Selasa, 13 Oktober 2009

Ke arah Malaysia yang lebih baik,rakyat perlu berani membuat perubahan



KUALA TERENGGANU - PAS dan Pakatan Rakyat mengajak seluruh rakyat membuat satu perubahan kearah membentuk sebuah negara Malaysia yang lebih baik.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Zawawi Salleh, berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam Majlis Rumah Terbuka Perhubungan PAS Terengganu yang diadakan di perkarangan pejabat PAS, di Taman Seri Intan, disini, hari ini (13 Oktober).


”Supaya mereka memahami matlamat dan dasar yang diperjuangkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat,


”(yang mana) perjuangan ini adalah untuk memandu negara kita kearah yang lebih baik dan menghapuskan gejala-gejala yang tidak sepatutnya berlaku,”katanya

Menurutnya, ia juga menjadi matlamat seluruh rakyat yang mempunyai rasa tanggungjawab dari pelbagai bangsa dinegara ini.

Apa yang kita sambut pada hari ini mempunyai agenda untuk memperlihatkan batang tubuh PAS dan perjuangannya yang lebih baik kepada umum.

”Inilah yang disebut dalam kitab suci al-Quran, iaitu untuk mengujudkan ’baldatun toyyibat wa rabbun ghafur’, sebuah negeri yang baik yang mendapat pertolongan daripada Allah, dan mendapat kemapunan dari Allah SWT,”ujarnya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Malaysia.

Beliau berkata program sambutan Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Eidul Fitri yang diadakan pada hari ini, InsyaAllah akan melahirkan suasana kesatuan dalam usaha menggerakkan perubahan, menubuhkan kerajaan baru yang akan membawa kebaikan kepada semua.BO

Tok Guru Nik Aziz mengulas kekalahan Pas di Bagan Pinang

Gambar Najib melawat Tok Guru di Hospital di sebarkan secara meluas bagi oleh Umno bagi meraih simpati pengundi Bagan Pinang

KOTA BHARU – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kelmarin dianggap sebagai tidak bermoral kerana calon yang dipilih memiliki rekod lampau yang tidak baik.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, walaupun calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berjaya menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar namun kemenangannya itu akan membebankan BN dan UMNO.

Beliau berkata, tindakan UMNO memilih Mohd Isa amat memalukan jika dibandingkan langkah yang diambil kaum Cina di dalam MCA yang menolak dua pemimpin utamanya dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Sabtu lepas .

“Langkah yang diambil UMNO terbalik dan cukup memalukan. Cina yang tidak beragama Islam tolak Presiden dan Timbalan Presiden kerana terlibat dengan yang seorang tu kerana skandal duit dan hak seorang lagi tu skandal perempuan.

“Tetapi yang ini pula memang UMNO sendiri mengaku dia terlibat dengan skandal tetapi dia pilih. Pilih pula dengan majoriti banyak. Jadi di mana duduk moral, malu pada orang Cina yang tidak beragama Islam. Saya nak ulang sekali lagi malu kepada orang Cina yang tidak beragama Islam,” katanya.

Menteri Besar Kelantan itu turut memuji cara MCA menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi kerana masyarakat Cina menolak dua pemimpin parti itu yang terlibat dengan skandal.

“Saya puji cara MCA berpolitik. Cara mereka menyelesaikan masalah. Mereka buat EGM dan tidak menggunakan kekerasan sebagaimana di Bagan Pinang.

“Pemikiran politik orang Melayu khasnya UMNO masih ke belakang. Memang betul seperti saya agak selama ini bahawa Cina lebih jauh pandai berpolitik berbanding orang Melayu,” katanya.

Mengulas mengenai kekurangan majoriti yang diperoleh di Bagan Pinang, beliau berkata, soal calon Pas tidak timbul kerana pengundi akan memilih parti yang membawa dasar Islam dan bukannya calon itu sendiri sahaja.

“Kita dalam Pas, kita pilih parti. Parti itu parti Islam. Lepas itu baru kita pilih calon. Sesuai atau tidak calon berkenaan dengan parti yang diwakili itu tidak timbul kerana dasar parti itu adalah Islam,” katanya.

Beliau bagaimanapun akur dengan kekalahan itu kerana pengundi sudah membuat pilihan dengan memilih BN.

“Kalau mereka memilih BN dengan kehendak hati sendiri, saya tidak boleh buat apa. Tetapi hak yang 2,000 lagi yang mengundi PAS itu saya harap biar ia jadi benih yang cukup bernas untuk menyebarkan Islam di masa depan,” katanya.

Beliau turut melahirkan dukacita pergaduhan yang berlaku antara penyokong parti yang bertanding pada pilihan raya itu, kerana ia tidak mencerminkan ketamadunan Melayu dan amat memalukan.

“Itu adalah unsur yang tidak patut berlaku pada zaman moden sekarang ini. Malu kita dibuatnya. Demokrasi pun tidak Islam pun tidak. Mana boleh budak-budak itu buat kerja kalau tidak ada pemimpin,” katanya.SH

(Video) Aktiviti ekonomi Pas Cawangan Beris Pak Abu






Turut bersama,Naqib Unit Usrah kami,Ustaz Abd Aziz Abas
Kumpulan pertama

Hati hati Tok Aji nanti jatuh
Kumpulan kedua
Jongkong yang berjaya di siapkan

Aktiviti yang di jalankan pada setiap Jumaat ini adalah untuk menambah sumber kewangan Tabung Kebajikan Unit Usrah Pas Beris Pak Abu.Unit Usrah ini di naungi oleh Pas Cawangan Kg. Beris Pak Abu.Para ahli Usrah akan bergotong royong menghasilkan jongkong ini untuk di pasarkan.Buat masa ini pasarannya agak menggalakkan,permintaan melebihi pengeluaran maklumlah kami hanya dapat menjalankan aktiviti ini hanya seminggu sekali.Dengan kegiatan ini,kami di cawangan ini berusaha untuk berdikari dalam menambah sumber kewangan untuk menampung segala aktiviti kami.Tidaklah kami terlalu bergantung kepada derma ahli semata mata.Banyak aktiviti kami yang memerlukan sumber kewangan,contohnya menziarahi orang sakit,majlis jamuan bulanan dan sebagainya. Kini kami merancang untuk mengadakan Anugerah Kecemerlangan Pelajar peringkat Cawangan untuk pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR,PMR,SPM dan STPM.Ini sebagai tanda penghargaan kami kepada anak anak Beris Pak Abu yang cemerlang dalam pelajaran.Terima kasih kepada seluruh ahli Usrah yang sudi meluangkan masa anda untuk kegiatan yang mulia ini.Semoga pengorbanan anda mendapat balasan yang setimpal dari Allah.

SALAM DARI AMBO TINTA HIJAU DARI KAKI BUKIT

Untuk menang di Bagan Pinang Umno sanggup lakukan apa saja



Umno Barisan Nasional (BN) menghalalkan apa jua cara bagi mendapatkan kemenangan Plihanraya Kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang setelah BN tujuh kali tewas pada pilihanraya kecil sebelum ini.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Fariz Musa berkata kemenangan Isa Samad menewaskan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar adalah disebabkan provokasi Umno BN.

“Kali ini mereka menggunakan pelbagai cara dan teknik, malah bagi saya ialah Umno sanggup menghalalkan cara dan yang penting ialah kemenangan kepada Umno dan Barisan Nasional.

“Mereka akan melakukan apa sahaja termasuk tindakan-tindakan yang secara jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi itu sendiri, sebab itu kita melihat bahawa Umno sebenarnya tertekan di Bagan Pinang,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut beranggapan kemenangan di Bagan Pinang itu akan terus menggalakkan lagi agenda rasuah yang berterusan di kalangan pemimpin Umno BN dengan merealisasikan kemenagan Isa Samad.

“Kemenangan di Bagan Pinang yang dimenangi Barisan Nasional merupakan suatu petanda bagaimana rakyat di Bagan Pinang telah merealisasikan Isa Samad sebagai wakil rakyat negeri itu.

“Jadi, kita anggap kemenangan tersebut sebagai satu kemenangan rasuah pemimpin ini,” katanya.

Mengulas lanjut samaada kemenangan tersebut berkait rapat dengan undi pos yang sebelum ini cuba dihapuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, beliau mengatakan undi pos turut menjejaskan keputusan pilihanraya kecil itu.

“Sepertimana dengan usaha yang telah dibuat oleh Pakatan Rakyat daripada awal lagi yang berusaha supaya SPR mengambil satu tindakan yang tegas supaya menghapuskan undi pos ini.

“Tapi malangnya kita melihat bahawa SPR seolah-olah mempertahankan undi pos yang bagi kita buat masa ini, undi pos adalah sudah tidak relevan lagi untuk dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, beliau turut mendakwa terdapat rakaman dan laporan yang dibuat terhadap pemimpin tinggi Umno BN yang cuba merasuah pengundi pos.

“Sebab itu apabila berlaku rakaman dan laporan yang telah kita buat terhadap rasuah penyalahgunaan kuasa oleh pimpinan Umno untuk meraih undi di sana sedangkan dalam masa yang sama SPR menegaskan akan mengambil tindakan yang adil.

“Namum apa yang jelas, ianya nampak bertentangan dengan prinsip pilihanraya itu sendiri dan demokrasi sehinggakan tidak juga undi pos dihapuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Fariz turut mempertikaikan strategi terdesak yang digunakan oleh ahli-ahli Umno menghalalkan cara berkempen tidak bermoral sehingga mengancam keselamatan pengundi.

Beliau mendakwa tindakan ini sebenarnya menakutkan para pengundi terutamanya masyarakat Cina yang ketakutan keluar mengundi apabila melihat keganasan berlaku di sepanjang hari mengundi dan hari kempen.

“Memang kita akui ini adalah antara strategi yang sebenarnya kita lakukan sebelum mereka bertindak daripada awal lagi, daripada mula penamaan calon lagi mereka tidak bermoral dan juga telah berlaku beberapa insiden di antara penyokong.

“Penyokong mereka juga telah mencederakan beberapa orang-orang kita dengan menggunakan senjata. Di malam akhir itu pun, kita melihat bagaimana insiden yang berlaku apabila mereka berani masuk menyerang kawasan pos kita ,’ katanya.

Selain itu, beliau berkata keputusan kemenagan Isa Samad pada kali ini tidak begitu mengejutkan apabila sebelum ini terdapat juga pilihanraya kecil yang dimenangi oleh wakil rakyat yang dipalit dengan imej buruk.

"Pemimpin yang tidak berakhlak, pemimpin yang tidak bermoral dengan rasuah tidak menjadi kesan kepada mereka yang bagi mereka ialah tindakan-tindakan yang dalam gerak kerja kempen selama ini yang mana Umno masih mengekalkan amalan rasuah dalam kalangan pengundi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, PR turut difahamkan Umno BN bukan sahaja telah merasuah pengundi malah merasuah orang ramai supaya tidak hadir ke ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh PR sempena pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Tindakan ini sekaligus membuatkan pengundi di kawasan Bagan Pinang hilang punca dalam mendapatkan input yang benar daripada PR sepanjang hari berkempen.

Pilihanraya kecil di Bagan Pinang diadakan ekoran kematian penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah pada 4 September lepas.TVA

PRK Bagan Pinang | Undi Pos tidak telus,berlaku rasuah politik

Timbalan Perdana Menteri tanpa malu menyerahkan rasuah pilihanraya dan janji politik semasa program majlis Pecahtanah pembinaan Sekolah rendah Taman Intan Perdana


Ladang Bradwall, pengundi di ladang-ladang terang-terangan menerima rasuah yang diberi oleh pemimpin Umno/BN termasuk barangan dan peralatan dapur, termasuk dapur memasak


PRK Bagan Pinang National Institute for Electoral Integrity (NIEI) telah memantau perjalanan pilihanraya kecil (PRK) bagi kerusi DUN Bagan Pinang (N 31) bermula dari hari penamaan calon pada 3 Oktober sehinggalah berakhirnya proses pengundian pada 11 Oktober 2009.

Didalam pemantauan pilihanraya, terdapat dua kaedah yakni stationary monitoring (pemantau ditugaskan untuk tunggu disetiap tempat mengundi) dan mobile monitoring (pemantau bergerak).


NIEI menggunakan kaedah mobile monitoring dimana pemantau-pemantau NIEI bergerak untuk memantau perjalanan pilihanraya di dalam kawasan N 31 bermula dari proses penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.
Di dalam pemantauan NIEI di kerusi N 31, terdapat beberapa perkara yang telah mencemarkan PRK yang seharusnya telus, bebas dan adil.

Diantaranya ialah:


1) Ketidak telusan pengundian pos


Terdapat dakwaan bahawa senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan kepada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009.


Selain daripada itu, terdapat juga dakwaan bahawa terdapat pengundi-pengundi pos yang didaftarkan lebih dari satu kem serta persara-persara tentera masih lagi terdapat dalam daftar pengundi pos.

Yang lebih menyedihkan lagi, SPR langsung tidak mengendahkan syak wasangka ini dan tidak membersihkan nama mereka dan maruah sebagai badan penggendali pilihanraya tidak dipertahankan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan proses pengundian pos tidak lagi dipertikaikan pada masa akan datang, NIEI mencadangkan agar kaedah dan prosedur pengundian pos hendaklah dikaji semula dan diubah supaya ianya telus dan diyakini oleh rakyat.

Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, pengundian secara normal digunakan bagi anggota tentera mereka.
Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR – serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antrabangsa – dibuka di dalam kem-kem tentera.

|Jika terdapat undi pos tentera, ianya akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPR negara tersebut. Tidak timbul langsung kontraversi senarai nama pengundi anggota tentera di sana.

2) Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji


Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji masih lagi berleluasa dalam PRK N 31 Bagan Pinang.
Pemberiaan projek-projek kerajaan kepada penduduk Bagan Pinang semasa tempoh berkempen dilakukan secara berleluasa.

Banyak kementerian-kementerian seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digunakan untuk memberikan “rasuah politik” kepada pengundi Bagan Pinang secara terbuka.

Selain daripada itu, penyalahgunaan jentera kerajaan turut dilakukan secara berleluasa.
Kedua-dua pihak yang bertanding dilihat menyalahgunakan harta rakyat terutama kenderaan milik kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan. Manakala UMNO-BN memonopoli dewan orang ramai, sekolah, KEMAS dan JKKK sebagai markas parti.

Amalan ini adalah satu kesalahan besar kerana seharusnya harta milik kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh digunakan bagi parti-parti politik yang bertanding semasa berkempen dalam pilihanraya.

Untuk memastikan pilihanraya akan datang adil kepada semua pihak yang bertanding, NIEI mencadangkan agar politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, salahguna jentera negara dan salahguna kemudahan awam hendaklah dihapuskan.

Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan.
Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPRnya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.

Untuk menghapuskan amalan ini, undang-undang anti rasuah politik dan penyalahgunaan harta awam hendaklah digubal seperti yang dilaksanakan di Thailand dan Taiwan.


3) Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi


Amalan merayu undi dan tukang sorak telah menyebabkan ketegangan berlaku pada hari mengundi.
Apabila perayu-perayu undi dari kedua-dua parti politik bersaing untuk merayu undi berhampiran dengan tempat pembuangan undi, ianya menggangu pengundi-pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Selain daripada itu kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik untuk mengangkut pengundi turut menyesakkan keadaan dihadapan tempat pembuangan undi yang biasanya dilaksanakan di sekolah.

Bagi memastikan pengundi-pengundi dapat berfikir dengan tenang sebelum masuk ke tempat pembuangan undi, NIEI menyarankan agar amalan merayu undi, tukang sorak dan penyediaan kemudahan pengangkutan untuk mengangkut pengundi dihapuskan.

Sebagai ganti, tempoh berkempen bolehlah diperpanjang seperti dua minggu bagi pilihanraya kecil dan sebulan bagi pilihanraya umum. Parti-parti politik bukan kerajaan yang sering tidak mendapat tempat di media arus perdana aktif berkempen pada hari mengundi oleh kerana tidak mendapat liputan yang adil oleh media arus perdana dan tempoh berkempen yang singkat, jika tempoh berkempen diperpanjangkan, semua pihak akan mendapat masa yang cukup untuk berkempen.

Selain daripada itu, SPR bolehlah menyediakan kenderaan untuk mengangkut pengundi seperti van, kereta dan motosikal sebagai alternatif kepada kenderaan-kenderaan yang disediakan oleh parti politik

4) Perbelanjaan berkempen


Dalam PRK Bagan Pinang, dapat disimpulkan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk berkempen bagi calon BN, Tan Sri Isa Samad telahpun melebihi had yang ditetapkan iaitu RM 100,000 bagi calon DUN.

Menurut Seksyen 19(1) (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum hendaklah berbelanja tidak melebihi had yang ditetapkan iaitu untuk calon Parlimen RM200,000 dan calon DUN RM100,000.

Akta ini harus digubal semula dan harus menyatakan bahawa ianya termasuklah kepada parti politik yang menyokong sesuatu calon tersebut.
Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) bolehlah dilakukan untuk memperketatkan lagi pemantauan perbelanjaan kempen.

NIEI berharap agar isu-isu yang dibangkitan akan diambil perhatian serius oleh SPR agar perjalanan pilihanraya di Malaysia dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang. Semua parti politik yang bertanding diseru agar bekerjasama bagi memastikan proses perjalanan pilihanraya di Malaysia menjadi lebih adil, telus dan saksama. Pilihanraya yang berkredibiliti akan meyakinkan lagi rakyat dengan amalan demokrasi di Malaysia.BO

Amin Iskandar