Sabtu, 14 November 2009
MAJLIS KONVOKESYEN PASTI BESUT KALI KE -5
Besut, 14 Okt- Majlis Konvokesyen dan Ihtifal PASTI Kawasan Besut Kali ke-5 telah berlangsung dengan jayanya. Majlis itu dirasmikan oleh YDP PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad. Majlis kali ini lebih meriah dengan adanya beberapa cabutan bertuah untuk ibu bapa , guru dan murid.Disamping itu, ada anugerah yang baru diperkenalkan iaitu anugerah PASTI Cemerlang. Anugerah ini berdasarkan prestasi pelajar yang terbaik. Anugerah ini dirangkul oleh PASTI An-Naziha, Padang Luas, Jertih.
para ibu bapa sedang mendengar ucapan alu-aluan
sumber:http://islamitutinggi.blogspot.com/
Pemuda PAS Sifatkan Isu Baiah Talak Tiga Sengaja Digembar-gembur Untuk Gambar PAS Zalim
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi hari ini berkata isu baiah atau sumpah taat setia talak tiga di kalangan wakil rakyat PAS ke atas isteri masing-masing jika mereka keluar parti, sengaja digembar-gemburkan bagi menggambarkan parti itu sebuah parti yang zalim terhadap wanita.
“Ini adalah satu percubaan untuk menggambarkan PAS sebuah parti yang negatif dan buruk dan ia bukan perkara baru. Dulu kita pernah dilabel sebagai parti yang anti-wanita dan didakwa tidak memberi peluang kepada wanita dalam hireraki parti serta pilihan raya.
“Kita harap dengan penjelasan yang dibuat itu akan dapat menutup segala persepsi yang salah tentang PAS,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam yang parti itu hanya mengamalkan baiah sumpah setia laknat bukannya amalan baiah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebelum ini.
Semalam, Mustafa berkata, amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar PAS yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Nasrudin berkata, perkara tersebut juga merupakan satu usaha untuk mengelirukan persepsi masyarakat terhadap PAS.
“Alhamdulillah kita dapat selesaikannya dengan menunjukkan bukti kepada mereka apakah sikap sebenar PAS.
“Hari ini kita sudah ada pemimpin wanita di peringkat pusat bahkan ada yang sudah dilantik sebagai wakil rakyat dan Senator. Jadi tidak timbul soal kita (PAS) nak memperdagangkan kaum wanita bahkan kita memperjuangkan hak mereka (wanita),” katanya.
Oleh yang demikian Nasrudin berkata, jalan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan isu tersebut daripada berpanjangan adalah dengan merujuk kepada pucuk pimpinan parti terlebih dahulu sebelum mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan.
“Apabila timbulnya sesuatu isu terutamanya isu baiah ini, ia cepat diperdebatkan oleh media, sedangkan pucuk pimpinan belum lagi keluarkan kenyataan.
“Sepatutnya pucuk pimpinan parti perlu dirujuk dan dijadikan sumber supaya dapat dijadikan pegangan dan apabila ia diabaikan maka timbul persepsi yang berbeza dalam hal ini,” katanya.
Nasrudin berkata, dengan keputusan yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti beliau yakin ahli-ahli parti akan dapat memahami dan masyarakat dapat menerimanya secara positif.
“Apabila keputusan sudah dibuat kita harap tidak ada lagi percanggahan. Ia merupakan satu mekanisma yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nasrudin berkata, Dewan Pemuda PAS akan menganjurkan konvensyen bersama-sama dengan kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam pada bulan Januari tahun depan.
Beliau berkata, konvensyen itu diharap dapat memberi ruang kepada PAS untuk menjelaskan mengenai prinsip perjuangan parti itu dalam menegakkan syiar Islam.
“Ia (konvensyen) akan dapat membetulkan persepsi masyarakat tentang tohmahan yang mengatakan PAS tidak lagi mempedulikan isu-isu Islam yang berkait dengan prinsip perjuangan parti.
“Ini kita akan perbetulkan semula. Kita perlu jelaskan bahawa PAS akan tetap bersama-sama dengan dasar dan prinsip perjuangan parti,” katanya.
Bagaimanapun Nasrudin berkata, perkara tersebut tidak akan menjejaskan hubungan PAS dengan parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.
“PAS akan tetap memperjuangkan dasar dan prinsip perjuangan Islam namun hubungan kita dalam Pakatan Rakyat akan kekal harmoni dan kita akan saling hormat-menghormati dalam memperjuangkan prinsip perjuangan masing-masing,” katanya.mstar
Politik adu domba Umno pecahbelahkan PAS-Pakatan Rakyat
Nash Ar-Rawy |
Perangai Umno mengadu-dombakan pimpinan PAS pusat dan dengan Pakatan Pilihan Rakyat memang menjadi tabiat tradisi Umno ; kalau tidak bukanlah Umno namanya. |
Rakyat Selangor Alu-alukan Anwar Sebagai Penasihat Ekonomi
Pelantikan mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor yang diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mendapat reaksi positif orang ramai.Rata-rata rakyat Selangor menyokong penuh pelantikan Anwar dengan pengalaman luasnya sebagai menteri kewangan dan penasihat-penasihat bank luar Negara.Status sebagai antara 10 manusia paling berpengaruh di dunia yang dinobatkan Majalah Times mengukuhkan lagi kredibilitinya untuk membantu menjana ekonomi Selangor.“Saya rasa Anwar Ibrahim ni banyak pengalaman kerana dia pernah menjadi menteri kewangan dan timbalan perdana menteri. Jadi dia punya kebolehan dan pengalaman sangat luas kepada ekonomi negeri ini. Saya rasa dah cukup untuk melayakkannya meneraju kita punya Negara,” kata Roseni M Syed.Pelbagai harapan yang diletakkan rakyat Selangor terhadapnya dalam menjana ekonomi dan memacu pembangunan di Selangor.“Oleh sebab sebelum ni dia pernah jadi menteri kewangan dan saya rasa peluang ini patut diberi kepada beliau. Diharap kehadiran beliau dapat menguruskan dengan lebih cekap kewangan kerajaan negeri Selangor,” kata Zulhisham Mohd.“Nak jadi penasihat ni bukan boleh tengok dari satu angel sahaja. Macam-macam angel. Dia kena tengok on the social part, dia kena tengok daripada segi ekonomi.“Jadi kalau seseorang itu nak jadi penasihat kewangan negeri, kalau tiada pengalaman kemungkinan apa yang dicadangkan tak membawa kebaikan,” kata Ibrahim Mad Daim pula.Kelantangan dan keberanian Anwar dalam memacu Negara suatu masa dahulu menjadikannya di gemari ramai dan sokongan yang tidak berbelah bahagi terus di ungkapkan orang ramai.“Anwar ni seorang yang aggresif masa pengalaman yang sebelum ni ketika zaman bersama kerajaan barisan Nasional. Dan dia seorang yang bersuara lantang, kalau dia tak puas hati, dia tak suka dia cakap. Jadi ini peluang Anwar untuk majukan lagi negeri Selangor,” kata Rohana Arshad.Terdahulu, dalam sesi penggulungan perbahasan belanjawan bajet 2010 Sidang Dewan Negeri semalam, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor dengan bayaran serendah seringgit sebulan.TVS
Kedudukan Sebagai Pemimpin Nombor Satu PAS Tidak Terjejas - Presiden Pas
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu parti itu tidak terjejas walaupun ada pihak tertentu cuba menggambarkan sebaliknya.
Katanya sokongan terhadap beliau daripada anggota parti peringkat akar umbi dan barisan pimpinan PAS lain, termasuk daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga tetap utuh.
Mengakui mempunyai perbezaan pendapat dengan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan ia telahpun diselesaikan.
"Hubungan kami macam isi dengan kuku. Memang ada perbezaan pendapat tapi tetap bersatu, lebihlebih lagi bila beliau (Nik Aziz) terima resolusi yang dibuat dalam seminar parti barubaru ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Nik Abdul Aziz sebelum ini meminta parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.
Bagaimanapun parti itu memutuskan untuk mengadakan seminar politik pada 7 November lalu dan membincangkan masalah berbangkit.
Berhubung isu bai'ah, beliau menjelaskan bai'ah sumpah setia laknat yang diamalkan parti itu seperti didedahkan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali hari ini, tidak menyalahi ajaran Islam.
"Bai'ah talak tiga tidak menjadi dasar atau konsep dalam PAS," katanya. BERNAMA
Benarkah sokongan orang muda terhadap PAS berubah?
Oleh MAT ZAIN MAT ISA
Alhamdulillah, hasrat sebilangan pihak melihat perbalahan dan perpecahan besar dalam PAS tidak menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya itulah kesimpulan awal dapat dibuat dengan berlangsungnya Seminar Memperkasakan Parti di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Sabtu (7 November) lalu.
Berbeza dengan apa yang diramal dan digema-riuhkan segenap saluran media arus perdana sebelumnya, seminar khas itu berlangsung dengan tenang dan beradab. Meskipun sesekali ia turut dibauri emosi dan perbahasan hangat, setiap hadirin mengambil bahagian dalam suasana penuh tanggungjawab dan kesedaran mencapai maksud ia diadakan.
Walaupun seminar sehari itu tidak merongkai semua isu dan permasalahan yang menjadi inti pertikaian dalaman PAS kebelakangan ini, paling tidak ia telah memperjelaskan letak duduk PAS dalam politik negara, terutama berhubung peranannya dalam Pakatan Rakyat.
PAS buat kali yang entah ke berapa mengulangi pendiriannya untuk memperkukuhkan perjuangan bersama pakatan pembangkang, bertepatan dengan keputusan dua muktamar terakhir parti. Namun itu tidak bermakna parti itu bersedia mengorbankan dasar dan prinsip Islam yang menjadi teras perjuangannya selama ini.
"PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah parti dakwah. Hubungan yang terbentuk ini (dalam Pakatan) kuat tetapi fleksibel. Bukan hubungan yang kuat, kukuh tapi tidak fleksibel. Strategi bersama ini berjaya menyekat BN," tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Wang dalam ucaptamanya.
Pendirian serupa dipertegaskan Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Katanya, "PAS perlu berpijak kepada dasarnya, kita memang hendak menang tapi jangan gadaikan prinsip Islam untuk dapatkan undi."
Penegasan kedua-dua mereka itu sepatutnya sudah cukup untuk memperjelaskan asas segala percaturan politik PAS. Dalam apa juga keadaan, kepentingan mendapatkan undi tidak sepatutnya mengorbankan prinsip Islam. Asas itu seyogia menunjangi halatuju dan apa juga perancangan politik parti, terutama dalam keghairahannya mengecapi kemenangan lewat pilihan raya umum akan datang.
Sebab itu apabila fakta mengenai kemerosotan sokongan terhadap PAS didedahkan, ia wajar diterima dan diteliti. Seminar diberitahu sokongan golongan muda kepada PAS beralih arah secara mendadak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Mac 2008.
Fakta itu dibacakan pengasas dan Pengarah Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, yang dijemput sebagai panel seminar tersebut. Katanya, 70 peratus golongan muda yang percaya pentadbiran PAS sangat baik ketika PRU-12 kini berpendirian berbeza.
Beliau yang juga pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM), menyatakan demikian dalam kertas kerja bertajuk 'Kajian Mikro Kepercayaan Politik di Malaysia Dari Persepsi Pola Kepercayaan Untuk PRU ke-13 akan datang'.
Sementara para pemimpin tertinggi PAS memberikan reaksi positif terhadap dapatan kajian itu dan merangka tindakan susulan mengenal pasti langkah menangani kemerosotan sokongan tersebut, beberapa penelitian lain juga wajar dibuat.
Pertama, kajian membabitkan hanya 2,100 responden terutama di negeri Utara dan Pantai Timur. Apakah jumlah sekecil itu boleh dijadikan sampel yang ideal dan tipikal untuk keseluruhan sokongan terhadap PAS?
Kedua, jumlah responden itu membabitkan pelbagai peringkat usia. Hanya fakta kemerosotan sokongan golongan muda yang ditonjolkan. Bagaimana dengan sokongan peringkat usia lain?
Ketiga, fakta-fakta diberikan kajian itu juga menampakkan golongan dimaksudkan bukannya kalangan ahli atau pendokong PAS. Mereka hanyalah penyokong. Masakan ada ahli parti yang hanya kenal lima pemimpin utama PAS?
Menurut kajian itu, golongan muda cuma mengenali Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Pakatan Perak), Mohamad Sabu dan Dato' Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah).
Mereka juga mendakwa PAS gagal menonjolkan pemimpin muda. Ini satu lagi fakta menampakkan mereka tidak begitu mengenali PAS. Ia bertentangan dengan realiti, terutama jika diteliti saf kepimpinan PAS Pusat yang dibarisi kebanyakannya tokoh muda, jika pun tidak pada usia pemuda.
Keempat, keputusan beberapa pilihan raya kecil dilalui PAS selepas PRU-12 juga membantu. Jika pun ada sedikit kemerosotan sokongan orang muda di Manek Urai, undi mereka diakui banyak membantu kemenangan PAS di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Apakah penilaian lebih baik mengenai sokongan mereka selain kertas undi?
Kelima, kemerosotan sokongan kepada mana-mana parti tidak hanya disebabkan kelemahan parti tersebut. Faktor tawaran, janji dan habuan parti lawan juga tidak boleh diperkecilkan.
Justeru, hasrat PAS melakukan kajian semula terhadap hasil kajian tadi amat wajar. Paling utama, sebarang cadangan dan tindakan ke arah memaut golongan muda menyokong PAS tidak sepatutnya mencalarkan prinsip asal perjuangan.
Misalnya, mungkin ada penganalisis menganggap tindakan Dewan Pemuda PAS yang gemar membantah konsert artis antara faktor golongan muda menjauh diri dari parti itu. Maka apakah PAS sanggup memekakkan telinga dan memejamkan mata terhadap aktiviti merosakkan moral masyarakat sebegitu, semata-mata demi memenangi sokongan orang muda?detikdaily
Kalau PAS Berlawanan Dengan Islam, Kita Akan Tentang PAS - Presiden PAS
MARANG - Jika dasar PAS yang selama ini memperjuangan Islam mengikut al-Quran, hadis, ijma’-ulama dan qias diubah, PAS juga akan ditentangnya.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian dihadapan para wartawan pada satu sidang media selepas Majlis Hi-Tea bersempena pelancaran Program Bersama Intifadah Mempertahankan Baitul Maqdis, di Rusila dekat sini.
Katanya, kepatuhan dan kesetiaan ahli parti akan kekal selagi PAS tidak mengubah dasar dan tidak berlawanan dengan Islam.
“Kita (ahli) patuh kepada PAS selagi PAS tidak berlawanan dengan Islam. Jika parti PAS berlawanan dengan Islam pun, kita (ahli) lawan parti PAS ini.
“Kita (ahli) meletakkan Islam mengatasi segala-galanya. Selagi PAS ini tidak ubah dari segi perlembagaan parti al-Quran, hadis, ijma’-ulama dan qias yang tertinggi.
“Selama itulah kita (ahli) setia dengan perjuangan. Jika PAS telah ubah perlembagaan dia (parti) dari quran, hadis, ijma’-ulama dan qias, dengan PAS sekali kita (ahli) tolak,” tegasnya
Ketika menjawab soalan wartawan berkait isu ‘bai’ah talak tiga’, beliau menafikan ia menjadi amalan bahkan menegaskan itu bukan dasar dan prinsip PAS.
Namun begitu, beliau mengakui perbuatan bai’ah terhadap kesetiaan dengan perjuangan Islam dibenarkan dan menjadi sebahagian amalan Nabi-nabi dan Khalifah Islam.
“Dalam Islam dibenarkan berbai’ah dan Nabi SAW berbai’ah dengan sahabat-sahabat dia (Nabi SAW). Khalifah Islam berbai’ah dengan menteri-menteri dia. Bai’ah ini berlaku.
“Bai’ah kita dalam PAS iaitu taat setia dalam perjuangan parti (PAS). Selagi parti menegakkan Islam dan jika dia (pemimpin) khianat, dia akan dilaknat oleh Allah SWT dan dilaknat oleh Malaikat dan semua melakna mereka,” jelasnya.
Menurutnya, setiap orang yang menjadi bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya akan berbai’ah dengan pemimpin parti, berjanji tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan.
“Bai’ah ini samalah seperti akad jual-beli iaitu ada yang menyebut dan ada yang menerima.
“Tiap-tiap orang yang jadi calon (pilihan raya) dan yang jadi pimpinan PAS, dia mesti berbai’ah dengan pimpinan parti antara satu sama lain.
“Bai’ah ini ialah tidak khianat kepada perjuangan Islam. Kita tidak sebut PAS tetapi perjuangan Islam,” ujarnya.
Oleh itu, kata Ustaz Abdul Hadi menjelaskan isu bai’ah telah selesai dan ‘bai’ah talak tiga’ itu adalah sangat kecil berbanding dengan perjuangan menegakkan Islam yang lebih besar.
Namun demikian, katanya, sekiranya terdapat di kalangan ahli PAS yang melakukan perbuatan demikian, ia tidak dipanggil bai’ah dan tidak mendapat pahala dari Allah SWT.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.BO