Isnin, 14 September 2009

Zamri lawan Nizar: Pas sudah ada calon di Bagan Pinang



Sidang akhbar PAKATAN untuk PRK Bagan Pinang


PAS telah mengenal pasti tiga calon yang sesuai untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan berlangsung 11 Oktober ini.

Walau bagaimanapun, nama-nama tersebut hanya akan diumumkan apabila tiba masa yang sesuai kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

" Ya, betul-betul. tapi kita belum buat apa-apa keputusan muktamad. Hari ini kita baru tahu hari penamaan calon, mungkin kita akan buat sebaik sahaja selepas beberapa hari kita akan buat keputusan muktamad untuk mengumumkan calon kita" ujarnya.

Namun apabila ditanya, sama ada calon PAS yang bakal bertanding adalah penduduk tempatan, Mahfuz berkata ianya masih terlalu awal untuk diputuskan.

" Saya rasa tak boleh nak katakan orang situ atau orang mana, yang pentingnya kita sudah dapat tiga nama. Kemudian kita akan buat satu survey untuk melihat tentang potensi untuk menang di kalangan calon yang dikemukakan kepada kita itu" tambahnya lagi.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, daripada Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia pada 4 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini telah mengumumkan penamaan calon akan dibuat pada 3 Oktober depan manakala pilihanraya kecil dijangka pada 11 Oktober.

Pada Pilihanraya Umum ke-12, Allayarham Azman telah memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dengan mendapat 6, 480 undi dengan mengalahkan calon PAS, Ramli Ismail majoriti 2, 333 undi.

PAS bagaimanapun yakin dapat menawan kubu kuat BN itu sekiranya SPR turut memainkan peranan telus kerana sebahagian undi untuk kawasan tersebut datangnya dari undi pos.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Pusat sedia untuk menghantar satu memorandum kepada SPR untuk memansuhkan borang 2 pilihanraya di kalangan pengundi pos.

Ia bertujuan agar para pengundi tidak menghadapi sebarang ketakutan untuk mengundi parti pilihan kerana tiada pengecaman identiti boleh dibuat sekiranya borang 2 yang mengandungi maklumat peribadi dimansuhkan.TVA

Zamri lawan Nizar: Kartika setia menanti hukuman



KUALA KANGSAR - Wanita yang tetap mahu dihukum sebat kerana kesalahan minum arak di khalayak ramai, Kartika Sari Dewi, 32, tidak lagi mahu meminta-minta pihak berkuasa menjalankan hukuman sebat terhadap dirinya dengan segera.

Menurutnya, selepas kes itu dilanda kontroversi dan mendapat liputan meluas media, dia mengakui hanya akur dengan setiap keputusan bagi menghormati undang-undang.

“Saya hanya mampu menunggu keputusan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa yang lebih arif mengenai hukuman sebat yang bakal dijalani kelak.

“Saya lebih tenang sekarang dan tidak mahu lagi mendesak atau cakap segeralah sebat saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di kampung Jawang, Sungai Siput di sini semalam.

Kartika yang juga model sambilan dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan Cherating, dua tahun lalu.

:Kartika yang mempunyai seorang anak itu sepatutnya menjalani hukuman sebat di Penjara Kajang 25 Ogos lalu bagaimanapun dimaklumkan terpaksa ditangguhkan atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus kerana menghormati kemuliaan Ramadan.

S:ementara itu, bapanya, Shukarno Abdul Mutalib berkata, ada hikmahnya di sebalik penangguhan sebat ke atas anaknya itu kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mendengar pandangan dan pendapat golongan cerdik pandai mengenai kes berkenaan.

Menurutnya, biarlah masalah itu diselesaikan secara berhemah dan boleh menegakkan syiar Islam.

:“Ada golongan bukan Islam turut memberikan pandangan dan mahu sebat diteruskan. Jadi, biarlah hukuman ini diputuskan dengan cara berhemah dan betul serta mampu menaikkan imej Islam di mata dunia kerana Islam itu indah serta cantik.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada sebarang perkembangan diterima daripada pihak berwajib berhubung kes anaknya itu dan keluarganya hanya mengi�kuti laporan di akhbar dan media lain yang membicarakan tentang Kartika serta hukuman sebatnya.

“Setakat ini tidak ada khabar berita dan kita hanya mengikuti perkembangan daripada akhbar dan media sahaja... tetapi kami akan tunggu dan patuh dengan setiap arahan pihak berkuasa sehinggalah tarikh sebenar ditetapkan.

“Sekiranya pihak Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), mempunyai kekangan untuk mengambil Kartika di sini, atas dasar kerjasama kami sudi menghantarnya ke sana untuk menjalani hukuman sebat...tetapi jangan bila sampai ke sana, keputusannya masih tergantung,” katanya. sinarharian

Zamri lawan Nizar:PRK Bagan Pinang,3 OKT. penamaan calon 11 OKT hari mengundi







PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan diadakan pada 11 Oktober ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober.
Tarikh tersebut diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mesyuarat khas hampir dua jam di sini sebentar tadi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu dan pengundian pada Ahad adalah berdasarkan maklum balas yang diterima berikutan peratusan undi yang menurun pada pilihan raya kecil sebelum ini di DUN Permatang Pasir.
"Banyak di tempat lain sebelum ini kita pilih hari bekerja (hari penamaan calon dan pengundian), kita dapati jumlah pengundi yang datang ramai, contohnya di Manek Urai sebanyak 88 peratus.
"Kecuali di Permatang Pasir, kita tidak tahu kenapa pengundi yang turun hanya 73 peratus sahaja.
"Jadi berdasarkan maklum balas itu, kita tukar kepada Sabtu dan Ahad," katanya.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, BN yang meninggal dunia pada 4 September lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, SPR tidak menolak kemungkinan untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil seterusnya pada hari hujung minggu sekiranya menerima maklum balas yang baik dari segi peratusan keluar mengundi di DUN Bagan Pinang.
Beliau turut menafikan pemilihan tarikh berkenaan adalah disebabkan DUN Bagan Pinang adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN).
"Mana ada...tidak langsung terlintas di fikiran kita perkara begitu," katanya.
Berhubung keraguan terhadap ketelusan pengundian pos yang disuarakan sesetengah pihak, Abdul Aziz berkata, pihaknya memberi jaminan pengundian itu berlangsung secara telus memandangkan syarat-syarat ketat yang dilaksanakan sepanjang proses pengundian dan pengiraan undi.
"Tidak mungkin akan berlaku undi pos boleh ditambah sesuka hati. Hanya mereka yang layak dalam undang-undang boleh mendaftar diri sebagai pengundi pos.
"Untuk menjadi pengundi pos, dia tidak boleh hendak tipu dan hantar orang lain kerana ia perlu disahkan oleh orang yang dikenali melalui borang 2 yang akan disekalikan dengan kertas undi dan diletakkan dalam sampul surat," katanya.
Beliau berkata, proses itu akan turut dipantau oleh pegawai SPR dan ejen-ejen parti yang bertanding.
Katanya, semua sampul surat itu akan disimpan dalam karung yang dilekatkan pita yang ditandatangani oleh ejen-ejen bagi tujuan keselamatan dan disimpan oleh pegawai pengurus sehingga hari pengiraan undi.
"Pada hari mengundi, SPR dengan disaksikan ejen akan mengeluarkan sampul surat tadi untuk memisahkan kertas undi dan borang 2.
"Selepas itu, kertas undi akan dimasukkan ke dalam kotak undi. Soal siapa undi siapa, tiada siapa yang tahu kecuali orang berkenaan," katanya.
Selain itu, Abdul Aziz berkata, SPR masih memberi ruang kepada parti-parti politik yang telah melanggar larangan mengadakan pondok panas pada hari mengundi memandangkan ia masih di peringkat awal pelaksanaan.
"Tetapi jangan terkejut apabila tindakan diambil selepas ini. Kita dah ingatkan banyak kali, jangan pula nanti tuduh SPR zalim," katanya.
Abdul Aziz berkata, pihaknya akan bertemu dengan wakil parti-parti yang bertanding bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang iaitu BN dan PAS bagi memberikan taklimat berhubung peraturan sepanjang tempoh berkempen.
Berhubung dakwaan wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Abdul Aziz berkata siasatan SPR mendapati tiada pengundi hantu dan pengundi terbabit adalah sah dan telah mendaftar sebelum 2002.
Seperti pilihan raya kecil yang lain, SPR turut membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (MAFREL) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil berkenaan.
Info pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang:
Tarikh penamaan calon: 3 Oktober 2009 (Sabtu)
Tarikh pengundian: 11 Oktober 2009 (Ahad)
Pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi: Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Tempat proses pengeluaran dan pengiraan undi: Bilik mesyuarat pejabat daerah Port Dickson.
Tarikh daftar pemilih dikemas kini: 4 September 2009
Jumlah pemilih berdaftar: 13,664 orang
Jumlah pemilih biasa: 9060 orang
Jumlah pemilih pos: 4604 orang
Pecahan pemilih mengikut kaum: Melayu - 8,577 orang (62.77 peratus), India - 2,834 orang (20.74 peratus), Cina - 1,498 orang (10.96 peratus) dan lain-lain - 755 orang (5.54 peratus)
Pecahan pemilih mengikut jantina: Lelaki - 7,912 orang (57.9 peratus) dan perempuan - 5,752 orang (42.10 peratus)
Jumlah pusat mengundi: 8 pusat melibatkan 8 sekolah
Jumlah saluran mengundi: 18 saluran
Pegawai Pengurus: Abdul Wahab Shamsuddin - Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson
Jumlah petugas SPR: 275 orang.mstar

Zamri Lawan Nizar:Samy Vellu kritik Najib

Samy Vellu pun sekarang berani mengkritik BN dan Najib
Perpecahan dan pergolakan dalam BN semakin nyata.Bermula dengan SAPP,MCA dan kini MIC

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Selepas menyatakan orang-orang India meluat dengan Barisan Nasional (BN), semalam Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu membidas Perdana Menteri pula.

Perdana Menteri cakap, bila popular di dalam parti sahaja tak mencukupi. Perlu popular di kalangan rakyat juga.

"Biar saya cakap ini. Kalau popular di dalam parti baru anda bercakap di luar, dengan rakyat. Kalau tak, mereka akan tanya, siapa kamu?" kata beliau yang dilihat menjawab balik apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan perhimpunan agung MIC kelmarin.

Dalam ucapannya semalam, Najib mengingatkan pemimpin parti-parti komponen BN supaya tidak hanya popular di kalangan ahli parti sedangkan pada masa sama mereka gagal memenangi hati rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, jika pemimpin terbabit lupa menjadi popular di kalangan rakyat, mereka sudah pasti akan dihukum dalam pilihan raya akan datang.

"Sebab itu saya selalu mengingatkan bahawa tiada guna kita menjadi popular di kalangan ahli parti sahaja tetapi tidak popular di kalangan rakyat."

"Kalau kita popular di kalangan ahli parti, kita boleh menang jawatan dalam parti. Tetapi sama ada parti kita relevan atau tidak, ia bergantung kepada sama ada kita boleh memenangi hati rakyat untuk menyokong BN," katanya.

Ucapan Najib itu dilihat sebagai pemerhati sebagai tanda sokongan kepada seteru Samy Vellu, Datuk S Subramaniam yang mencabar calon yang disokong Presiden MIC itu, Datuk G Palanivel dalam perebutan tiga penjuru sebagai Timbalan Presiden MIC.

Ditanya sama ada "mesej" Perdana Menteri itu tidak dipedulikan oleh perwakilan, Subramaniam berkata: "Saya kira Perdana Menteri membuat gesaan yang penting. Saya kira mesej itu hilang begitu saja".

Seorang lagi calon timbalan presiden, Datuk S.Sothinathan pula berkata: "Sekalipun apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri pagi ini...perwakilan telah membuat keputusan mereka dan tidak ada yang dapat mengubahnya".

Kekalahan Subramaniam itu juga dilihat oleh pemerhati sebabagai kekalahan Najib yang disifatkan memberikan mesej yang jelas supaya dilakukan perubahan dalam MIC dan juga kekalahan Umno yang dilihat cuba mempengaruhi pemilihan dalam parti itu.

Pada hari pemilihan parti itu diadakan, Utusan Malaysia yang disifatkan sebagai akhbar Umno menyiarkan laporan muka depan yang bertajuk "Samy perlu berundur".

Akhbar itu menyifatkan tindakan berterusan Samy Vellu mahu mengekalkan penguasaan di dalam MIC bukan sahaja boleh menjadi liabiliti kepada parti itu tetapi turut menjejaskan kredibiliti BN.

30 Ogos lalu, Utusan menyiarkan artikel bertajuk "Sampai bila Samy..."

Samy Vellu, yang sebelum itu menyifatkan Utusan sebagai akhbar perkauman dan berlagak "big brother," menjawab balik apabila menyatakan orang-orang India meluat kepada BN.

"Ketika masa saya (menteri dan ahli parlimen), mereka kata rakyat meluat dengan saya (dan) itulah sebabnya masyarakat India tidak mengundi BN.

"Mereka bukan meluat dengan saya. Mereka meluat dengan BN" kata beliau.

Sebelum itu, Samy Vellu bertikam lidah dengan dengan bekas bossnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan beliau menyokong Subramaniam.

"Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir suka juga mencampur tangan dalam hal-ehwal MIC," katanya.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, beliau menuduh Dr Mahathir sebagai pakar "memusnahkan timbalannya".

"Apa yang berlaku kepada (Tun) Musa Hitam, apa yang berlaku kepada (Tun) Ghafar Baba dan apa yang terjadi kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim... orang yang amat dipujinya?"

Ketika diwawancara akhbar Tamil, Makkal Osai sebelum itu, Dr Mahathir berkata, masyarakat India mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum lalu kerana marahkan Samy Vellu.

"Jika masyarakat India mahu kemajuan dan melangkah ke hadapan, mereka mesti singkirkan Samy Vellu," katanya.

Pandangan bekas Perdana Menteri itu turut dikecam oleh perwakilan perhimpunan agung MIC itu hari ini.

"Tak perlu nasihat" kata seorang seorang perwakilan dari Negeri Sembilan dan seorang lagi berkata: "Tolong jaga urusan sendiri. Kami tahu apa yang kami lakukan".

Walaupun diasak bertubi-tubi dari pelbagai penjuru, calon-calon yang disokong Samy Vellu menyapu bersih semua jawatan tertinggi yang ditandingi pada pemilihan parti itu semalam.

Selain Palanivel yang mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden, tiga calon Naib Presiden yang disokong Presiden MIC itu menang besar.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan muncul sebagai pemenang dalam perebutan sebagai Naib presiden.

Subramaniam memperolehi undi tertinggi iaitu 1,260, Devamany (1,122) manakala Saravanan (1,030) berbanding lima lagi calon yang bertanding jawatan Naib Presiden iaitu P. Subramaniam memperolehi 220 undi, Datuk V.K.K. Teagarajan (215), Datuk S. Balakrishnan (271), dan Ketua MIC Bahagian Jelebu, P. Mariayee (61).

Palanivel bagaimanapun tidak disifatkan menang bergaya apabila hanya memperolehi 629 undi berbanding Subramaniam (547) dan Sothinathan (280).

Ketika ditanya mengenai kekalahannya dalam percubaan untuk merebut kembali jawatan timbalan presiden MIC, Subramaniam mendakwa politik wang sebagai penyebab utama kekalahannya.

Beliau berkata wang diedarkan secara terbuka kepada perwakilan, minimum RM300 kepada setiap wakil._mna_harakahdaily

Zamri lawan Nizar:Selepas MCA perpecahan kini melanda MIC

MIC tetap akan mengambil tindakan disiplin - kemungkinan dipecat dari parti - ke atas bekas Timbalan Presiden Datuk S. Subramaniam yang tewas pemilihan jawatan itu buat kali kedua semalam.Selain itu, beliau juga bakal berhadapan dengan tindakan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin kerana membawa kumpulan penyokong - dianggarkan 500 orang - yang disifatkan sebagai “samseng” oleh Samy bagi mencetuskan kekecohan ketika pemilihan semalam.

Bagaimanapun sebagaimana telah diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada Selasa lalu, Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin untuk menentukan bentuk tindakan ke atas Subramaniam.

Mengulas lanjut, Samy Vellu berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat dan bukti berhubung insiden membawa kumpulan samseng oleh Subramaniam pagi semalam.

Kata beliau, mereka merupakan anggota kumpulan yang sengaja mahu menimbulkan keadaan tidak senang semasa perhimpunan agung dan pemilihan, semalam.

“Kumpulan ini dianggarkan terdapat kira-kira 500 orang dan cuba mewujudkan kekecohan. Pihak kami sedang mengumpulkan maklumat dan bukti berhubung perkara ini.

“Saya tahu siapakah kumpulan ini dan pihak berkuasa juga tahu siapakah mereka ini. Tindakan disiplin akan tetap diambil ke atas Subramaniam disebabkan perkara ini.

“Saya tidak pernah menyaksikan insiden seperti ini…saya melihatnya sebagai satu percubaan untuk menakutkan perwakilan,” katanya.

300K Akan Ikut Subra

Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam memerlukan platform politik baru untuk menyatupadukan masyarakat India termasuk bekas ahli MIC ekoran kekalahan kedua berturut-turut dalam pemilihan parti semalam.

Penyokongnya juga mendakwa kira-kira 300,000 ahli MIC akan keluar jika Subramaniam memutuskan untuk meninggalkan parti itu.

Sehubungan itu penyokong-penyokong Subramaniam menanti tindakan susulan beliau ekoran kekalahan semalam.

“Subramaniam harus mengambil platform lain… beliau harus memutuskan platform lain untuk menyatupadukan mereka (masyarakat India).

“Untuk menyatupadukan komuniti India, beliau memerlukan satu platform,” kata salah seorang penyokong kuat Subramaniam, K.P. Samy yang memenangi kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pemilihan semalam.

K.P. Samy mengatakan demikian ketika ditemui pada hari kedua Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di sini hari ini.

K.P. Samy menambah, sebelum ini beliau dan Subramaniam ada mengadakan pertemuan bersama dua pemimpin Hindraf dalam usah menarik mereka menyertai MIC.Bagaimanapun, mereka menyatakan pertimbangan akan dilakukan selepas melihat keputusan pemilihan MIC,” katanya.

K.P. Samy berkata, selepas melihat kepada keputusan pemilihan MIC itu, beliau tidak pasti sama ada usaha atau perbincangan bersama kumpulan terbabit akan berjaya atau tidak.

“Saya akan terus bekerja untuk menyatupadukan masyarakat India.

“Kini saya tidak tahu apakah keputusan Subramaniam yang seterusnya. Kita tunggu dan lihat,” katanya.Detikdaily