Khamis, 15 Oktober 2009

Kemenangan di Bagan Pinang bakal perangkap BN


KUALA LUMPUR: BN memang diakui menang besar dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, 11 Oktober lalu, namun dakwaan bahawa imej parti itu sudah dapat dipulihkan dan rakyat kembali menerimanya disangsikan banyak pihak.Selain memperalatkan undi pos - yang jumlahnya cukup besar - sokongan mengejut pengundi India juga dilihat faktor utama mengapa undi calon BN yang tercalar teruk kewibawaannya, Tan Sri Isa Abdul Samad, jauh meninggalkan calon PAS, Zulkefley Mohd Omar.

Perpecahan Hindraf dan penubuhan parti baru, Makkal Sakhti dilihat mempengaruhi sokongan kaum India kepada BN. "Ini ditambah faktor gangster yang menghalang jentera Pakatan Rakyat masuk ke ladang untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi. BN berjaya menggunakan pendekatan samseng dan mengugut," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang juga Pengarah Induk pilihan raya kecil berkenaan.

Bagaimanapun ramai merasakan kemenangan besar Isa, yang pernah disabitkan kesalahan rasuah dalam pemilihan Umno 2004, dari segi jangka panjang akan memerangkap parti itu sendiri.

"Demi kebaikan parti (Umno), demi martabat masyarakat Melayu yang didakwa diwakilinya dan demi reformasi tadbir-urus dan politik seluruh negara, adalah lebih baik sahaja Umno tewas hari ini, dan menggunakan kekalahan tersebut untuk memulakan reformasi dalaman," kata Tengku Razaleigh Hamzah yang bimbang dengan imej rasuah Isa.

Bagi seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar: "Umno menang sorak di Bagan Pinang tetapi kalah memerangi rasuah dan tergadai maruah. Kemenangan Isa mengakibatkan Umno akan terus angkuh mengamalkan rasuah. Apakah kemenangan ini sangat bermakna kepada usaha memulihkan integriti kerajaan yang tercalar kerana rasuah?"

Pengarah Operasi PAS untuk pilihan raya Bagan Pinang, Dr Dzulkefli Ahmad yakin Umno terjerat dengan keputusannya mencalonkan Isa.

"Apakah ini yang pimpinan Umno mahukan selepas melaungkan pendekatan 'kita mesti berubah atau kita rebah'? Umno kini terjerat dengan keputusannya sendiri," tegas Dr Dzulkefli.

Tambahnya, penyelesaian yang Umno capai dalam pilihan raya ini adalah penyelesaian jangka pendek dan sekadar untuk menang sahaja.

"Padahal banyak yang terpaksa Umno korbankan kerananya, termasuk agenda perubahan yang Umno nak buat ... kini terikat dengan pemimpin kitar semula yang ditolak sendiri Umno sebelum ini," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Bagaimanapun, ramai pemerhati mahu PAS dan juga Pakatan Rakyat mengambil iktibar dan pengajaran daripada kekalahan itu. "Kita boleh senaraikan banyak faktor luaran, tetapi saya kira lebih baik analisis mendalam dibuat dari sudut mengenal pasti kelemahan jentera kempen PAS dan prestasi Pakatan Rakyat seluruhnya terutama kepada masyarakat India," kata seorang penganalisis politik.

"PAS dan Pakatan juga perlu segera berubah," ujarnya lagi.

www.malaysiabebas.com

Menjelang PRU ke 13 : Musuh Pakatan Rakyat adalah diri sendiri


Anthony Loke turun berkempen di Teluk Kemang bersama Penolong SU PAS Terengganu, Hj Hanafiah Mat

Anthony (paling kanan) bersama Naib Presiden PAS Dato' Tuan Ibrahim dan calon PAS, Zulkefly, dalam satu sidang media di pejabat DAP


KUALA LUMPUR - Menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), musuh Pakatan Rakyat (PR) yang terbesar ialah ’dirinya sendiri’, sekiranya PR enggan berubah, maka mereka yang menang dalam tsunami politik 8 Mac 2008, bakal menjadi 'mangsa tsunami' dalam PRU-13.

"Jangan kita pula dijangkiti ‘Denial Syndrome’ (sindrom penafian), hanya menyalahkan 'taburan gula' oleh BN, seperti peruntukan wang ketika tempoh berkempen, undi pos dan sebagainya... semua ini wujud dalam pilihan raya kecil yang lalu, tetapi kami menang,

"mengapa kami kalah kali ini?"kata Anthony Loke Siew Fook, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, dalam muhasabahnya mengulas kekalahan di Bagan Pinang baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam satu forum yang dianjurkan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, disini, semalam.

Loke yang juga Ketua Pemuda DAPSY merupakan penggerak kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Bagan Pinang, yang bertungkus lumus, bergerak siang dan malam bagi pihak DAP.

DAP Negeri Sembilan dilihat turun habis-habisan pada PRK kali ini dengan menyediakan markaz besar, menjadi tempat pengisytiharan calon dan pusat penyelarasan kempen DAP sepanjang PRK tersebut.

Walau pun mengakui segala kelemahan PR antara faktor yang membawa kekalahan, namun beliau tidak bersetuju, keputusan PRK Bagan Pinang memberikan gambaran senario Malaysia secara keseluruhannya.

Pun begitu, menurutnya, beliau tetap menjadikan kekalahan PR sebagai iktibar dan panduan menghadapi pilihanraya akan datang.

Mengulas latar belakang politik Negeri Sembilan, Anthony Loke berkata, UMNO tidak pernah hilang mana-mana kerusi sejak zaman merdeka dinegeri tersebut, sehinggalah PRU ke-12.

Katanya, tsunami politik Mac 2008 menyebabkan UMNO kehilangan tiga kerusi DUN dan menyifatkan kekalahan UMNO itu berlaku kerana sabotaj dari dalaman parti itu sendiri.

Beliau berkata, PAS walaupun telah lama wujud, tetapi tidak pernah menang di Negeri Sembilan sebelum PRU-12, menjelaskan mengapa PAS kelihatan lemah, malah belum berakar umbi di peringkat tempatan.


”Pakatan Rakyat kelihatan teragak-agak mengatur strategi untuk berdepan dengan tokoh tempatan UMNO-BN, Mohd. Isa Samad,

”peringkat awal, isu tempatan dijadikan sasaran utama, kerana menganggap isu nasional kurang berkesan untuk mempengaruhi pengundi,

”Sehinggalah pada peringkat akhir, barulah PR memutuskan untuk menggunakan isu nasional sebagai serangan,”jelasnya.

Walaupun pemimpin PR peringkat nasional turun ke gelanggang untuk menghangatkan suasana, namun katanya, keadaan sudah terlalu lewat.

Sebenarnya, menurut beliau, PR berdepan dengan seorang tokoh, walaupun tercemar, adalah bekas Menteri Besar, yang sudah 22 tahun berpaut di kawasan tersebut.

”Isa Samad, walaupun bertanding di DUN Linggi, namun beliau tetap kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang,

”pengaruhnya begitu besar, sehingga bahagian Teluk Kemang hanya mencadangkan satu nama untuk calon PRK Bagan Pinang,”terangnya lagi.

Anthony Loke turut mengingatkan rakan seperjuangan dalam PR; zaman "undi untuk parti tanpa mengira calon" telah berlalu.

Beliau meramalkan, walaupun ramai dikalangan PR kini bergelar ’YB’ namun ia tidak memudahkan PR menghadapi PRU ke-13, kerana beban yang ditanggung oleh mereka.

"Dulu kami tak ada beban, kerana kebanyakan kami bukan wakil rakyat, namun, pada PRU ke-13 akan datang, pengundi akan menilai kualiti dan prestasi,

”jangan sesekali menganggap kita akan menang, hanya dengan bergantung kepada karisma pemimpin nasional, "katanya.

Beliau mengingatkan prestasi wakil rakyat dan pimpinan PR menjadi penentu dalam pilihanraya umum akan datang.

”Seandainya prestasi Pakatan Rakyat kurang memuaskan dan enggan memperbaiki kelemahan diri sendiri, maka kami (PR) tidak memerlukan BN sebagai musuh,

”Musuh yang terbesar PR ialah PR sendiri."kata Anthony Loke membuat kesimpulan.- (sumber Merdeka Review)

Pindaan perlembagaan serlahkan kepalsuan Umno


KUALA LUMPUR, 15 Okt: Tindakan Umno menghapuskan sistem kuota pemilihan serta melonggarkan konsep ketuanan Melayu, menyerlahkan lagi keengganan parti perkauman Melayu itu untuk berubah demi kepentingan rakyat.

Ianya kerana beberapa pindaan pada perlembagaan dalam Pemilihan Agung Umno (PAU) sekarang didakwa, masih bersifat perubahan yang palsu.

Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin berkata, selagi Umno tidak berani menyerahkan kuasa pemilihan sepenuhnya kepada perwakilan, selagi itu Umno terus dibelit dengan amalan rasuah.

Ujarnya lagi, perubahan yang diperkatakan oleh kebanyakan pemimpin Umno tersebut hanya mengulangi retorika lama; yang telah pun menjadikan Pakatan Rakyat lebih disokong rakyat berbanding Barisan Nasional sejak tsunami politik, 8 Mac lalu

"Pindaan yang dibuat bukan bersifat organik (semula jadi), tapi lebih meniru trend perubahan rakyat yang sedia ada dan meniru prinsip-prinsip bersama dalam Pakatan Rakyat sendiri," katanya.

"Yang dibuat oleh Najib itu sebenarnya dalam keadaan terpaksa...mereka tidak cukup berani sehingga mengadakan beberapa sekatan lain (pindaan) yang baru...setelah menyedari Umno tidak lagi bersama kehendak rakyat...Umno sedang ditinggalkan sendiri oleh ahli-ahlinya," tegasnya.

Dakwanya lagi, beberapa pindaan dan retorika Najib itu sebenarnya hasil ciplak dari beberapa gagasan perjuangan PKR.

Beliau yang juga Ketua Cabang Rembau mendakwa bahawa kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Dun Bagan Pinang baru-baru ini sendiri tidak mampu dijadikan sumbu kekuatan Umno; kerana mereka sedar Isa menang dengan menggunakan taktik rasuah dan kronisme.

Beliau yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mencabar Isa menafikan pendedahan rasuah dan kronisme yang dibuat dalam blog peribadinya, chegubard.blogspot.com semalam.

Beliau yang mengikuti PAU sejak kelmarin juga mendakwa, tindakan Umno yang terus-menerus menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peribadi yang dimaki-hamun, membuktikan bahawa Ketua Pembangkang itu masih menjadi simbol perubahan yang mampu membenamkan survival politik Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dihubungi kemudian mendakwa, beberapa pindaan tersebut lebih bertujuan menyelesaikan masalah-samalah dalaman Umno seperti rasuah, kronisme dan penipuan dalam proses pemilihan pemimpin mereka sendiri.

Tegasnya lagi, pindaan perlembagaan itu langsung tidak mampu mengubah sistem kenegaraan yang lebih korupsi seperti dalam sistem kehakiman, Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya.

Ujar Shamsul lagi, definisi baru Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bahawa kepimpinan Melayu Umno berpaksi pada keadilan dan rahmah, merupakan suatu retorik kosong Ahli Parlimen Rembau itu sahaja.

Beliau juga mendakwa Umno sudah mengalami Anwarism, setelah melihat rakyat terus memberi harapan kepada kepemimpinan perubahan Ketua Pembangkang itu.

"Umno dipengaruhi oleh Anwarism, perkataan seperti wahdatul, inklusif adalah perkataan ruji DS Anwar...," responnya dalam rangkaian sosial maya, Twitter semalam.

Semalam, Najib menjelaskan pindaan perlembagaan termasuk mengenakan syarat minima untuk bertanding bagi menggantikan sistem kuota yang diamalkan dalam PAU sebelum ini.

Beberapa media elektronik arus perdana melaporkan, pindaan itu masih tergantung pada persetujuan dalam Pemilihan Agong Khas kelak.

Jelas Najib lagi, syarat minima untuk bertanding jawatan di peringkat bahagian perlu menjadi ahli parti selama tiga tahun.

Manakala, seseorang yang mahu bertanding jawatan Tertinggi dalam parti, termasuk Presiden sekurang-kurangnya pernah menjadi anggota jawatankuasa bahagian selama sepenggal.

Cadangan tersebut, menurut Najib, mampu menjadikan Umno lebih telus, terbuka dan demokratik.

Semalam, Khairy juga mendifinikan kepimpinan Melayu adalah keadilan dan rahmah, bukannya atas kekuasaan Melayu yang sempit.

Beberapa pindaan terbaru yang dicadangkan itu dikatakan secara tidak langsung menghalang muka-muka baru yang besih dan berintegriti untuk memimpin parti perkauman Melayu itu.

Sekaligus, Umno bakal terus dipalitkan dengan pelbagai dakwaan yang rasuah, perkauman Melayu, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya; yang langsung tidak memperlihatkan wajah hakiki 1Malaysia.

Ini kerana, PAU sahaja yang dilihat baru, sedangkan kepimpinannya masih dari kalangan muka-muka lama.harakahdaily

MB selangor sedia berbincang dengan Adun Pelabuhan Kelang




SHAH ALAM, 14 Okt: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah jika beliau serius mahu mengekalkan kedudukannya.

Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, pihaknya merancang mengadakan perjumpaan dengan Badrul yang dikatakan menghadapi masalah kesihatan dan gagal menumpukan perhatian kepada tugasnya.

"Kita dah mula merancang perjumpaan dan untuk cuba mengatasi beberapa masalah yang dihadapi oleh saudara Badrul dengan tujuan untuk meminta Badrul menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun),"katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009, Zon Tengah Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Khalid mengulas laporan kononnya Badrul akan keluar dari PKR dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN). Beliau ini berjalan sejak Januari lalu lagi.

Yang terkini, beliau dikatakan mahu menurut jejak beberapa Adun PKR di Perak dan juga Kedah.

Namun, sehingga kini, Badrul menafikan beliau akan keluar dari PKR bahkan akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat.

Image Sejak beberapa bulan lalu, Badrul (gambar) dipertikaikan oleh pelbagai pihak ekoran dari kesukaran penduduk kawasannya mendapatkan khidmat dari beliau sebagai Adun.

Pejabat beliau juga tidak dibuka sejak kebelakangan ini.

Usaha pengedar akhbar kerajaan negeri Selangor, Selangor kini, Kalam Fatiha, menghantar akhbar itu ke pejabatnya juga gagal kerana pejabatnya sudah ditutup.

Menurut jiran-jiran pejabat beliau, pejabat itu sudah lama tidak dibuka.

Menurut Khalid, pihaknya memberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk menetapkan kedudukan Badrul, bagi memastikan penduduk DUN Pelabuhan Klang mendapat perkhidmatan yang sewajarnya.

Beliau berkata, apa yang penting Badrul harus menunjukkan kesediaaanya untuk terus mewakili penduduk di kawasan terbabit dan membantu mereka menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

"Saya agak positif dia ingin mengadakan perbincangan tapi itu perbincangan sahaja tidak cukup mesti nampak, dia boleh nampak oleh masyarakat di Pelabuhan Klang dia menjalankan tugas sebagai ahli dewan undangan negeri," katanya.

Mengenai tekanan yang dihadapi oleh kerajaan negeri berhubung isu tersebut, Tan Sri Khalid berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu secepat mungkin. _harakahdaily