Sabtu, 8 Ogos 2009

Zamri lawan Nizar:Fakta menarik PRK Permatang Pasir

Analisa Pilihanraya Permatang Pasir

Apabila Timbalan Presiden UMNO dan Ketua Penerangan UMNO dilaporkan berkata mereka mempunyai strategi untuk menang di dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan di Permatang Pasir, terpanggil saya untuk menyemak data-data pilihanraya Permatang Pasir.

Mana-mana Jeneral sekalipun tidak akan mendedahkan strateginya apalagi memaklumkan mereka mempunyai strategi melainkan hanya satu, mereka sebenar-benarnya tidak tahu apalagi yang mampu mereka lakukan dan hanya mampu bermain saraf sahaja.

Kebuntuan UMNO di Permatang Pasir tidak boleh dilindungi kerana data-data pilihanraya yang lalu amat jelas sekali.

DUN N11 Permatang Pasir berada di dalam Parlimen P044 Permatang Pauh merupakan kawasan tradisi Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum pilihanraya umum 1999, prestasi PAS di Permatang Pasir amat hambar sekali dan ia boleh dilihat dari data dibawah,

* PRU 1986 – PAS perolehi 3,030 undi dan tewas dengan majoriti 3,056 undi.
* PRU 1990 – PAS perolehi 3,066 undi dan tewas dengan majoriti 4,272 undi.
* PRU 1995 menyaksikan pertembungan 3 penjuru bila calon DAP ditumpaskan oleh calon BN dengan majoriti 6,198 undi dan calon PAS corot dengan sekadar meraih 1,577 undi.

Tetapi itu sejarah lama, kerana sejarah ditulis semula di Permatang Pasir bila anak emas Permatang Pauh, Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, disingkirkan dari UMNO dan dihumban ke dalam Penjara.

Semenjak itu, Permatang Pasir adalah mimpi ngeri UMNO Pulau Pinang.

Analisa Pilihanraya Permatang Pasir

UMNO mempunyai 25 cawangan di dalam DUN Permatang Pasir dengan keahlian berjumlah 5,544 orang.

Didalam pilihanraya umum 1999, calon Barisan Nasional, iaitu penyandang ADUN Permatang Pasir dari UMNO ketika itu tewas dengan hanya berjaya memungut 38.8% undi. Allahyarham Mohd. Hamdan dari PAS menang dengan majoriti 3,194 undi.

Sewaktu UMNO BN menumpaskan PAS dihampir kesemua kerusi di Pantai Barat di dalam pilihanraya umum 2004, Allahyarham Hamdan terus berjaya mempertahankan kerusi Permatang Pasir dengan majoriti 679 undi.

Malang bagi UMNO, prestasi mereka dalam tahun 2004 adalah yang terbaik pasca Anwar disingkirkan UMNO dan prestasi terbaik mereka itu belum cukup menumpaskan calon PAS di negeri tumpah darah Perdana Menteri Abdullah Badawi yang ketika itu dikemuncak ‘feel good’ nya.

Jika dilihat dari sudut peratusan pula, pilihanraya umum 2008 BN hanya perolehi 32.2% undi sahaja dan ini adalah prestasi terburuk keseluruhan bagi UMNO di Permatang Pasir.

Graf Perbandingan Undi

ANALISA 1999 PPASIR

ANALISA 2004 PPASIR

ANALISA 2008 PPASIR

Bagaimanapun, jika UMNO merasakan bahawa nasib mereka kini bertambah baik selepas meraikan kekalahan kecil di Manek Urai, UMNO juga perlu mengambil kira bahawa, kemungkinan apa yang berlaku dalam pilihanraya umum 2008 belum lagi yang terburuk.

Ini kerana ada beberapa faktor yang perlu UMNO dan BN fikirkan,

  • Dalam pilihanraya umum 2008, Anak Pulau Pinang adalah Perdana Menteri Malaysia tetapi hari ini, anak Pulau Pinang itu telah dipaksa mengosongkan jawatan itu lebih awal dari jadual yang lebih selesa bagi beliau.
  • Dalam pilihanraya 2008, Anwar Ibrahim belum dapat bertanding dan hari ini Anwar Ibrahim sudah berada ‘disitu’.
  • Dalam pilihanraya 2008, belum ada sebarang ikatan diantara PAS dan DAP tetapi selepas 8 Mac 2008, ternyata masyarakat cina amat-amat selesa dengan PAS.
  • Pentadbiran Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DAP tidak menimbulkan sebarang masalah kepada penduduk tempatan.
  • Formula yang dibawa oleh Pakatan Rakyat telah berjaya menyakinkan banyak pihak bahawa ianya satu formula yang boleh menggantikan BN.
  • Mengekalkan seorang ADUN Melayu sebagai Penyokong Kerajaan dalam keadaan sekarang lebih penting dari menambah ADUN Melayu didalam Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

BN tentu berusaha untuk membangkitkan isu ‘skandal’ ahli exco DAP di Selangor tetapi terlalu sukar bagi mereka yang berada diluar kepompong UMNO untuk mempercayainya berbanding dengan mempercayai bahawa ia suatu pengkhianatan oleh UMNO.

BN mungkin gembira untuk memainkan isu ketidak sefahaman pimpinan antara parti dalam Pakatan Rakyat, tetapi BN juga terbuka dengan begitu banyak masalah dalaman yang bersedia untuk dilaporkan oleh bekas-bekas pimpinan parti komponen BN yang kini bersama Pakatan Rakyat.

Isu lapuk seperti PAS sebagai boneka DAP mungkin hanya memualkan bagi penduduk Permatang Pasir apalagi bila isu sebegitu terbukti gagal memenangkan BN di Parlimen Bukit Gantang bahkan turut gagal di Manek Urai dimana hampir 99% pengundi dari keturunan Melayu.

Daerah Mengundi

Komposisi Umur

Komposisi Kaum

Melihat kepada kemelut yang bakal mendepani UMNO, tidak hairanlah siang-siang lagi UMNO sudah mengaku mempunyai strategi. Kalau berbekalkan strategi di Manek Urai tentu sekali UMNO akan kecundang lebih dahsyat lagi kali ini.

Di Manek Urai dalam pilihanraya umum 2008, PAS hanya menang dengan undi majoriti 1,352 atau 13.31%, namun UMNO gagal merampas Manek Urai didalam pilihanraya kecil yang baru lalu.

Di Permatang Pasir dalam 2008, UMNO kecundang dengan majoriti 32.3% atau lebih 5,000 undi, laratkan strategi di Manek Urai hendak digalas ke Permatang Pasir?

Tambahan pula, dikemuncak kejayaan BN dalam tahun 2004, UMNO berjaya merampas Manek Urai tetapi Permatang Pasir kekal bersama PAS.

Mungkin ada baiknya, BN tidak membazir duit kerajaan di Permatang Pasir dan ada baiknya, PAS mencalonkan Mat Sabu di Permatang Pasir. Ramai yang sudah mula rindukan Abang Mat.


Sumber : Kickdefella

Zamri lawan Nizar: Nordin M.Top di temui mati dalam bilik air

BEBERAPA anggota polis Indonesia membawa keranda seorang suspek pengganas yang terbunuh dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah tempat persembunyian anggota militan di Temanggung, Jawa Tengah, semalam. Suspek pengganas yang paling dikehendaki, Noordin Mohammad Top dilaporkan terbunuh dalam serbuan itu.--fotoAP




PASUKAN polis Indonesia berdiri di luar rumah tempat persembunyian suspek pengganas di Temanggung, Jawa Tengah. Dalam serbuan yang dilakukan ke atas rumah tersebut lewat malam tadi, polis berjaya menembak mati dua suspek pengganas, menahan lima lagi serta merampas bahan letupan dan sebuah bom kereta.--fotoAP
IMEJ rakaman televisyen tempatan, TV One menunjukkan, polis anti pengganas Indonesia berada dalam kedudukan masing-masing ketika serbuan ke atas rumah tempat persembunyian anggota militan.--fotoAP

BEJI: Stesen televisyen Indonesia melaporkan, ketua militan, Noordin Mohammad Top ditemui terbunuh di dalam bilik air selepas serbuan polis ke atas sebuah rumah di kawasan sawah padi di Temanggung, Jawa Tengah lewat malam tadi.

Polis menyerbu tempat persembunyian suspek militan itu selepas mengepung rumah tersebut selama 16 jam dan dilaporkan berjaya membunuh suspek pengganas yang paling dikehendaki di Asia Tenggara itu.

Laporan itu bagaimanapun tidak disahkan oleh polis. Ujian DNA akan dilakukan untuk memastikan identiti yang terbunuh.

Pengeboman ke atas dua hotel, JW Marriot dan Ritz-Carlton telah mengorbankan sembilan nyawa, kebanyakannya warga asing.

Noordin juga dipercayai memainkan peranan penting dalam empat kejadian pengeboman di Indonesia sejak 2002, termasuk serangan ke atas sebuah kelab malam di Bali yang mengorbankan 202 nyawa yang kebanyakannya warga asing.

Pembunuhan atau penangkapan Noordin merupakan kejayaan terbesar Indonesia dalam memerangi pejuang militan dan mungkin melemahkan peluang berlakunya lebih banyak serangan, memberikan perancangan utama, kewangan dan motivasi yang dipercayai dimainkan Noordin dalam rangkaian keganasan yang berlaku.

Jurucakap polis, Nanan Sukarna berkata, pihaknya percaya Noordin dan dua atau tiga lagi pengikutnya berada dalam rumah tersebut namun masih belum dapat mengesahkan nasib mereka.

Beberapa minit selepas serbuan itu, saksi-saksi kejadian berkata, anggota-anggota polis membuka topi keselamatan yang dipakai dan berjabat tangan sesama mereka, seperti menandakan semua yang berada dalam rumah itu terbunuh atau ditangkap selepas kejadian beberapa letupan dan tembak menembak dengan suspek.

Seorang pegawai polis berkata, satu mayat dijumpai di dalam bilik air rumah itu dan pihak berkuasa telah dengan membawa keranda.

Selepas kira-kira sejam, tiga ambulans meninggalkan rumah itu.AP

BERITA TERDAHULU

Suspek pakar bom Noordin diberkas

JAKARTA: Pakar bom paling dikehendaki Indonesia, Noordin Md. Top, yang turut dikaitkan dengan siri pengeboman di negara itu sejak 2002, telah diberkas lewat malam tadi.

Malah laporan tidak rasmi menyebut Noordin mungkin terbunuh dalam serbuan polis ke atas sebuah rumah di Temanggang, Jawa Tengah.

AP melaporkan, dalam kejadian itu, polis Indonesia telah membunuh dua suspek militan selain menahan lima lagi suspek serta merampas bahan letupan dan sebiji bom kereta.

Sepanjang malam tadi, media tempatan melaporkan, Noordin yang merupakan perancang dalam beberapa siri pengeboman di Indonesia bersembunyi di dalam rumah di mana bunyi tembakan dan letupan masih kedengaran selepas 10 jam polis mengepung kawasan rumah itu.

Dua stesen televisyen tempatan melaporkan, Noordin telah terbunuh dalam operasi itu namun perkara itu tidak dapat disahkan. Ujian DNA mungkin akan dilakukan untuk memastikan perkara itu.

Serbuan ke atas rumah itu dilakukan selepas polis mengepung rumah tersebut selama kira-kira 16 jam.

Sekurang-kurangnya lima letupan kuat menggegarkan kawasan rumah itu menjelang subuh.

Noordin, suspek yang amat dikehendaki sebelum ini turut mengaku bertanggungjawab ke atas kejadian letupan dua hotel milik warga Amerika Syarikat di sini bulan lalu. AP

mstarOnline

Zamri lawan Nizar:PRK Permatang Pasir,Pakatan umum calon minggu depan

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang dijangka mengumumkan calon mereka bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Khamis depan, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali pada hari Sabtu.

Katanya Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan nama calon berkenaan.

"Kami akan mengumumkannya secepat mungkin, berkemungkinan pada 13 Ogos selepas mesyuarat pemimpin pakatan pembangkang, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Tarikh penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu akan diputuskan Suruhanjaya Pilihan raya Isnin ini.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS, akibat sakit jantung minggu lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Mohd Hamdan yang menjadi wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal sejak 1999, memperoleh 11,004 undi menewaskan calon Barisan Nasional Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. BERNAMA

Zamri lawan Nizar:Isu arak,Kelantan sedia bantu Selangor




KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan sedia membantu Selangor jika kerajaan negeri itu berminat mempelajari kaedah pengurusan dan penjualan arak kepada penduduknya yang bukan beragama Islam.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sistem penjualan arak di negeri ini berkesan dan mampu memberikan keselesaan kepada pengguna dan peniaga bukan Islam mengikut kaedah yang dituntut Islam.

“Kalau Ronnie Liu (Exco Selangor) nak mari, sebagai tuan rumah kita kena sambut tetamu yang mahu datang atau berkunjung ke rumah kita untuk belajar cara-cara kita mengendalikan sistem penjualan dan pengurusan kedai minuman arak kepada bukan Islam negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan durian bersama masyarakat Cina di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Kelantan mula melaksanakan sistem pengurusan penjualan arak di negeri ini selepas Pas mula mengambil alih teraju pentadbiran negeri ini pada 1990.

“Kalau boleh saya tak mahu campur urusan negeri Selangor itu kerana saya sendiri tidak tahu secara jelas apa punca kejadian itu, selain dari surat khabar dan media,” katanya.

Sementara itu di SHAH ALAM, Ronnie menyambut baik pelawaan Nik Aziz menjemput beliau ke Kelantan untuk melihat bagaimana Kerajaan Kelantan melaksanakan penguatkuasaan mengenai minuman keras.

“Saya difahamkan, negeri-negeri di Pantai Timur tidak mengharamkan penjualan minuman keras dan tiada halangan untuk berbuat demikian, Cuma penjualannya perlu mempunyai lesen.

“Kaedah permohonan lesen adalah sama dengan negeri-negeri lain iaitu sebarang permohonan perlulah mendapat kelulusan daripada Pegawai Daerah masing-masing,” katanya, semalam.

Mengulas desakan Datuk Dr Hasan Mohammed Ali, Ronnie berkata: “Beliau seorang pemimpin yang baik, malah hubungan beliau dengan saya sama ada dari segi peribadi dan urusan kerja tidak mempunyai sebarang masalah, berbeza pendapat adalah biasa."sinarharian.

Zamri lawan Nizar: Lawak bodoh Menteri Wilayah



Oleh Kemat Baba

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin buat lawak lagi. Beberapa hari lalu beliau mendakwa para peniaga di Kuala Lumpur kerugian antara RM100 juta hingga RM200 juta angkara kekecohan yang berlaku pada Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu.

Bagaimanapun dalam kenyataannya kepada Malaysiakini 6 Ogos lalu, Nong Chik mendakwa kerugian yang ditaksirkan hanyalah RM20 juta sahaja.

Bagaimanapun beliau yang mahir mengajak wanita untuk mengikutnya ke tandas menambah beberapa impak negatif lain daripada kesan demonstrasi anti-ISA Sabtu lalu, iaitu kehilangan pendapatan akibat pelancong tidak datang dan pelabur asing enggan melabur.

"Hari ini saya sudah berjumpa dengan 20 persatuan peniaga yang menghantar memorandum dan tuntutan. Saya rasa, sudah hampir RM20 juta sudah yang saya dapat.

"Tetapi ramalan saya itu kerugian keseluruhannya (RM100 juta hingga RM200 juta), termasuk kehilangan pendapatan pada masa akan datang apabila pelancong tidak datang, khususnya di Kuala Lumpur.

"Pelabur asing pun enggan datang," katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Begitulah mudahnya ahli korporat Umno itu membuat congakan kerugian seperti mana mudahnya pemimpin-pemimpin Umno menghabiskan ratusan juta peruntukan pembangunan kerajaan bagi projek-projek membazir. Buktinya? Lihat sajalah apa yang dilakukan Dato' Idris Jusoh ketika menerajui kerajaan negeri Terengganu.

Memang menghairankan mengapakah ekonomi negara kita ini begitu sensitif pada pandangan peniaga, pelancong dan pelabur. Hanya dengan demonstrasi selama tiga jam negara sudah menerima kesan ekonomi yang teruk. Itu belum dikira kesan kejatuhan sistem kewangan ekonomi global!

Di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, demonstrasi kerap berlaku. Malah di Thailand demonstrasi berlangsung berminggu-minggu hingga berbulan-bulan. Di Indonesia, bukan sahaja demonstrasi malah letupan bom menggegarkan ibu kota Jakarta dan bandar pelancongan Bali.

Bagaimanapun tidak pula menteri di dua buah negara itu sibuk-sibuk mengumpulkan tuntutan daripada para peniaga untuk diserahkan kepada penganjur demonstrasi ataupun rangkaian al-Qaeda dan Jamaah Islamiah yang didakwa sebagai dalang insiden letupan bom itu.

Kerja-kerja lawak ini hanya dilakukan oleh menteri-menteri BN yang sudah kehilangan modal untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

Jika Raja Nong Chik benar-benar prihatin dengan nasib peniaga di ibu kota beliau sepatutnya meminta mereka mengemukakan tuntutan kepada pihak polis khususnya FRU yang bertindak semberono mengkucar-kacirkan perhimpunan aman itu dengan cota, seni pertempuran tanpa senjata dan semburan meriam air.

Malah ada saksi-saksi yang melihat bagaimana trak meriam air FRU secara berwewenang dihalakan ke gerai, warung dan restoran tempat orang ramai menjamu selera. Kucar-kacir pada hari itu bukan disebabkan para demonstran, tetapi berpunca daripada sikap tidak bertoleransi polis (zero tolerance) yang pastinya datang daripada arahan orang politik.

Nong Chik dengan mudah menafikan kemungkinan kerajaan untuk membayar kerugian peniaga.

"Pada masa ini, saya rasa (kerajaan) tidak patut terlibat. Ini bukan kesilapan pihak kerajaan, tetapi (kesilapan) mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Siapa sebenarnya tidak bertanggung jawab? Demonstran atau polis yang di bawah kuasa kerajaan?

Pihak mana sebenarnya yang menyekat laluan masuk ke ibu kota, menyebabkan kesesakan lalulintas dan mengganggu kelancaran himpunan aman itu jika tidak polis. Dan pihak mana pula yang mengarahkan polis untuk tidak bersikap toleran jika bukan Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Hishamuddin Hussein, Naib Presiden Umno?

Nong Chik kononnya mahu menjadi pemudahcara bagi para peniaga yang kerugian. Kalau sekadar jadi pemudahcara, serah sajalah perkara itu kepada mana-mana NGO. Buatlah kerja lain yang lebih berfaedah untuk penduduk di Wilayah Persekutuan.

Seperkara lagi, tolonglah jangan menutup jalan-jalan di ibu kota untuk apa-apa raptai sempena Hari Kebangsaan, Hari Wilayah, Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Kadang-kadang tempoh penutupan jalan itu lebih lama daripada demonstrasi anti-ISA.

Tindakan ini akan menyebabkan para peniaga di ibu kota kerugian ratusan juta ringgit, para pelancong enggan datang berkunjung dan para pelabur tidak mahu melabur. Itu ikut teori ekonomi mudah Raja Nong Chik!- tajdid_detikdaily

Zamri lawan Nizar:Melayu tidak bacul

Oleh Syahredzan Johan

Sekiranya matlamat Utusan Malaysia adalah untuk membangkitkan kemarahan orang ramai dengan menyiarkan rencana bertajuk “Melayu jangan jadi bacul” tulisan Noor Azam, maka akhbar tersebut telah berjaya mencapai matlamatnya. Rencana tersebut telah membuatkan saya begitu marah sehinggalah saya menyumpah dan mencela skrin komputer saya.

Kemarahan yang meluap-luap ini tidak pernah saya rasai, walaupun telah banyak rencana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang saya baca. Kemarahan saya bukanlah disebabkan saya bersetuju dengan apa yang dibangkitkan oleh rencana tersebut. Saya, seperti ramai yang lain, begitu marah dengan rencana tersebut kerana ia telah meniupkan api perkauman dengan melaga-lagakan orang Melayu dan orang bukan Melayu di negara ini.

Saya tidak mahu membuat ulasan tentang perkara-perkara berkenaan dengan beberapa parti-parti politik yang disebut di dalam rencana tersebut. Politik adalah seni hentam-menghentam, kritik-mengkritik dan balas-membalas. Dan Utusan Malaysia adalah sebuah akhbar politik, walaupun ia juga memuatkan berita-berita sukan, hiburan dan luar negara. Jadi biarlah ahli-ahli politik dan parti-parti mereka menjawab dakwaan Utusan Malaysia.

Apa yang saya ingin katakan di sini adalah berkenaan dengan sentimen perkauman yang dibakar oleh rencana tesebut.

Mengikut rencana tersebut, hak-hak orang Melayu kian dicabar oleh orang-orang bukan Melayu. Kononnya perkara tersebut semakin menjadi-jadi sejak akhir ini. Tetapi, walaupun begitu banyak “peringatan” dan “amaran” yang diberikan, orang Melayu masih tidak “bangkit” dan “bangun” untuk mempertahankan bangsa mereka. Maka rencana itu bertanya, adakah Melayu sudah menjadi bacul?

Apakah yang dimaksudkan dengan “bangkit” dan “bangun”, yang diseru kepada orang Melayu oleh rencana tersebut? Walaupun tampak tegas dan garang, rencana tersebut tidak pula menyatakan apa yang dimaksudkan dengan perkataan-perkataan tersebut.

Saya petik dari rencana tersebut:

Akan tetapi semua seruan dan amaran hanya tinggal dalam lipatan akhbar Utusan Malaysia sahaja. Orang Melayu tidak bangun bangun juga. Pertubuhan Melayu — yang lama dan baru — hanya sekadar mengeluarkan kenyataan marah-marah dan membuat laporan polis sahaja. Gapena yang menganjurkan Kongres Perpaduan Melayu yang sangat besar dan penuh bersemanga pun, sampai sekarang tidak nampak sebarang tindakan. Pemimpin Umno, termasuk Pemuda pun sekadar mengeluarkan kenyataan dan amaran sahaja.

Maka “bangkit” dan “bangun” bukanlah “seruan”, “amaran”, “mengeluarkan kenyataan”, “membuat laporan polis” seperti yang telah dibuat sebelum ini. Kita boleh membuat kesimpulan bahawa “bangkit” dan “bangun” merujuk kepada sesuatu tindakan yang lebih agresif daripada apa yang dilakukan sebelum ini. Persoalannya, apakah tindakan tersebut? Memberontak? Berdemonstrasi? Membuat rusuhan kaum? Saya tidak tahu dan saya berpendapat bahawa pihak berkuasa haruslah membuat siasatan tentang apa yang dimaksudkan dengan “bangkit” dan “bangun” untuk memastikan bahawa ia tidak mengandungi unsur-unsur hasutan.

Inilah yang membuatkan saya begitu marah. Di kala rakyat jelata sedang berganding bahu untuk merapatkan jurang kaum dan agama dan membina sebuah negara Malaysia yang lebih maju, Utusan pula membangkitkan isu perkauman. Tatkala Perdana Menteri kita memperkenalkan konsep “1 Malaysia” yang inklusif dan bertujuan untuk memupuk perpaduan, Utusan pula secara terbuka telah mendakwa bahawa apa yang dikehendaki oleh orang Cina dan India adalah kuasa politik dan pentadbiran yang lebih besar.

Menurut rencana tersebut:

Orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Kumpulan Utusan Melayu yang selama ini sangat bersabar dan sentiasa sangat berhati-hati menjaga hati orang Cina dan India, sudah tidak boleh tahan lagi.

Saya tidak tahu sejak bila orang Melayu melantik Kumpulan Utusan Melayu untuk menjadi jurucakap kami. Saya sendiri tidak pernah dan tidak mahu Utusan Malaysia untuk bercakap bagi pihak saya. Saya juga tidak percaya bahawa Raja-Raja Melayu ada mengambil Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi mereka. Saya percaya mereka juga sudah tentu tidak bersetuju dengan rencana tersebut.

Saya sebenarnya tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan “hak-hak orang Melayu dicabar”. Setahu saya, apa yang dikatakan sebagai “hak Melayu” itu telahpun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ianya tidak boleh dipinda atau dimansuhkan dengan mudah dan perlu persetujuan daripada Majlis Raja-Raja. Maka retorik yang sering dimainkan bahawa hak-hak tersebut semakin hilang hanyalah mainan politik golongan tertentu.

Tetapi dengan sendirinya, rencana tersebut telah meluaskan “hak-hak Melayu” kepada perkara-perkara seperti kedudukan-kedudukan tinggi di dalam perkhidmatan awam dan kerajaan. Saya pun tidak tahu di mana dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur mestilah berbangsa Melayu.

Adakah perlu kita penuhkan kakitangan awam kita dengan orang-orang Melayu sahaja? Adakah dengan berbuat demikian, kita dapat memperkasakan bangsa Melayu? Adakah kemiskinan dan masalah sosial yang melanda orang Melayu akan terhapus hanya kerana jawatan tinggi dalam kerajaan dipegang oleh orang Melayu? Kalau begitu, mengapakah saya masih melihat anak-anak Melayu terbiar tanpa pembelaan? Mengapakah kekayaan negara masih tidak disalurkan kepada orang-orang Melayu yang memerlukannya?

Jika kita ingin negara kita bersaing dengan negara-negara lain, kita tidak boleh melihat semua perkara melalui kanta etnik. Kita perlukan yang terbaik tanpa mengira warna kulit dan keturunan. Institusi-institusi awam adalah milik semua dan bukannya “institusi Melayu”. Tidak ada guna sekiranya institusi-institusi tersebut didominasi dengan bangsa Melayu, tetapi semuanya tidak efisyen, tidak efektif dan dibelenggu dengan penyelewengan. Nasib Melayu tidak akan terbela hanya kerana institusi awam dipenuhi oleh orang Melayu.

Saya percaya orang Melayu akan dapat membela nasib mereka sendiri. Jangan sangka Melayu itu bangsa yang bodoh dan malas yang sentiasa memerlukan jaminan dan pertolongan dari kerajaan. Jangan hina Melayu sebegitu rupa!

Saya percaya ramai yang telah muak dengan sentimen perkauman yang sering dimainkan oleh Utusan Malaysia. Ini bukan kali pertama dan saya percaya ia bukan kali terakhir. Tetapi sampai bila harus kita memberi muka kepada media yang mengganggu-gugat keharmonian kaum seperti ini?

Terimalah kenyataan bahawa orang Melayu telah berubah. Mereka tidak mudah termakan dengan umpan perkauman yang disajikan oleh pihak-pihak tertentu. Rencana tersebut tersasar, kerana orang Melayu tidak bacul. Orang Melayu kini semakin matang, semakin kritikal dan semakin berani. Mereka sedar bahawa arus perubahan sedang melanda dan mereka tidak takut menghadapinya. Orang Melayu kian faham bahawa saingan dari dalam dan luar negara tidak dapat dielakkan. Orang Melayu tidak lagi melihat bangsa lain sebagai musuh yang sentiasa ingin merampas hak mereka.

Yang bacul dan penakut adalah mereka tidak mahu berubah dan masih berpegang teguh kepada agenda perkauman yang sempit dan melemaskan.

http://loyarburok.com/