Khamis, 27 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar:Kenyataan Pemimpin Umno yang menghina Islam

Dalam akhbar HARAKAH bertarikh 30 Syaaban – 2 Ramadhan 1430/21 – 23 Ogos 2009, saya tertarik dengan dua fakta yang ditulis oleh Mohamed Hanipa Maidin dalam artikel beliau bertajuk “Sejak bila Umno tidak hina Islam.” Ia berbunyi seperti berikut:


i) Ucapan Dato’ Rais Yatim di Hotel Equatorial, Bangi semasa merasmikan seminar Inter Faith Commission (IFC) antara lain menyatakan (dalam bahasa Inggeris) yang terjemahannya:


(Dalam masyarakat majmuk) tiada orang yang boleh mendakwa bahawa agamanya adalah agama terbaik dengan mengenepikan agama-agama lain kerana dengan mengatakan demikian akan memusnahkan prinsip persamaan (agama) dan prinsip kemanusiaan.


Ucapan Rais Yatim ini telah diterbitkan di dalam Infoline Majlis Peguam.


ii) Dato’ Nazri Aziz pernah secara terang-terang di satu forum anjuran Majlis Peguam berkata Umno terpaksa menggunakan Islam kerana jika parti itu tidak berbuat demikian ia akan hilang undi kepada PAS.


Buat Rais Yatim dan orang-orang yang berfikiran seperti beliau, saya ingin bertanyakan begini. Dimana nak diletakkan pengesahan Allah S.W.T tentang taraf ugama islam melalui Ayat yang bermaksud:


Sesungguhnya Deen (agama) yang diredhai Allah hanyalah Islam? Inna deen na in dallah hil Islam? (Sebahagian Ayat 19: Surah Ali’Imran).”


Inikah caranya seorang pemimpin Islam membuat kenyataan? Dengan kata-kata seperti ini, syahadah kita yang bermaksud “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” akan menjadi satu lafaz kosong. Ia bo;eh menukarkan “Asyhadu” ; langsung tidak berfungsi. Sepatutnya secara pengertiannya yang bergerak, dia(Asyhadu itu) memberi erti bahawa kita yakin sampai sanggup menjadi saksi. Perihal seriusnya kalimat syahadah ini sampai ia tidak boleh diwakili kepada orang lain untuk dilafaz.


Ucapan dan pegangan pemimpin Umno yang sebeginilah sebenarnya yang perlu direnung oleh seluruh umat Islam. Inilah salah satu puncanya sehingga saya berani membuat penegasan bahawa Umno ini membawa Islam dari benih kacukan. Islam dari jenis palsu dan plastik. Memang tepat sungguh sikap PAS yang telah menolak sebulat suara teori Kerajaan Perpaduan.


Jika samalah kedudukan rakyat yang ada agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha maka apa pula halnya dengan mereka yang berfaham Atheis yang langsung tak beragama? Apa pula kedudukan golongan komunis yang menolak agama dalam kerangka pemikiran Rais? Sama? Tak serupa? Atau serupa tapi tak sama? Yang peliknya, dalam hal semangat Melayu, pemimpin Umno bermati-matian pula mempertahankan ketuanan Melayu. Apakah Rais bermaksud, faham kebangsaan Melayu itu berada di atas dari segala-galanya termasuk Islam itu sendiri? Malu sangatkah untuk iktiraf ketuanan Islam? Tidakkah Islam itu tempatnya di atas dan tiada yang mengatasi ?


Sedarkah kita bahawa jika dilayan logik pemikiran pemimpin bertaraf Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini, maka bila semua agama ini serupa tidakkah Hukum Murtad sudah tidak lagi diperlukan? Kubur muslim dan Non- muslim pun sudah menjadi tidak perlu kerana semua orang boleh ditanam bersekali? Mayat muslim pun apakah halal dibakar?


Sedarkah kita bahawa pemikiran jenis ini boleh membawa kita kepada fenomena perkahwinan campur antara muslim/non-muslim yang berleluasa tanpa perlu menukar agama. Ini juga bermakna Mahkamah Syariah tidak diperlukan lagi. Tak timbullah isu sebat Kartika sama ada perlu dibedal atau tidak mengikut peraturan dan syariat Islam. Pendek kata, kenyataan ini sudah tidak syak lagi telah menimbulkan keresahan yang bukan sedikit kepada umat Islam.


Menyentuh tentang kenyataan Dato’ Nazri Aziz pula, yang secara terang-terangan berkata di dalam satu forum anjuran Majlis Peguam bahawa Umno terpaksa menggunakan Islam untuk meraih undi kerana bimbangkan kehilangan sokongan kepada PAS jika tidak berbuat demikian; maka jelas di sini bahawa Umno tidak menjadikan Islam ugama untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kenyataan ini mengesahkan bahawa Islam bukan menjadi landasan perjuangan Umno. Islam itu bukan “a complete way of life”. Sahlah dengan ini, Umno hanya menggunakan Islam untuk tujuan-tujuan upacara dan “ritual” semata-mata. Ugama Islam hanya sekadar untuk cari makan dengan mengekalkan kekuasaan? Jika timbul keperluan, Islam itu boleh diperalatkan. Yang penting ialah hegemoni dan kekuasaan politik.


Jika begitu apa pula fungsi tilawah, perarakan maulidurrasul atau sambutan maal hijrah di sisi Umno yang dianjurkan selama ini? Dalam hubungan ini, jangan salahkan rakyat jika mereka menuduh Umno sebagai parti yang hanya pentingkan kuasa. Segala komitmen terhadap projek-projek agama hanya bertujuan kosmetik, pameran atau bahan perhiasan semata-mata untuk tujuan-tujuan materialistik.


Sebenarnya, inilah yang mendorong saya untuk mengatakan bahawa Umno ini sebuah parti politik sekular yang oportunis. Ia gemar dan selalu menggunakan faham kebangsaan dan Islam bagi mengelirukan orang Melayu. Umno menggunakan kesempatan sistem sekular yang memisah agama dengan kehidupan dan kadang kala mencampur adukkan segala benda itu untuk hidup sepenuhnya dalam tubuh pergerakan Umno. Ini yang menjadikan perjuangan mereka berkecamuk, tidak berhaluan dan tidak berdasar. Dasar Umno ialah “tiada dasar”.


Inilah juga alasannya ; saya mengistilahkan Umno ini sebagai parti yang mengamalkan Islam dari baka kacukan. Inilah juga Islam palsu yang saya telah namakan kepada parti Melayu ini kira-kira dua minggu yang lalu. Saya kata Umno ini beramal atas Islam plastik, dia memfitnah saya pula yang kononnya saya mengatakan mereka mengamalkan Islam Palestin. Inilah susahnya bermain dengan parti yang tidak menjaga agama dan menjadikan dosa pahala sebagai dasar, agenda dan program perjuangan.


Pendek kata sebelum Umno menuduh saya sebagai orang yang kononnya sedangkan mengelirukan umat mengenai Islam maka melalui bukti-bukti ini rakyat sekalian boleh melihat siapa dan parti manakah sebenarnya yang sedang keliru dan tekun mengelirukan rakyat dalam segenap segi. Sambil-sambil beriktikaf di masjid dalam bulan yang semulia ini, eloklah juga kita semua membuat renungan bagaimanakah cara yang sebenar untuk menyelamatkan Islam dan umat Islam dari tipu daya rakan-rakan kita dari Umno ini ?


Sebagai penutup, izinkan saya berundur dengan menumpang doa Nabi Allah Ibrahim a.s. yang berbunyi, “ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim : Ayat 41).



NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 5 Ramadhan 1430 / 26 Ogos 2009.

www.blogtokguru.com

Zamri lawan Nizar:Kerajaan Kedah takkan tumbang

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Mudah sangat untuk menjelaskan mengapa Aun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh dan beberapa pengikutnya di Padang Serai keluar dari parti KeADILan, dua hari sebelum pembuangan undi pilihan raya kecil Permatang Pasir.
Cerita ahli parti pembangkang (pembangkang kepada BN di Pusat) keluar parti sewaktu pilihan raya bukan cerita baru. Ia sudah jadi agenda wajib setiap kali pilihan raya.

Golongan yang berakal waras tidak mudah untuk menerima hakikat bahawa orang politik, yang pada persepsi umum mempunyai daya juang yang tinggi, begitu senang menukar akidah perjuangan; jika tidak kerana suatu 'imbuhan' yang lebih besar sehingga menutup mata dan hati mereka.Ia disokong pula dengan kenyataan seorang bekas pemimpin bahagiannya yang tidak semena-mena mendedahkan bahawa, Dato' Seri Anwar yang mengarahkan Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan supaya mencetuskan kekecohan di hari penamaan calon.
Nampak sangat 'skrip dan plot' yang diatur oleh pihak tertentu di belakang pentas terhadap mereka yang merelakan diri melakukan apa saja demi untuk mencapai maksud tertentu. Perancang konspirasi dari BN mahu dapatkan keuntungan politik untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir, manakala bidak-bidak caturnya pula dapat habuan tertentu.


Apabila tiga Adun Pakatan Perak keluar parti dan umum jadi penyokong BN, mereka menegaskan bahawa, "Kami tidak dibeli." Saiful Bukhari yang buat sumpah kononnya dia diliwat dengan sukarela oleh Anwar juga berkata, dia tidak dibayar untuk buat pengakuan itu, walaupun mengaku bertemu Najib.

Bekas rakon kongsi calon BN Permatang Pasir, Rohaizat Othman, iaitu Yusri Isahak marah apabila dijadikan kambing hitam oleh pemimpin BN berhubung penyelewengan yang dilakukan oleh rakan kongsinya itu.

Dia mendedahkan habis-habisan penyelewengan Rohaizat. Tiba-tiba Yusri berubah angin mengatakan Rohaizat seorang yang baik dan kenyataan itu dibuat bukan kerana habuan atau ganjaran.

Perlukah dalam setiap drama politik seperti ini, rakyat perlu diberitahu bahawa, "Kami tidak dibeli" atau "tidak diberi ganjaran".

Pemimpin BN juga akan turut keluar kenyataan yang sama. Sambil berpura-pura 'terkejut beruk' mereka pun berkata, "Tindakan mereka adalah ikhlas, kami tidak campur tangan dalam keputusan mereka atau memberikan apa-apa ganjaran."

Sampai bila agaknya rakyat akan terus dihidangkan dengan agedan yang sama. Apakah mereka fikir bahawa rakyat satu Malaysia ini akan dungu sangat sangat untuk menelan setiap penipuan yang mereka aturkan, membeli sokongan palsu dengan ganjaran?

Isu ura-ura Radzhi akan keluar parti bukan perkara baru. Dalam ruangan ini, tahun lalu, saya telah membongkarkan pertemuan demi pertemuan telah dibuat antara beberapa tokoh BN Kedah dengan beliau (tanpa menyebut namanya) dalam usaha menubuhkan sebuah kerajaan katak.


Namun banyak kali menghadapi kegagalan kerana keengganan mendapatkan sejumlah lima kerusi Dun dari Pakatan. Ganjaran dilaporkan meningkat dari masa ke semasa. Mereka tidak boleh berbohong mengenai perkara ini kerana beberapa Adun yang tidak bersedia menjadi 'pelacur politik' itu sendiri yang mendedahkannya.

Apa yang berlaku di Kedah sama dengan modus operandi yang digunakan oleh BN di Perak. Dua Exco yang berjaya 'dibeli' itu adalah Adun bermasalah. Kaedah ini digunakan oleh mana-mana konspirator pun di dunia ini, iaitu mencari pemimpin bermasalah dan menjadikan 'masalah' itu sendiri sebagai produk peras ugut.

Masalah itu boleh dicipta oleh konspirator, seperti tindakan mereka mengumpan bekas aktivis KeADILan Perak dengan pelacur Cina.

Terdapat juga masalah individu pemimpin sama ada yang sudah berlaku mahupun sedang dihadapi. Semuanya boleh dijadikan alat pemeras ugut oleh konspirator politik, sehingga akhirnya pemimpin tersebut boleh dicucuk hidung.

Sementelahan lagi, mereka ditawarkan pula ganjaran yang dapat mengabui mata maka lagi mudahlah hasrat konspirator jahat itu tercapai.

Sebab itu adalah suatu langkah yang bijak apabila Anwar menasihatkan Adun Bukit Selambau V Arumugam meletakkan jawatan sebaik sahaja isu peribadi beliau disensasikan oleh media sehingga istana cuba dilibatkan.

Penguasa Umno dan juhalak-juhalaknya akan melakukan apa saja untuk berkuasa. Matlamat menghalalkan cara. Mereka tidak ada sifat belas kasihan sesama insan dalam mencaturkan konspirasi.

Walaupun tindakan Radzhi adalah suatu pengkhianatan terhadap mandat rakyat, tetapi sekurang-kurangnya sewaktu menulis ini saya ada rasa belas kasihan terhadap beliau lantas tidak membongkarkan satu persatu apakah sebenarnya isu-isu peribadi beliau yang menghilangkan 'kelayakannya' untuk berkhidmat sebagai Exco, atau Adun sekalipun.

Bagi kepimpinan kerajaan negeri Kedah, pengunduran Radzhi adalah melegakan. Ia tidak lagi menjadi duri dalam daging. Kerajaan tak tumbang kerana masih ada lagi majoriti tujuh kerusi. Kerusi PAS ada 16, empat KeADILan dan satu DAP. BN cuma ada 14.

BN Kedah yang agak lama menganggur (sebagai kerajaan) mungkin beriya-iya benar untuk melaksanakan visi menegakkan sebuah kerajaan katak seperti di Perak. Tapi BN Pusat nampaknya tak ghairah macam dulu.

Situasi di Perak banyak mengajar mereka. Majoriti masyarakat bukan Melayu tidak dapat menerima peralihan kuasa secara merasuah Adun. Sebab itu undi bukan Melayu meningkat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Negara juga terpaksa menghadapi kerenah yang banyak ekoran peralihan kuasa secara luar tabie. Najib terpaksa berfikir 16 kali sebelum mengulangi rampasan kuasa seperti di Perak di tempat lain.

Insya-Allah mandat kerajaan Pakatan di Kedah tidak tergugat sehingga sekurang-kurangnya pilihan raya umum ke 13 nanti.detikdaily

Zamri lawan Nizar:Sidang Dun Perak 2 Sept.


KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Dato' Seri Nizar Jamaluddin yakin Persidangan Dun Perak 2 September depan akan berjalan lancar sekaligus tidak akan mengulangi insiden 7 Mei lalu akibat tindakan BN yang melanggar lunas peraturan dan undang-undang sedia ada.


Sidang minggu depan itu, katanya amat penting kerana titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah belum dibahaskan lagi malah pada 7 Mei itu, tiada persidangan pun yang berlangsung memandangkan keceohan yang berlaku berikutan pelantikan Speaker 'haram' yang baru, yang tidak mengikut peraturan Dun.

Adun Pasir Panjang dan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata kepada Harakahdaily pagi ini bahawa sidang itu juga akan membentangkan usul pengantunggan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Speaker Hee Yit Foong oleh Jawantankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker V. Sivakumar.

Masing-masing dikehendaki membayar denda sejumlah RM500,000 dan RM250,000 setiap seoarang akibat tindakan mereka yang menghina DUN dan kuasa Speaker, katanya.

Bagaimanapun, berhubung status Speaker 'haram' Datuk M Ganesan yang dilantik 7 Mei lalu, Nizar menjelaskan, satu permohonan injuksi akan dibuat untuk menghalang dalam menjalankan tugas Speaker yang masih disandang oleh Sivakumar.

"Selama ini, Adun-adun Pakatan Rakyat Perak senantiasa mengikut peraturan dan yang memulakan kekacauan serta menggunakan pihak keselamatan untuk campur tangan serta mengheret keluar Speaker adalah pihak yang lagi satu.

"Mereka sebenarnya yang menghina Dewan dan Tuanku Sultan. Kita patuh pada peraturan...apabila Speker panggil, kita wajib hadir," katanya ketika dihubungi. Image

Nizar turut mengulas sidang Dun 'bawah pokok' 3 Mac lalu,(gambar) berpunca daripada perbuatan menghalang Speaker dan Adun-Adun memasuki bangunan Dewan Undangan Negeri Perak.

Semalam Sivakumar telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk dan ganti rugi contoh.

Writ saman itu yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh tengah hari semalam, mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri itu atau pekerja atau ejennya telah menghalang beliau dan anggota DUN daripada menghadiri dan memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lepas.

Pada 21 Ogos lalu, pihak Adun Pakatan Rakyat telah menghantar notis guaman dan memberi tempoh selama 48 jam kepada Abd. Rahman untuk memberi aku janji supaya tidak campur tangan pada persidangan Dewan 2 September ini.

Sebelum ini turut mengulas isu krisis yang berlaku di Perak ialah pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat sidang Dun 7 Mei itu sebagai tidak sah. Image

Aziz menjelaskan dari awal lagi sidang telah menyingkirkan kedudukan dan kuasa Speaker V. Sivakumar yang kemudian berlanjutan kepada bermacami arahan dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai bidang kuasa yang sah.

"Hari itu Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan.

"Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan," soal Aziz.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok Mac lalu ,sekali lagi polis memainkan peranan utama.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari dan pihak polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," katanya. _harakahdaily

Zamri lawan Nizar:Umno di tolak-Tok Guru


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan UMNO ditolak oleh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir adalah disebabkan oleh dasar yang dibuat oleh UMNO itu sendiri.

Nik Abdul Aziz berkata, dasar yang diperjuangkan UMNO selama ini tidak betul memandangkan UMNO menolak Islam dan mengambil kebangsaan.

“Penolakan yang begitu banyak terhadap UMNO ini satu daripada sebabnya adalah berpunca daripada dasar yang dibuat oleh UMNO itu sendiri. Tak betul dengan dasar UMNO iaitu tolak Islam ambil kebangsaan.

“Kelantan yang telah hampir 20 tahun menggunakan dasar Islam, alhamdulillah...ia mendapat penerimaan daripada semua pihak,” katanya ketika diminta mengulas kemenangan Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Pulau Pinang dua hari lepas.

Pada pilihan raya kecil itu calon Pas, Mohd Salleh Man memperoleh 9,618 manakala calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman mendapat 5,067.

Mengulas mengenai dakwaan yang kononnya BN gagal memberikan calon yang bersih dari segala aspek Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak mahu menyentuh soal peribadi calon sebaliknya menekankan kepada dasar yang diperjuangkan parti itu yang menjadi punca kekalahan.

“Dari segi lain saya tak peduli tetapi dari segi dasar memang tak bersih. Calon secara peribadi saya tak mahu sentuh yang itu,” katanya.

Sehubungan itu beliau dengan ikhlas meminta pemimpin dan ahli UMNO agar mengubah dasar yang diperjuangkan parti itu selama ini.

Beliau berkata, pemimpin UMNO perlu memikirkan kembali dasar perjuangan parti yang diperjuangkan selama ini.

“Saya meminta saudara-saudara kita di dalam UMNO supaya tolong fikir dan tolong ubah dasar UMNO daripada kebangsaan kepada Islam.

“Bulan Ramadan, bulan Quran buatlah dasar lain. Kedaulatan Allah ke atas manusia seakan terhakis apabila dasar yang diperjuangkan bukan dasar Islam. Allah pernah berdaulat tiba-tiba kita tidak mahu pakai al-Quran dan ambil dasar yang di bawah oleh orang Eropah,” katanya. sinarharian