Jumaat, 28 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar:Isu Kartika-Pandangan Dr Asri


Saya hanya sempat mengikut dari jauh isu dan secebis 'hukuman sebat ke atas peminum arak' di Pahang.

Banyak juga email mengenainya meminta saya mengulas isu tersebut, termasuk email seorang tokoh politik dan ahli Parlimen ternama.

Banyaknya urusan menjadikan saya 'ketinggalan bas' kebelakangan ini. Rasanya, sikap rela model berkenaan patut dipuji.

Ya, arak itu haram di sisi Islam, tiada siapa pun yang beriman berbeza pendapat mengenainya. Namun apabila hukuman ke atas pesalah itu dilaksanakan, ia membabitkan dua aspek utama; pertama, hukuman yang dikenakan, kedua, individu yang dihukum.

Para sarjana hukum, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali.

Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan �Abd Rahman bin al-'Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali (lihat: Riwayat Muslim).

Tindakan Khalifah Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment)? Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatahlagi, Nabi s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintahan berdasarkan kepada keperluan (takzir).

ImageLebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan. Pun memang hukuman sebat dalam Islam bukan seperti sebat yang ngeri di penjara sivil yang biasa kita dengar dan lihat. Sebatan Islam sama sekali bukan untuk mencederakan, sekadar mengingat dan mengajar.

Lebih daripada itu, Islam tidak benarkan kita mengutuk pesalah yang dihukum. Dalam riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: "Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya. Apabila selesai, seseorang berkata: "Allah telah menghinanya". Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: "Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu". Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi.

Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan. Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan. Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.

Hudud

Ramai yang bercakap tentang hudud. Namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini. Sama ada hanya terikut-ikut dengan media, atau terikut-ikut teks kitab-kitab lama.

Ramai yang tidak menyemak tentang maksud, kaedah, keadaan, suasana dan keluasannya. Seseorang muslim yang faham tidak mungkin menentang hudud, tetapi mungkin bertanya adakah suasana yang menyebabkan perlaksanaan hudud yang adil dan berkesan wujud pada sesuatu tempat dan masa untuk menjadikan ia mencapai tujuannya?

Apabila syarat dan suasana itu wujud, maka hudud dilaksanakan. Ketika itu akan dapat dilihat keadilan, keindahan dan kesan hukuman tersebut yang bertujuan untuk kebaikan manusia. Untuk melihat hudud secara lebih luas dan tidak fanatik mazhab atau pandangan tertentu, karya Mohamed S. El-Awa, Punishment In Islamic Law antara yang baik untuk dibaca di zaman kini.

Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda:

"Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan" (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi).

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

"Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza�i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh�".

Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapohan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati.

Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang conducive itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.

Suasana

Ada beberapa email yang menarik perhatian saya mengenai hukuman arak di Pahang itu. Ada yang menyatakan kepada saya, mengapakah peminum arak sahaja dihukum, sedangkan taukeh-taukeh arak yang beragama Islam dibiarkan? Sedangkan mereka ini ada memakai gelaran yang hebat-hebat dan �disembah hormat� oleh rakyat.

Ada pula berkata: �Mengapa kes model itu begitu cepat diproses, sedangkan saya yang menderita kes rumah tangga saya sudah bertahun lamanya, mahkamah syariah belum putus apa-apa?�. Berbagai lagi sungutan yang lain.

Memang itu semua bukan justifikasi untuk peminum arak dibiarkan, tetapi hukuman apabila tidak kelihatan adil atau seragam, manusia akan membuat berbagai alasan dan akhirnya tujuan dan keindahan hukum itu hilang. Para ulama dan pejuang Islam mempunyai tugasan yang berat untuk memboleh Islam dalam bentuk dakwah dan pendidikan itu menjelma dalam bentuk hukuman dan perlaksanaan yang adil dan saksama.

Maka tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina.

Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan. Apatahlagi hukuman murtad itu sendiri mempunyai berbagai penafsiran.

Perjuangan penting para pendakwah Islam masakini adalah memberikan pendidikan dan kefahaman yang jitu mengenai Islam. Generasi kini terdedah kepada berbagai perkara. Sudah banyak email saya terima daripada anak-anak muda melayu yang bukan sahaja tidak percayakan Islam, bahkan meragui kewujudan Tuhan.

Inilah epidemic yang sedang meningkat dalam dunia ini iaitu atheism yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, atau seperti pelakon Brad Pitt yang tidak dapat membuat keputusan Tuhan wujud atau tidak yang disebut sebagai agnosticism. Mereka ini sedang memenuhi Dunia Barat hari ini dengan peningkatan yang menakjubkan.

Laman-laman web mereka mengganggu minda sebahagian orang Islam yang tidak terdedah kepada Islam yang berteraskan hujah dan fakta. Hanya sekadar pernah mendengar ceramah kartun dan lawak oleh sesetengah penceramah. Ceramah atau pengajaran agama yang tidak memenuhi piawaian cabaran zaman kini akan gagal menyelamatkan generasi kita.

Ya, kita mahu Islam, kita mahu suasana Islam dan kita mahu hukum berteraskan Islam. Namun itu semua tidak boleh dicapai dengan mudah, memerlukan pengembelingan tenaga yang serasi dengan suasana kita.

Pemerintah dan rakyat hendaklah ada kesungguhan. Islam yang hendak ditonjolkan hendaklah membawa kepada sangkaan baik manusia terhadap Allah dan RasulNya, bukan mengelirukan mereka. Bak kata Nabi s.a.w: "Jangan bantu syaitan rosakkan saudaramu"._harakahdaily

Zamri lawan Nizar:Tazkirah Tok Guru di Manis FM


KOTA BHARU, 28 Ogos: Kerajaan negeri Kelantan dengan jalinan kerjasama sebuah stesen radio swasta, Manis FM telah mengadakan program tazkirah yang disiarkan melalui setesen radio tersebut bermula awal Ramadhan lalu hingga ke hujung bulan puasa ini.

Ianya sebgai usaha kerajaan negeri menyebar luaskan dakwah kepada masyarakat khasnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dapat mengikuti siaran itu.

Menurut Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan negeri Kelantan Abdul Rahman Yunus, tazkirah akan disampaikan oleh pimpinan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, Speaker Dun Ustaz Nasruddin Daud, Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan negeri dan juga Ketua Polis Negeri.

Siaran tazkirah tersebut dapat diikuti setiap hari sepanjang Ramadhan pada jam 7.30 pagi, 2.00 petang, 4.00 petang dan 7.05 petang pada frekuensi 90.6 MHz di Kelantan, 102.00 MHz di Terengganu dan 95.1 MHz di Pahang.

Abdul Rahman juga berkata sebelum ini siaran tazkirah tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya melibatkan Menteri Besar Kelantan sendiri apabila pihak Urusetia kerajaan negeri menerima panggilan talipon dari seluruh negeri.

"Saya berharap penduduk di negeri ini mengambil kesempatan untuk mendengar program tazkirah yang disampaikan oleh pimpinan kerajaan negeri sempena bulan Ramadhan ini," ujar beliau. Image

Dalam perkembangan lain, seramai 60 warga miskin Kota Bharu telah dipilih oleh Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kota Darulnaim untuk menerima sumbangan RM100 setiap orang bagi meringankan beban sempena bulan Ramadhan.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa masjid tersebut Ir.Mohd Ariff Fahmi Abdul Rahman ketika ditemui di majlis Perasmian Sambutan Ihya Ramadhan peringkat Kompleks Kerajaan negeri Kelantan berkata, seperti di tahun-tahun lepas, masjid yang terletak dipinggir pagar komplek kerajaan negeri tersebut akan menyediakan program tazkirah pada setiap hari bermula jam 12 tengahari dan berharap kakitangan kerajaan dapat mengambil menafaat tersebut.

Perasmian Ihya Ramadhan tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat,turut hadir,Setiausaha Kerajaan Negeri,Dato'Aiseri Ilias,Pegawai Kewangan Negeri Mohd Faudzi Mat Jusoh, Exco negeri,Wakil-Wakil Rakyat, Ketua jabatan dan kakitangan kerajaan negeri dan swata.

Dato'Aiseri Ilias ketika berucap berkata kakitangan kerajaan dari peringkat tinggi hingga bawah seharusnya memainkan peranan penting dalam masyarakat setempat iaitu seperti melibatkan diri dengan aktiviti masjid maupun masyarakat tempatan.

"Saya yakin kakitangan kerajaan negeri Kelantan dapat melakukan aktiviti harian yang baik kerana mereka ini juga sedikit sebanyak mempunyai pengaruh dalam masyarakat," katanya. Image

Sementara itu Tuan Guru semasa menyampaikan tazkirah pertamanya berharap pada tahun ini rakyat negeri ini dapat menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan meraikan Al-Quran kerana Al-Quran telah diturunkan pada bulan yang mulia ini.

"Kita sering menyambut puja umur (hari lahir) manusia seperti isteri,anak-anak kita, Pemimpin Negara kita juga sambut hari kelahiran Nabi Muhammad saw, oleh itu bulan Ramadhan ini kita pakat-pakat (ramai-ramai)sambut kedatangan Al-Quran iaitu dengan membacanya seberapa banyak yang boleh,bertaddarus maupun mentafsirkannya," kata beliau.

Beliau juga berharap perubahan perlu diadakan di setiap masjid negeri ini iaitu dengan menyediakan imam-imam atau penceramah agama dari pelbagai kaum seperti kaum Tionghua dan India.

"Kalaulah kaum ini juga diterima sebagai penceramah di masjid-masjid,nescaya kita akan lebih memahami masalah kaum mereka dan ini dapat merapatkan lagi hubungan sesama kaum di negeri ini," katanya lagi.

Nik Aziz juga berkata tanggapan orang ramai yang mengatakan bulan Ramadhan hanya untuk berpuasa sahaja perlu dikikis kerana Ramadhan meliputi pelbagai program yang sudah diatur oleh Allah swt seperti setiap amalan dilipat gandakan ganjarannya, perbanyakkan sedekah,melakukan amalan solat sunat,membaca Al-Quran dan pelbagai lagi perkara yang berfaedah.

Bagi memperkemaskan lagi institusi masjid, beliau berkata jawatankuasa Masjid perlu menjemput rakan-rakan dari kaum lain yang belum Islam seperti di majlis sambutan Maulidurrasul,Israk Mikraj,Sambutan Awal Muharram yang sering diadakan di masjid. Image

"Mereka ini memerlukan pendedahan yang sebenarnya terhadap kemurnian agama Islam yang tidak mengamalkan sebarang keganasan, bila mereka ada bersama,mereka akan dapat melihat dengan jelas keadaan yang sebenar berlaku di masjid,Masjid bukan hanya tempat bersembahyang semata-mata,"katanya lagi.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 300 orang termasuk dari masyarakat India dan Tioghua._mna _harakahdaily

Zamri lawan Nizar:Piagam Pakatan Rakyat




Pakatan Rakyat sedang merangka sebuah piagam yang akan menjadi asas kepada dasar dan keputusan gagasan itu, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Zaid Ibrahim.

Piagam berkenaan akan siap digubal dalam kira-kira dua bulan dan akan diperinci pada konvensyen kebangsaan pertama Pakatan Rakyat (PR) yang dijadualkan berlangsung pada Oktober atau November depan, kata beliau.

“Piagam ini akan menzahirkan asas-asas perjuangan yang di dokong oleh PR dan menjadi asas kepada segala dasar dan keputusan yang dibuat,” kata Zaid.thinking of life

“Kita sudah mula untuk menggubal piagam ini dan pucuk pimpinan telah memberikan dua bulan untuk menghasilkannya,’ tambah beliau.

Zaid berkata sebuah piagam yang didokong bersama oleh KEADILAN, PAS dan DAP akan memantapkan lagi Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik disamping memberikan rakyat maklumat jelas mengenai perjuangan dan nilai-nilai gagasan itu.

“Hakikat ialah PR dapat menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan cepat dan berkesan. Ia telah dilakukan di Kedah, di Selangor, di Pulau Pinang kerana ada kesepakatan antara pemimpin untuk berbincang secara terbuka dan ikhlas,” tambah beliau.

Bekas Menteri Undang-Undang itu tidak menafikan PR masih terdedah kepada masalah tertentu tetapi berkata ia tidak serius dan adalah perkara biasa kerana gagasan itu baru ditubuhkan tahun lalu.

“Parti-parti seperti KEADILAN dan DAP tidak mempunyai pengalaman memerintah sebelum ini, tetapi dalam sedikit masa, mereka telah menunjukkan potensi yang amat baik dan kita harus bina atas prestasi ini supaya parti kita, PR lebih mantap dan kukuh,” kata Zaid.

Zaid menegaskan bahawa gagasan itu sudah pun menempelak segala ramalan media arus perdana dan Umno-BN bahawa kononnya PR tidak dapat bertahan dan akan berpecah belah.

Menurut beliau, hakikat ialah “Umno-BN yang semakin tidak stabil dan menunjukkan tanpa-tanda akan retak dari dalam. Kita tahu masalah-masalah dalam Umno, krisis kepimpinan MCA dan MIC serta parti Gerakan yang tidak mempunyai sebarang gerakan,” kata Zaid lagi.

“Saya bercakap ini bukan kerana “over-confident" atau terlalu yakin tetapi hakikat ialah BN mempunyai terlampau banyak masalah dan telah hilang iltizam untuk berbakti kepada rakyat.

BN hari ini jauh berbeza dengan parti Perikatan yang kita kenali..tidak lagi wujud kesanggupan untuk duduk berbincang dan menyelesaikan masalah rakyat. Umno telah menjadi sebuah parti elitist yang mementingkan kuasa sahaja,” kata Zaid.

Zaid berkata Umno akan terus meremehkan KEADILAN dan Pakatan Rakyat kerana itulah cara dan tradisi mereka akibat terlampau angkuh setelah memegang kuasa begitu lama.thinking of life

Zamri lawan Nizar:PR tidak pelawa Soi Lek sertai mereka



KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak memikirkan langsung soal pergolakan: politik dalaman yang melanda MCA, terutama Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dipecat daripada parti, semalam.

:Naib Presiden PKR, R Sivarasa berkata, tidak timbul isu PKR akan menjemput Soi Lek menyertai PKR selepas disingkirkan daripada parti kerana menjejaskan imej parti berhubung skandal seksnya pada 2007.

Ditanya adakah PKR akan menerima Soi Lek sama seperti PKR menerima Datuk Dr Chua Jui Meng ke dalam parti itu, Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang berkata, kes tersebut tidak sama.

Menurutnya, Jui Meng sendiri menghantar surat permohonan untuk menyertai PKR dan selepas ia dipertimbangkan Majlis Tertinggi parti, barulah permohonan bekas Naib Presiden MCA itu diterima.

“Tiada perkara berbangkit dalam hal ini. Itu masalah dalaman mereka dan kami tidak mahu campur urusan mereka. Lagipun dia (Soi Lek) masih lagi dalam MCA.

“Apa yang boleh saya katakan, PKR tidak ada apa-apa perancangan pun buat masa sekarang untuk hal ini. Buat masa ini, kita tidak berminat untuk berbincang masa depan beliau.

“Berhubung hal ini lagi, PKR tidak akan membuat sebarang keputusan yang terburu-buru. Ia bukan perkara utama yang perlu difikirkan oleh parti. Namun, PKR tetap akan menunggu keputusan yang sesuai berhubung hal ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw ketika dihubungi turut berkata, ketika ini tidak timbul bekas Menteri Kesihatan itu akan dijemput menyertai Pakatan Rakyat (PR) selepas dia dipecat Majlis Presiden MCA berikutan skandal cakera padat digital (VCD) seks yang dianggap mencemarkan parti itu.

“Buat apa kita susah-susah menyibuk hal mereka, nanti kita juga akan dapat susah. Buat masa ini, Tuhan tidak izinkan kita masuk campur dalam rumah tangga orang. Negara kita ada undang-undang dan peraturan.

“Biarlah mereka selesaikan masalah mereka dan kita tunggu apa yang akan berlaku pada masa terdekat nanti,” katanya. sinarharian

Zamri lawan Nizar:Di Kelantan ibadah satu pesta


Oleh DINSMAN

Ramadan sebagai 'pesta ibadah'? Memang mengejutkan. Pertama kali mendengarnya disebut oleh seorang kawan di Kota Bharu, memang saya pun terkejut dengan istilah 'pesta' itu. Kami berbincang mengenai 'Ihya' Ramadan'. Bukan mengenai maksudnya tetapi mengenai program-program yang dibuat oleh kerajaan negeri di Kelantan, bagi menghidupkan bulan yang mulia dengan janji seribu rahmat dari Allah itu.

Dalam perbincangan itulah kawan saya menyebut bahawa Ramadhan di Kelantan, dengan pelbagai program Ihya' Ramadannya, menjadi umpama suatu 'pesta ibadah'.Pesta ibadah? Ibadah pun boleh jadi pesta? "Umpama," katanya.
Kenapa umpama pesta? "Kerana meriahnya," jawabnya pula.
Meriah? Macam manalah meriahnya tu? Kalau suasana membeli-belah di bazar-bazar Ramadan untuk berbuka puasa, itu memanglah meriah. Tetapi itu bukannya pesta ibadah. Itu 'pesta makan'. Sesuatu yang tidak seharusnya menjadi kebanggaan kita untuk bulan Ramadan. Jadi, apakah yang dimaksudkan 'meriahnya ibadah' di bulan Ramadan itu?

"Pertama," kata kawan saya itu, "masjid-masjid dan surau-surau menjadi pusat tumpuan orang ramai. Baik di bandar mahupun di kampung. Selepas berbuka dan sebelum azan isya' berkumandang, mata kita akan sejuk melihat manusia lelaki perempuan, orang tua dan juga kanak-kanak, berduyun-duyun menuju ke masjid dan surau. Ada yang berjalan kaki, ada yang berbasikal, bermotosikal, dan ada yang berkereta. Suasananya memang menyentuh sanubari."

"Dan suasana yang hampir sama begitu," katanya lagi, "boleh kita lihat dan rasai juga pada waktu malam menjelang subuh. Di banyak tempat. Terutama selepas pertengahan Ramadan. Mereka berkumpul di masjid untuk qiyamullail dan solat subuh. Sungguh syahdu."

Ya, betul, saya pun pernah menunaikan solat subuh di beberapa masjid di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tanah Merah dalam bulan Ramadan tahun-tahun yang lalu, memang kehadiran jemaahnya luar biasa ramai. Hampir seperti solat Jumaat.

Hari ketiga Ramadan tahun ini saya dan Qosim berjemaah subuh di Masjid Muhammadi (KB). Waktu kami tiba, masjid masih kosong. Tetapi ketika bangun untuk solat fardu subuh dan menoleh melihat ke belakang, Qosim terkejut kerana orang sudah penuh hingga ke saf belakang.

Selesai solat dia masih kehairanan memikirkan bagaimana hal itu boleh terjadi di Kelantan. Maka saya pun berkata: "Inilah hasil kegigihan dan kesungguhan Tok Guru mendidik dan mentarbiyah rakyat. Dia tak serupa dengan Perdana Menteri atau Menteri Besar lain.

"Orang lain mengutamakan urusan ekonomi dan pembangunan material, Tok Guru Nik Aziz lebih mengutamakan tugas dan tanggungjawab membetulkan akidah dan pemikiran manusia, terutama rakyat negerinya."

Berbalik kepada cerita 'pesta ibadah' kawan saya tadi. "Di Kelantan," katanya, "bila menyambut Ramadan, semua orang akan sentiasa berlumba-lumba untuk membuat ibadah. Semua orang akan berlumba-lumba bersedekah, berlumba-lumba nak menyumbang untuk juadah berbuka puasa, berlumba-lumba menjamu anak yatim, berzakat dan sebagainya."

"Di tempat lain," jelasnya lagi, "orang mungkin berasa seronok tibanya Ramadan kerana ia menandakan tak lama lagi akan tiba pula hari raya.

Tetapi di Kelantan tak begitu. Di Kelantan orang berasa gembira dan tak sabar-sabar menyambut Ramadan kerana Ramadan membolehkan kita berasa seronok membuat ibadah, berasa teruja untuk buat kebaikan, berasa gembira bila dapat bersedekah, dan rasa tak sabar-sabar untuk ke masjid berjemaah, tak kira zuhur, asar, maghrib, isya' mahupun subuh."

Ini benar-benar satu dimensi baru dalam ibadah, kata Qosim. Ramadan bukan lagi bulan puasa seperti yang kita faham selama ini. Ramadan ialah bulan 'pesta ibadah'.

Seperkara lagi, yang turut memeriahkan Ihya' Ramadan di Kelantan ialah tadarus al-Quran. Bukan tadarus sekadar membaca al-Quran beramai-ramai, tetapi membaca al-Quran dan memahami makna dan maksudnya.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam pada setiap tahun menetapkan satu surah atau sejumlah ayat al-Quran pilihan, untuk dijadikan Ayat Tadarus rasmi bagi negeri Kelantan. Sebuah buku Tadarus yang mengandungi ayat Quran tersebut berserta tafsirnya, akan dicetak dalam jumlah yang banyak, untuk diberikan percuma kepada seluruh rakyat yang berkenaan.

Bayangkan setiap tahun kerajaan negeri mencetak sebanyak 50,000 naskah buku tersebut, yang tebalnya sekitar 40 halaman. Dan buku itu digunakan di seluruh ceruk negeri, di bandar dan di desa, oleh semua golongan masyarakat.

Mereka sedikit pun tidak menyebutnya sebagai kempen membaca. Tetapi sebenarnya itulah, mereka membuat kempen membaca yang cukup berkesan, tanpa perlu mengheboh-hebohkannya.

"Hasrat Tok Guru hendak melihat setiap rakyatnya menghidupkan Ramadan dalam erti yang sebenarnya. Dia hendak melihat rakyatnya sentiasa mengkaji ayat-ayat cinta daripada Tuhan Sekalian Alam, yang kadang-kadang kita alpa dan lalai.

"Biasanya ayat-ayat yang dipilih adalah berdasarkan suasana semasa, supaya rakyat terus kembali kepada Allah dalam apa jua keadaan." Demikian kawan saya di Kota Bharu itu menjelaskan.

-----Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 0136362408