Ahad, 23 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar:Anwar tidak terkejut tindakan Radzhi



PERMATANG PAUH - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas semalam sebenarnya mempunyai masalah disiplin.

Beliau berkata, Radzhi turut mempunyai masalah peribadi yang melibatkan masalah rumahtangga beliau dengan isteri keempat.

Menurutnya, Radzhi sememangnya cenderung untuk keluar parti dan beliau pernah berusaha membawa lima lagi ADUN PKR untuk melompat parti, namun tidak berjaya.

“ADUN Lunas ini ada masalah disiplin dan masalah kewangan iaitu tuntutan yang berlebihan, yang sebelum ini dinasihatkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak supaya terus dikawal.

“Ada juga hal peribadi, isteri keempat beliau telah menghubungi kita membantah beberapa isu yang membawa kes ini ke mahkamah, oleh itu pimpinan PR telah memberi amaran keras kepada beliau beberapa bulan lalu,”

Anwar berkata, disebabkan masalah disiplin dan masalah peribadi yang dihadapi oleh Radzhi, beliau telah diberi amaran dan seterusnya mengakibatkan penggantungan bahagian Padang Serai yang melibatkan kawasan beliau.

“Minggu lalu pihak kerajaan negeri kedah telah menggantung bahagian Padang Serai termasuk kawasan ADUN Lunas kerana kes-kes yang berkaitan,” katanya selepas menghadiri majlis berbuka di Surau Kampung Paya, semalam.

Hadir sama, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
sinarharian

Zamri lawan Nizar:Penyelewengan terbaru calon BN

PERMATANG PAUH - Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman kini berhadapan dengan satu lagi pendedahan salah laku firma guamannya melibatkan penduduk kawasan Permatang Pasir sendiri.

Perkara itu didedahkan Pas membabitkan isu jual beli tanah yang tidak diselesaikan beliau pada tahun 2000 dan melibatkan 16 anak guamannya yang masih belum mandapat tanah.

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar mendakwa, Rohaizat tidak menguruskan perjanjian jual beli tanah sehingga selsai dan sehingga kini geran tanah tersebut masih atas nama tuan tanah yang asal sedangkan wang telah dikeluarkan.

Menurutnya, beliau tidak mengatakan bahawa Rohaizat telah melakukan penipuan sebaliknya beliau meminta Rohaizat memperjelaskan situasi sebenar dan bagaimanakah status tanah yang dibeli oleh 16 anak guamannya.

“Pendedahan terbaru ini melibatkan perjanjian jual beli tanah yang tidak diselesaikan oleh Rohaizat sebagai peguam, walaupun setelah wang pendahuluan diberikan kepadanya .

“Saya tid:ak berkata Rohaizat menipu cuma saya mahu beliau bertanggungjawab dan memperjelaskan situasi yang sebenar bagaimanakah tanah tersebut tidak diberikan kepada pembeli,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Mahfuz juga turut menunjukkan surat pembeli yang bersetuju untuk membeli tanah lot 3, lot 662, Seberang Prai Tengah, dengan harga RM17,376 dan beliau turut merahsiakan nama pembeli tersebut atas dasar keselamatan.

Beliau berkata, surat yang ditandatangani oleh Rohaizat, turut tertera perjanjian pembayaran wang pendahuluan sebanyak 10 peratus kepada pemilik tanah yang diberikan kepada firma guaman Rohaizat.

“Sebanyak RM1,757 telah dikeluarkan sebagai wang pendahuluan oleh setiap seorang dari 16 pembeli dan diberikan kepada firma guaman Rohaizat untuk menguruskan perjanjian tersebut,” katanya.

Menurutnya, sehingga sekarang pembeli tanah masih lagi belum mendapatkan tanah mereka dan setelah dirujuk kepada pejabat tanah geran tanah tersebut masih diatas nama tuan tanah yang asal.sinarharian

Zamri lawan Nizar:Tok Guru saman tiga media utama



BUKIT MERTAJAM, 23 Ogos: Laporan serangan yang dikiraa fitnah tiga media pro Umno ke atas peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya berhenti, apabila Mursyidul Am PAS itu mengambil tindakan undang-undang ke atas ketiga-tiganya.

Penasihat Undang-Undang PAS Mohamed Hanipa Maidin pagi tadi menjelaskan Nik Aziz mahu ketiga-tiga media terbabit menarik semula kenyataan 'isu Surga dan Islam Palestin' serta memohon maaf secara terbuka dalam masa tujuh hari kepada anak guamannya itu; sekiranya tidak mahu saman itu diteruskan.

Masa yang diberikan adalah prosedur biasa dalam perundangan dan Hanipa menjelaskan bahawa tuntutan guamannya itu tidak terikat pada masa pilihanraya kecil Permatang Pasir; iaitu sehingga 25 Ogos depan.

Sambil menyifatkan laporan-laporan terbabit berniat jahat (mala fide), Hanipa menjelaskan bahawa ianya berbeza dengan pendedahan yang dilakukan PAS ke atas calon Umno Rohaizat Othman.

"Berbeza dengan pendedahan yang dibuat (ke atas) Rohaizat. Apabila kita mempertikaikan kredibiliti Rohaizat (calon Umno), kita (PAS) mempunyai bukti-bukti dan kita tidak bercakap tanpa bukti-bukti. Bukan kita bercakap dengan ambil kenyataan yang kita reka (manipulasi)."

"Mereka menyerang (peribadi) tanpa mengenal pasti apakah kenyataan sebenar Tuan Guru (Nik Aziz). Itu adalah (laporan) mala fide (berniat jahat) tiga media terbabit."

Tambahnya lagi, Nik Aziz sudah memohon injunksi supaya kenyataan-kenyataan yang memfitnah dirinya tidak lagi disiarkan media-media terbabit.

"Jadi, kita harap dengan pendedahan terbaru Tv3 tentang apakah rakaman sebenar yang dibuat Tok Guru (Nik Aziz), supaya menghentikan segala serangan peribadi ke atas Mursyidul Am PAS."

Hanipa turut menafikan bahawa anak guamannya berkata - ahli-ahli Umno tidak akan pergi syurga ataupun mengatakan Umno melaksanakan 'Islam Palestin'.

"Beliau (Nik Aziz) tahu apa yang beliau cakap. Beliau tidak akan menggunakan perkataan ahli-ahli Umno bila bercakap isu ini," katanya.

Ditanya adakah tindakan saman tersebut strategi PAS untuk menakut-nakutkan media atau lubuk mengumpul kekayaan, Hanipa mengatakan Nik Aziz bukanlah 'mata duitan'.

"Saya berasa dia (Nik Aziz) bukan begitu. Kita (saman) bukan untuk tujuan mencipta kekayaan semata-mata, tapi cukup (sekadar) membersihkan (fitnah) dirinya (Nik Aziz)."

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkifli Ahmad waktu mencelah, menjelaskan bahawa pihak media tidak perlu gusar kerana tindakan itu khusus untuk laporan yang tidak bertanggungjawab sahaja.

"Ini (saman) bukan untuk mengancam hak kewartawanan untuk melaporkan berita secara bebas dan adil. Yang mahu kita tangani sekarang adalah suatu 'kewartawanan jahat'."

"Ini pun kita (PAS) beri peluang untuk mereka (Utusan Malaysia, Berita Harian dan Tv3) memohon maaf. Jangan salah faham (kononnya) Pakatan (Rakyat) sudah anti media dan sebagainya," jelas Dr Dzul.

Bercakap dalam sidang media sebelumnya, Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar menyifatkan amalan fitnah dan pembohongan media-media terbabit sama seperti 'penagih yang kehabisan bekalan dadah untuk terus hidup'

"Ini sudah menjadi makanan harian. Ini adalah dadah yang menjadi ketagihan Umno. Kalau tidak mengfitnah, manipulasi dan berbohong; tidak boleh buat (hidup) seperti penagih yang kehabisan bekalan dadah."

"Apa yang berlaku ini membuktikan fitnah dan pembohongan adalah amalan Umno Barisan Nasional."

Semalam, Buletin TV3 mendedahkan rakaman sebenar kenyataan Nik Aziz.

"Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik (bukan Palastin). Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO.�

Sejak seminggu lalu, beberapa media arus perdana melaporkan Nik Aziz - "anggota Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin".

Bagaimapun, Nik Aziz sudah menafikan laporan-laporan itu 2 hari kemudiannya.

Tinjauan rambang yang dibuat mengatakan bahawa dua fitnah yang dikenakan ke atas peribadi Nik Aziz itu adalah suatu teknik pembinaan ikon kebencian (icon of hatred), setelah beberapa pihak terbabit gagal membunuh karektor calo PAS Ustaz Mohd Salleh Man yang dikenali bersih, bercakap benar, amanah, toleransi dan berpegangan agama.

Ada juga mengatakan apa yang berlaku itu, sekadar usaha menyamakan Salleh dan calon kontroversi Umno Rohaizat Othman. _harakahdaily

Zamri lawan Nizar:Adun Lunas keluar PKR

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas di Kedah, Mohammad Radzhi Salleh pagi tadi mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Keputusan diumumkan beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Perkembangan ini muncul menjadi krisis kedua dalam tempoh dua bulan membabitkan Pakatan Rakyat Kedah.

Radzhi yang juga Exco Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat Serta Sumber Tenaga Manusia Kedah bagaimanapun tidak meletakkan jawatan Exco itu dan menganggap dirinya masih Exco dari parti Bebas.

Beliau berkata, pelantikannya memegang portfolio itu dibuat oleh Sultan Kedah dan bukannya oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Bagaimanapun katanya, jika Sultan Kedah menitahkan beliau untuk melepaskan jawatan itu, beliau akan patuh untuk berbuat demikian.

Selain itu, pemangku Ketua Bahagian PKR Padang Serai, Jamaluddin Abu Hassan turut mengumumkan bahagian tersebut juga dibubarkan.

Radzhi memenangi kerusi itu dengan memperoleh 17,836 undi. Majoriti beliau ialah 10,323.

Radzhi menewaskan calon BN, Ananthan Somasundram.

PKR mempunyai enam kerusi DUN di Kedah termasuk kerusi Bukit Selambau yang dimenangi sendiri pada pilihan raya kecil April lalu.mstar

Zamri lawan Nizar:Pesanan Tok Guru kepada Pengundi Permatang Pasir

KEMPEN PAS di kawasan bazar Ramadan Kubang Semang, Permatang Pasir petang semalam.

SEBERANG PRAI: Sempena 1 Ramadan semalam - Barisan Nasional (BN) dan PAS mengeluarkan amanat merayu agar pengundi memberikan sokongan kepada parti masing-masing pada Selasa ini pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Calon BN, Rohaizat Othman berkata, "Saya selaku anak tempatan Permatang Pauh, dengan penuh rendah diri, merayu kepada pengundi dan penduduk Permatang Pasir agar memberikan sokongan kepada Barisan Nasional pada 25 Ogos ini."

"Saya bertekad menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada untuk mendahulukan rakyat Permatang Pasir dan mengutamakan pencapaian serta memberikan khidmat yang sebaik mungkin jika terpilih nanti," kata beliau dalam pesanan yang diedarkan kepada penduduk Permatang Pasir pagi ini.

Setiausaha Umno Permatang Pauh ini meminta pengundi kerusi DUN Permatang Pasir agar jangan melepaskan peluang "yang cuma sekali ini untuk menjadi anak emas kerajaan persekutuan."

"Marilah kita bersama-sama Barisan Nasional yang selama ini telah menjadi kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan prasarana asas, tadika, sekolah, balai raya, surau, masjid, kolej, maktab, pasar, agensi-agensi kerajaan, kilang yang memberikan pekerja dengan suasana aman serta harmoni dalam kepelbagaian agama dan bangsa di Permatang Pasir yang bertuah," katanya.

PESANAN TOK GURU

Dalam pada itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mahu pengundi Permatang Pasir mengekalkan kerusi yang dimenangi PAS ini dengan majoriti lebih besar.

"Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh Pakatan dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno-BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil.

"Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak institusi kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. "Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. Insya-Allah, ini akan berlaku tidak lama lagi," kata beliau dalam teks pesanan yang diperoleh petang tadi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, melihatkan trend sokongan bukan Islam kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah membawa kemenangan Datuk Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, "Saya cukup mempunyai keyakinan."

"Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 (Permatang Pasir) ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009.

"Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno-BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang," katanya.

Beliau juga meminta agar digunakan kesempatan pilihan raya kecil kali ini dengan penuh cermat.

"Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan itu pernah membawa kemenangan yang besar?

"Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekali gus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidakadilan," katanya lagi.mstar