindrom nafi (denial syndrome) bahawa, dengan kekuatan PAS yang ada, Kelantan tidak akan tumbang ke tangan BN.

Sindrom nafi ini juga sebelum ini wujud ketika PAS memimpin Terengganu 1999-2004, sehingga ada yang mengatakan dengan kekuatan yang ada, iaitu PAS memperolehi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, berbanding BN 4 kerusi ketika itu, Kerajaan PAS tidak mungkin tumbang.

Nah! Kita sudah lihat apa yang sudah terjadi pada PRU 2004. Ia sudah menjadi fakta sejarah yang tidak boleh kita nafikan lagi.

Maka, yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, masa depan Kelantan di bawah PAS. Kita tidak seharusnya mendabik dada, bahawa dengan kekuatan PAS memimpin kerajaan selama 19 tahun, PAS tidak mungkin tumbang.

Kita harus memperhalusi, apakah elemen-elemen yang akan membuatkan kerajaan negeri pimpinan kita, goyah dan dilihat bakal dijatuhkan.

Kebimbangan seumpama ini harus dinyatakan kepada ahli-ahli politik yang memimpin PAS di semua peringkat di Kelantan pada waktu ini, termasuk juga anak menantu Tok Guru, kerana pada tangan merekalah nanti, akan ditentukan masa depan Tok Guru dan kerajaan negeri.

Percaturan politik PAS


Kedudukan dan percaturan politik dalaman PAS di Kelantan memang hebat. Percaturan ini bukan rahsia lagi. Mereka sering bersaing hebat untuk merebut jawatan tertinggi dalam PAS kawasan, melobi untuk menjadi calon dan mendapat kedudukan dalam PAS negeri.

Dalam erti kata lainnya, politiking dalam PAS di Kelantan, sentiasa hebat dan rancak. Tetapi belum wujud perpecahan dalaman yang serius. PAS Kelantan tidak dijangkiti penyakit seperti Umno Kelantan.

Setakat ini Alhamdulillah, sehebat mana pun percaturan politik dalaman PAS, mereka hanya bersaing untuk mendapatkan jawatan, menjadi Adun, Ahli Parlimen atau Exco, tetapi solid ketika berhadapan dengan Umno-BN.

Persoalannya untuk jangka panjang, mampukah pemimpin-pemimpin PAS di Kelantan, sentiasa dalam keadaan solid dalam menghadapi Umno-BN?

Apapun, kedudukan Tok Guru pada waktu ini tidak wajar dipertikaikan sama sekali, selagi rakyat dan parti mahukan beliau memimpin, beliau akan terus kekal sebagai Menteri Besar.

Namun secara realistiknya, kita juga harus memperakui bahawa harus wujud pelapis dan pengganti Tok Guru pada waktu akan datang. Sehingga ada suara-suara dalaman PAS yang mahukan Tok Guru menamakan pengganti beliau.

Soal wajar atau tidak, bila masa dan waktu yang bersesuaian untuk menamakan penggantinya, itu terpulang kepada Tok Guru.

Tetapi, sekali lagi persoalan harus dilontarkan terhadap ahli-ahli politik PAS di Kelantan termasuk dengan anak menantu Tok Guru, apakah mereka boleh menunjukkan solidariti, apakah mereka boleh menjamin, bahawa mereka tidak bertelagah dalam soal pengganti Tok Guru ini?

Apakah pemimpin-pemimpin PAS Kelantan boleh menjamin bahawa, mereka tidak akan berebut untuk menjadi MB? Apakah pemimpin-pemimpin ini boleh memberi jaminan, bahawa mereka tidak akan 'cas keting' sesama sendiri?

Apakah juga pemimpin ini, boleh memberi jaminan bahawa, mereka tidak akan melobi pihak-pihak tertentu, sama ada pucuk pimpinan tertinggi ataupun pihak istana untuk mendapatkan jawatan MB?

Kebimbangan yang wujud

Yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, jika ada atau jika wujud perasaan iri hati dan kalbu kotor di kalangan kepimpinan negeri.

Jangan sesekali ada di kalangan pemimpin yang tergerak dalam hati mereka kata-kata seumpama; "Jika aku tidak dapat (jadi MB) maka aku akan halang si fulan menjadi MB, biarlah parti lawan yang menjadi MB."

Yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, jika tindakan anak menantu Tok Guru yang boleh disalahtafsirkan atau menjadi bahan fitnah yang merosakkan imej Tok Guru dan masa depan kerajaan negeri.

Persoalannya di sini bukan soal hak, bukan soal kelayakan atau seseorang itu merasakan beliau berhak atau layak memegang jawatan di sesuatu tempat. Soalnya ialah, Tok Guru dan seluruh kepimpinan PAS harus mengelakkan perebutan jawatan dan sebarang perlantikan yang boleh menimbulkan fitnah kepada kesucian perjuangan Islam.

Memang sukar menguruskan manusia yang sentiasa terdedah untuk dihidapi penyakit mengutamakan kepentingan diri.

Inilah antara perasaan, penyakit dan sindrom yang amat bahaya, yang boleh dihidapi oleh mana-manapun individu pemimpin politik. Penyakit hubbud dunya' (cintakan dunia) dan hubbul riasah (cinta untuk menjadi pemimpin).

Buat masa ini, tugas utama mereka ialah untuk menggemblengkan sepenuh tenaga dan bersatu mempertahankan Tok Guru. Jangan berbalah, jangan berebut, jangan mengkayakan diri dan berusaha mengelakkan sebarang fitnah.

Jika hati-hati mereka masih dalam keadaan kotor, maka merekalah sebenarnya, yang akan menggadaikan masa depan di PAS Kelantan, tangan-tangan merekalah yang akan menjadi punca jika PAS tumbang di Kelantan.

Ingat, kepimpinan boleh ditukar ganti, tetapi Tok Guru tiada galang gantinya. Jika pun ada, yang beriya-iya hendak menggantikan Tok Guru, mampukah mereka menjadi seperti Tok Guru, yang mengetepikan kemewahan, kepentingan diri dan hidup serba sederhana?

Oleh kerana Tok Guru adalah aset PAS yang amat berharga, maka pada waktu ini, seluruh pemimpin, ahli dan penyokong di seluruh negara bertanggungjawab untuk berikrar taat setia, tsiqah dan berbai'ah dengan kepimpinan beliau.

Maka fokus kita sekarang ini ialah, melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya, untuk mempertahankan kepimpinan kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Isu Ariffahmi: Tuan Ibrahim Tak Setuju Dengan Mahfuz

PETALING JAYA: Semua pihak diminta supaya tidak mewujudkan 'tekanan baru' kepada Abdul Ariffahmi Ab Rahman berhubung soal peletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi tidak seharusnya diperdebatkan oleh 'orang luar'.

Beliau sekaligus tidak bersetuju dengan gesaan seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar supaya Abdul Ariffahmi segera melepaskan jawatannya iaitu lebih awal dari tempoh tiga bulan yang diumumkan sebelum ini.

"Janganlah wujudkan satu lagi tekanan kepada Abdul Ariffahmi, orang luar sepatutnya tidak mencampuri urusan ini," katanya kepada mStar Online.

Akhbar hari ini memetik Mahfuz sebagai berkata bahawa menantu Menteri Besar Kelantan itu wajar dengan segera meletakkan jawatannya bagi menepati semangat dan matlamat keputusan pimpinan PAS Pusat berhubung kedudukannya dalam PMBK.

Kata Tuan Ibrahim lagi, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikan isu tersebut.

"Memandangkan isu ini melibatkan hal ehwal kerajaan Kelantan, jadi eloklah kita beri sepenuh kepercayaan kepada Tok Guru (Nik Abdul Aziz) untuk menguruskannya.

"Saya yakin isu ini boleh diselesaikan mengikut landasannya," kata beliau.

Tambah Tuan Ibrahim, beliau percaya, Abdul Ariffahmi memerlukan masa untuk menyempurnakan tugas-tugasnya di perbadanan itu.

"Persetujuan beliau untuk meletak jawatan itu juga satu pengorbanan yang besar buat dirinya... kita perlu ambil kira perkara itu semua.

"Mungkin beliau perlu selesaikan banyak perkara, bagilah masa kepadanya, biarlah perkara ini diselesaikan mengikut proses yang teratur," katanya.

Abdul Ariffahmi yang berkhidmat selama lapan tahun di PMBK dilantik sebagai CEO pada 20 September lalu.

Sebelum itu beliau merupakan Ketua Pegawai Operasi PMBK.

Bagaimanapun pelantikan Ariffahmi ke jawatan CEO telah mencetuskan kontroversi amalan nepotisma dalam PAS selain kemelut dalaman PMBK yang dikaitkan dengan soal salah urus tadbir dan kewangan.

Kemuncak kepala segala kontroversi ini ialah apabila seorang bloger terkenal yang juga pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Azidi dipecat daripada jawatannya setelah timbul cakap-cakap yang mengaitkan beliau sebagai punca siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas sayap pelaburan Kerajaan Negeri Kelantan itu.

Sehari selepas dipecat, Syed Azidi@Kickdefella telah memanggil satu sidang akhbar dan mengisytiharkan 'perang' ke atas Ariffahmi dengan memberi amaran yang beliau akan terus mendedahkan kepincangan pentadbiran di bawah menantu Nik Aziz itu.

Selepas menerima pelbagai desakan dan kritikan akhirnya Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi PMBK dan juga atas nasihat kepimpinan PAS Pusat telah meminta Ariffahmi melepaskan jawatannya di PMBK.

Bagaimanapun kontroversi berhubung kedudukan beliau tidak tamat dengan peletakan jawatan tersebut kerana ia hanya akan berkuat kuasa pada 25 Mac 2010. Ariffahmi mengemukakan notis berhenti tiga bulan.Mstar